Guru matematik dan sains, tetapi dipanggil Ustaz

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS - siri 7

KEBANYAKAN orang yang menyertai PAS pada masa itu adalah kerana kefahaman dan kesedaran agama, hampir semua pimpinan PAS pada semua peringkat beketerampilan seperti seorang Ustaz, termasuk golongan profesional, salah seorang amilin di tempat saya (sekarang telah kembali ke Rahmatullah), dia guru matematik dan sains, tetapi dipanggil Ustaz kerana keterampilannya yang sentiasa berkopiah, berjanggut dan sering berbaju melayu serta berserban.

Saya waktu itu remaja yang sentiasa berseluar jeans, berambut agak panjang, namun apabila dibawa bersama dalam usrah, sedikit demi sedikit mengubah keterampilan saya, masih ingat, masa itu antara teks usrah ialah kitab hadis Riadussolihin, antaranya membicarakan tentang pakaian Rasululullah SAW, naqib memberikan penekanan tentang cara berpakaian ahli PAS yang mesti sopan dan mengikut sunnah, ketika itulah mula berjinak dengan gamis.

Sehingga kini pun ahli PAS kelihatan begitu, tidak mengira apa latar pendidikannya, walaupun tidak memakai gamis atau jubah sepanjang masa, aurat tetap dipelihara. Agak asing apabila ahli PAS tidak menutup aurat, hampir tidak ditemui, kalau ada pun hanya sekadar penyokong atau pun mereka yang baru berjinak-jinak dengan PAS.

Namun saya ada terlihat gambar ahli-ahli PAS sekitar 70-an, saya lihat Ustazah PAS masa itu tidak bertudung, tapi tidaklah menghairankan sebab masa saya sekolah rendah pun saya lihat Ustazah-Ustazah saya pun tidak bertudung, hanya berbaju kurung dan berselendang, mungkin waktu itu, dengan berpakaian begitu sudah dianggap warak. Saya hanya kisahkan pada zaman saya, zaman sebelum itu saya tidak berapa tahu.

PAS membawa perubahan pada diri saya, semakin saya berada didalam PAS semakin menyebabkan saya membuang pakaian jahiliyyah saya. Sama juga dengan menuntut ilmu. Ada orang belajar dan menuntut Ilmu terlebih dahulu, dengan kefahaman agamanya ia menyertai PAS, saya pula berbeza, saya menyertai PAS terlebih dahulu, lalu saya dibawa ke majlis Usrah, ceramah, kuliah dan sentiasa dinasihati oleh orang-orang tua saya, akhirnya mendorong saya untuk menuntut ilmu.

Dalam sebuah tamrin di Terangganu sekitar 90-an, masa itu salah seorang pembentangnya ialah Allahyarham Murabbi Ustaz Yahya Othman, beliau seorang yang sangat menekankan soal keterampilan ahli PAS.

Katanya, pakaian adalah perhiasan, cantiknya sebuah rumah kerana perhiasannya, begitu juga PAS, antara sebab PAS kelihatan cantik ialah dengan pakaian ahli-ahlinya yang menutup aurat". Masa yang terbatas ini sempat saya membongkar khazanah ilmunya, telah kuning kertas tersebut, bergentayangan kembali wajah jernihnya, moga Rohnya dicucuri Rahmat. – HARAKAHDAILY 30/11/2016

Share on Myspace