Pemuda yang sanggup korbankan syahwat

ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS - siri 8

SEMALAM usrah bersama pemuda di Kampung Peramu. Gembira melihat anak-anak muda datang berusrah, pada usia memiliki jasad yang masih kuat dan sihat, akal yang cergas untuk mengharungi lautan dakwah serta perjuangan yang tiada nampak penghujungnya kecuali dengan keyakinan bahawa Islam itu pasti menang.

Kebetulan perbincangannya ialah tafsiran surah al-Asyr. “Demi masa, sesungguhnya manusia itu didalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”. Ia adalah satu satu terjemahan realiti mehnah dakwah dan perjuangan.

Bukan mudah untuk mengajak manusia tentang kebenaran, ia mesti diiringi dengan tahap kesabaran yang sangat tinggi, setiap Intima pasti ada Ibtila, keadaan intima dalam ayat ini iaitu Intima Aqidi iaitu gabungan diri secara aqidah iaitu dengan menganut Islam itu sendiri dan melaksanakan seluruh tuntutan Allah kerana menuntut redha-Nya.

Intima Masyiri iaitu gabungan diri dengan masa hadapan perjuangan yang sangat jauh, sangat menuntut kepada kesabaran demi memelihara perjuangan supaya tidak tergelincir daripada landasan perjuangannya yang sebenar meskipun terpaksa berhadapan dengan ribuan jaringan ibtila.

Orang terdahulu daripada kita telah memelihara perjuangan PAS, kini kita pula yang memikulnya.

Mehnah dan Ibtila sentiasa ada, malahan semakin banyak, syaitan tidak mungkin berdiam diri, pasti ia bangun untuk menghalang segala usaha untuk meninggikan kalimah Allah SWT, kerana itu kita mesti bersedia dan berusaha disepanjang masa, jangan biarkan ruang-ruang kosong dalam kehidupan melainkan kita bekerja dan berfikir untuk Islam. Rugilah manusia itu apabila masanya dibiarkan percuma tanpa membantu dan diisi dengan agenda dakwah dan perjuangan.

PAS pada zaman ini tidak seperti zaman saya, terlalu sukar untuk mencari orang muda pada zaman saya, namun berlaku intifadhah hasil kerja kuat para ulama dan para amilin PAS yang terdahulu untuk memahamkan orang ramai tentang perjuangan PAS, hasilnya kini PAS disertai ramai pemuda-pemuda yang sanggup korbankan syahwat kepemudaannya demi perjuangan PAS.

Masa akan menjadikan kita tua. Jadilah orang tua yang berjasa untuk Islam dan jamaah, jadilah orang tua yang meninggalkan benih untuk terus meneruskan perjuangan. Berusahalah pada waktu kita kuat ini untuk melahirkan benih-benih pejuang, supaya setiap detik perjalanan usia kehari tua tidak sia-sia. PAS mungkin tidak menang pada zaman kita, tetapi buah kemenangan itu mungkin dituai pada zaman mereka. – HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace