Umno berhempas pulas melawan mautnya

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS -siri 6

BUKAN mudah nak pengaruhi orang untuk menyertai PAS pada masa itu, apatah lagi nak ajak membantu kerja-kerja pilihan raya secara percuma. Terpaksalah tulang yang hanya beberapa kerat ini melakukan semuanya, kadang-kadang malu juga diejek orang-orang Umno, maklum mereka ramai, mereka angkut bahan pilihan raya dengan lori, sedangkan saya dan rakan-rakan hanya gunakan motosikal sahaja.

Mereka ada semuanya, kita kekurangan segalanya, "kita buat apa yang kita mampu", pesan otai-otai kepada saya. "Allah mengetahui kemampuan kita dan Allah akan menilai apa yang kita kerjakan, tidak ada sesuatu yang dimiliki oleh manusia akan kekal, sampai ketikanya ia akan lemah, begitulah juga Umno, sekarang mungkin mereka kuat, tapi sampai ketikanya dia akan lemah," katanya lagi.

Terfikir juga saya, apakah Umno akan menemui zaman lemahnya, sedangkan masa itu saya melihat Umno seperti gunung besar yang tidak mungkin boleh diruntuhkan oleh jentera PAS yang terlalu kecil. Namun itulah keyakinan orang PAS, "selagi dasar PAS itu Islam, maka PAS akan semakin kuat dan Allah akan memeliharanya sebagaimana Allah memelihara Islam," inilah antara kata-kata yang saya sering dengar ketika saya hadir usrah zaman 80-an dulu.

Allah lanjutkan usia saya sehingga kini untuk menyaksikan sendiri kebenaran kata-kata tersebut. Betapa Umno kini terpaksa berhempas pulas untuk melawan agar mautnya tidak datang dengan lebih awal kesan daripada kehilangan kepercayaan rakyat apabila pemimpinnya terpalit dengan pelbagai isu dan juga tindak balas daripada kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga barang, minyak, GST dan lain-lain yang sangat membebankan.

Beberapa negeri telah bertukar tangan kepimpinannya, sesuatu yang saya tidak pernah fikirkan sebelum ini. Namun sejarah juga telah membuktikan mana-mana parti atau jamaah jika berdasarkan Islam ia akan bertahan lama seperti Ikhwanul Muslimin walaupun diperlakukan dengan begitu rupa namun ia masih kekal sehingga kini, sudah ribuan pejuang HAMAS dibunuh, hampir semua pimpinan utamanya dibunuh, namun Islam yang sentiasa hidup melahirkan pemimpin-pemimpin baru menyambung semula delegasi perjuangan pemimpin terdahulu.

Begitulah janji Allah terhadap masa depan Islam yang pasti akan meraih kemenangan, kita cuma perlu bersabar dan istiqamah meniti masa dengan menggengam Islam seerat-eratnya, menggigitnya dengan geraham, jangan dibuang dasar dan prinsipnya meskipun peluru fitnah, caci maki dan sebagainya menghujani tanpa henti, kerana masa depan Islam yang dijanjikan kemenangan adalah juga masa depan bagi PAS jika sekiranya PAS cekal, tabah mempertahankan dasarnya iaitu al-Qur'an, Hadis, Ijma dan Qias. – HARAKAHDAILY 29/11/2016

Share on Myspace