Menjaga Maslahat 'Al-Dharuriyyat' - 2

IMRAN AL-MALIZI | .

Pengenalan Ilmu Maqasid al-Syari`ah (Siri 5):
Menjaga Maslahat “Al-Dharuriyyat” - Bahagian 2

5 Perkara Al-Dharuriyyat atau Al-Kuliyyat al-Khamsah

I - Menjaga Agama (حفظ الدين)

Menjaga agama merupakan perkara dharuriyyat yang terpenting dan berada pada tingkatan tertinggi dalam turutan al-Kuliyyat al-Khamsah. Allah S.W.T mengutuskan Rasulullah s.a.w agar menyampaikan agama yang benar iaitu Islam.

Firman Allah Ta’ala:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [Al-Taubah: 33]

Allah Ta’ala juga melarang manusia daripada mengikut jalan agama yang lain. FirmanNya:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنْ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” [Ali ‘Imran: 85]

Oleh kerana menjaga agama Islam daripada kerosakan (mafsadah) adalah merupakan dharuriyyat yang paling besar dan terpenting, maka Islam mengharamkan perbuatan riddah (murtad), maka syariat menjatuhkan hukuman bunuh kepada orang yang murtad.

Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w:

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.”
[Sahih al-Bukhari, Kitab Istitabah al-Murtaddin, Bab Hukm al-Murtad wal-Murtaddah (hadith no.6922)]

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِ وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ.

“Tidak halal darah seorang muslim (tidak boleh dibunuh) yang mengucap syahadah, kecuali dengan salah satu di antara tiga sebab iaitu orang yang telah berkahwin lalu berzina (muhsan), jiwa dengan jiwa (kesalahan membunuh), orang yang murtad meninggalkan agamanya dan memecah belahkan kesatuan jama’ah (orang-orang Islam).”
[Sahih Muslim, Kitab al-Qasamah, Bab Ma Yubahu Bihi Dam al-Muslim (hadith no.4468), Sahih al-Bukhari, Kitab al-Diyat, Bab Qaulillah Ta`ala Anna al-Nafsa bin-Nafsi (hadith no.6878)]

Namun yang perlu ditekankan disini adalah, hukuman bunuh ke atas orang yang murtad ini tidak boleh dilakukan orang awam, sebaliknya pelaksanaan ini diwajibkan kepada pemerintah. Ini kerana, jika tidak perkara ini akan menimbulkan kemudaratan lain yang lebih besar.

Pelaksanaan hukuman bunuh bagi orang yang murtad hanya boleh dilakukan oleh ulil amri (pemimpin negara) setelah mengkanunkan undang-undang jenayah syariah Islam di negaranya. Ianya bertujuan untuk menjaga kesucian agama.

Bahkan terdapat khilaf di kalangan fuqaha dari segi peringkat-peringkat pelaksanaannya dari seruan agar dia bertaubat, penjara sehinggalah dijatuhkan hukuman bunuh.

II - Menjaga Nyawa (حفظ النفس)

Islam dengan tegas mengharamkan pembunuhan dan penumpahan darah kaum muslimin, ahli dzimmah (orang kafir yang hidup dalam wilayah Islam dan tidak memerangi umat Islam) serta darah kafir mu'ahid (orang kafir yang mengikat perjanjian damai dengan umat Islam).

Sesiapa yang membunuh nyawa manusia dengan sengaja, maka Allah menjanjikan azab yang besar di akhirat. Ini berdasarkan firmanNya:

وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannnya ialah neraka jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (An-Nisa: 93)

Membunuh adalah termasuk salah satu dosa daripada dosa-dosa besar (kabair). Penjenayah yang disabitkan bersalah dalam kes bunuh boleh dijatuhkan hukuman qisas iaitu dibalas bunuh. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالأُنثَى بِالأُنثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنْ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ .وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Dan dalam hukum qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.” [Al-Baqarah: 178-179]

Dalam ayat ini Allah Ta’ala menjadikan qisas sebagai salah satu sebab bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia, padahal qisas itu adalah hukuman bunuh yang juga menuntut kematian si pelaku jenayah.

Ini kerana, dengan melaksanakan hukum qisas hanya orang yang bersalah yang akan diambil nyawanya dengan hukuman bunuh bagi menjaga nyawa manusia lain yang tidak bersalah.

Tanpa melaksanakan hukuman ini, jenayah bunuh semakin berleluasa kerana tiada undang-undang yang mampu menghalangnya.

Dalam hal berkaitan, syariat Islam juga membolehkan kita memakan makanan yang haram sekadar untuk mengelakkan kematian. Firman Allah:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنْ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلاَ عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Al-Nahl: 115]

III - Menjaga Akal (حفظ العقل)

Menjaga akal adalah penting kerana Islam adalah agama yang berteraskan ilmu. Bahkan untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan syarak, seorang itu mestilah seorang mukallaf iaitu akil (berakal) dan baligh (cukup umur). Sengaja menghilangkan akal adalah perbuatan yang haram.

Antara perbuatan menghilangkan akal dengan sengaja ialah meminum arak. Allah S.W.T mengaitkan arak dengan kerja-kerja dan amalan syaitan. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” [Al-Maidah: 90]

Syaitan menjadikan orang-orang yang hilang akalnya akibat meminum arak terlalai daripada mendirikan solat serta terdedah kepada dosa-dosa yang lain. Firman Allah S.W.T:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

“Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu pada perbuatan minum arak dan berjudi itu akan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan mendirikan solat; maka adakah kamu mahu berhenti (dari mengerjakan pekerjaan itu)?” [Al-Maidah: 91]

Maka itu, syariat Islam mengharamkan segala unsur yang memabukkan dan menghilangkan fungsi akal. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ

“Setiap yang memabukkan itu haram”.
[Sahih Muslim, Kitab al-Asyribah, Bab Bayan Anna Kulla Muskir Khamr (hadith no.5332)]

Maka untuk menjaga akal, Islam mewajibkan pelaksanaan hukuman sebat bagi peminum arak sebanyak minimum empat puluh kali dan maksimum lapan puluh kali. Ini bertujuan agar manusia menjauhi kesalahan tersebut, sehingga akalnya dapat berfungsi dengan sempurna, dapat berfikir dengan baik dan mengetahui perintah Allah dan laranganNya.

Diriwayatkan dalam hadith yang sahih:

فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ قُمْ فَاجْلِدْهُ. فَجَلَدَهُ وَعَلِيٌّ يَعُدُّ حَتَّى بَلَغَ أَرْبَعِينَ فَقَالَ أَمْسِكْ. ثُمَّ قَالَ جَلَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعِينَ وَجَلَدَ أَبُو بَكْرٍ أَرْبَعِينَ وَعُمَرُ ثَمَانِينَ وَكُلٌّ سُنَّةٌ وَهَذَا أَحَبُّ إِلَي. رواه مسلم في كاتب الحدود، باب حد الخمر.

Maka berkata Ali bin Abi Talib r.a: “Wahai Abdullah bin Ja’far, bangunlah dan sebat dia!” Lalu dia menyebat (orang yang minum arak itu) sedangkan Ali bin Abi Talib mengira bilangannya hingga cukup 40 kali. Lalu dia berkata: “Cukup”. Kemudian dia berkata lagi, “Nabi S.A.W telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan, Khalifah Abu Bakar r.a telah menyebat 40 kali sebatan juga dan Khalifah Umar r.a telah menyebat 80 kali sebatan, semuanya itu adalah sunnah (Rasulullah S.A.W) dan ini yang lebih aku sukai (iaitu hanya 40 sebatan).”
[Sahih Muslim, Kitab al-Hudud, Bab Had al-Khamr, (hadith no.4554)]

IV - Menjaga keturunan (حفظ النسل)

Demi menjaga nasab keturunan, maka Syariat Islam mengharamkan perzinaan dan segala wasilah yang boleh mendekati kepada perbuatan tersebut seperti hubungan cinta, pergaulan bebas dan sebagainya.

Selain ianya mendatangkan kemurkaan Allah, zina juga mengakibatkan kemudaratan yang sangat besar, seperti munculnya penyakit-penyakit yang berjangkit, hilangnya kehormatan dan harga diri seseorang, bercampurnya nasab dan keturunan secara tidak jelas, sehingga seorang anak dinasabkan kepada bukan ayahnya dan mewarisi harta yang tidak layak baginya.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” [Al-Isra’: 32]

Larangan Allah ini adalah agar hamba-hambaNya tidak mendekati zina, iaitu jangan sampai seseorang berada dalam situasi yang memungkinkan dia melakukannya dan jangan terlibat dengan hal-hal yang boleh membawa kepada perzinaan tersebut.

Maka untuk menjaga manusia dari melakukan perkara keji tersebut, Islam mewajibkan hukuman sebat sebanyak seratus kali bagi lelaki teruna dan gadis dara yang berzina.

Allah S.W.T berfirman:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلاَ تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya sebanyak seratus kali, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari Akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” [An-Nur: 2]

Allah Ta`ala mengingatkan agar jangan sehingga rasa kasihan kepada penzina menghalang kita daripada melaksanakan hukum Allah dan hendaklah pelaksanaan hukuman itu dihadiri oleh sekelompok orang mukmin, supaya diketahui dan dijadikan pelajaran oleh manusia.

Sedangkan bagi penzina yang sudah bernikah (muhsan) maka hukumannya adalah dirajam hingga mati. Ini dijelaskan dalam hadith-hadith yang banyak. Untuk menjaga kehormatan seseorang, Islam mengharamkan tuduhan zina (qazaf) terhadap orang baik-baik dan mengancam dengan hukuman yang keras.

Firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلاَ تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَاسِقُو

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” [An-Nur: 4]

Allah S.W.T menjelaskan bahawa orang yang menuduh wanita yang baik-baik dan terjaga kehormatannya melakukan zina, sekiranya tuduhan itu tidak disertai bukti, maka penuduhnya berhadapan dengan hukuman qazaf, maka dia mendapat hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali, serta tidak diterima persaksiannya dan dia dianggap sebagai orang fasiq yang tidak dipercayai kata-kata dan sumpahnya.

Kecuali jika dia dapat membuktikannya, iaitu dengan mendatangkan empat orang saksi yang melihat secara langsung perbuatan zina itu secara jelas.

Dengan ini, Syariat Islam memelihara kehormatan dan maruah diri manusia serta melarang daripada mencemarkan maruah orang lain tanpa sebab yang benar.

Firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan perempuan tanpa ada kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kedustaan dan dosa yang nyata.” [Al-Ahzaab: 58]

Dalam hadis juga terdapat pengharaman melanggari maruah dan kehormatan manusia, Rasulullah s.a.w bersabda:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا ، فِيْ بَلَدِكُمْ هَذَا ، فِيْ شَهْرِكُمْ هَذَا

“..Sesungguhnya darah, harta benda, kehormatan kamu semua adalah haram seperti mulianya hari ini, negeri ini dan bulan ini.”

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Hajjah al-Wida’ (hadith no.4406) dan Sahih Muslim, Kitab al-Qasamah, Bab Taghlizh Tahrim al-Dima’ wal-A’radh wal-Amwal (hadith no.4477)]

V - Menjaga harta (حفظ المال)

Islam juga mengajar umatnya menjaga harta, berbelanja dan mengurusnya sebagai salah satu daripada tuntutan hidup. Sebagaimana firman Allah Ta'ala:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا وَارْزُقُوهُمْ فِيهَا وَاكْسُوهُمْ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَعْرُوفًا

“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan” [An-Nisa’: 5]

Untuk menjaga harta, maka Islam mengharamkan segala bentuk kecurian, iaitu mengambil harta orang lain tanpa pengetahuan dan kerelaannya. Maka disyariatkan hukuman had bagi kesalahan mencuri dan merompak dengan hukuman yang sangat keras.

Firman Allah Ta'ala:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِنْ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan dari apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Maidah: 38)

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآَخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.” [Al-Maidah: 33]

Dengan ditegakkannya hukuman ini maka harta benda orang ramai akan terjaga, ini kerana seseorang yang berniat untuk mengambil harta orang lain akan menimbang akibat perbuatannya. Undang-undang yang digubal oleh manusia tidak mampu menggerunkan penjenayah daripada menceroboh hak dan harta benda orang lain.

Begitu juga dalam menjaga harta, syariat Islam melarang kita melakukan pembaziran atau israf (berlebih-lebihan), sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya.

وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan” [Al-An’am: 141]

Penutup

Syariat Islam bermatlamat untuk mencapai setiap kebaikan dan mengelakkan daripada setiap keburukan. Setiap perintah dalam syariat Islam pasti mengandungi manfaat dan kebaikan dan sebaliknya setiap larangan agama Islam pasti mengandung kerugian dan kemudaratan.

Dengan memahami Maqasid al-Syari’ah secara prinsipnya, kita dapat meyakini bahawa syariat Islam berperanan menjaga kemaslahatan hidup manusia yang dapat dicapai dengan pelaksanaan syariat itu sendiri.

Golongan yang mendakwa pelaksanaan syariat dapat ditangguhkan atau diketepikan bagi menjaga kepentingan tertentu (maslahat yang disalah ertikan) dan memadai dengan mengambil maqasid adalah tersesat dalam limpahan cahaya petunjuk.

Share on Myspace