Cabaran hidup mukminah mujahidah

Ustazah Ana Mastura Ismail | .

1. Cabaran dan ujian adalah sunnatullah dalam kehidupan bertujuan menguji keikhlasan dan keimanan hambaNya.

Firman Allah SWT:

ِالم . أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Maksudnya: "Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Surah Al-Ankabut, ayat 1-2)

Firman Allah SWT lagi:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu". (Surah Muhammad, ayat 31)

2. Antara cabaran yang dihadapi oleh setiap mukmin dan mukminah sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya:

"Seseorang mukmin berada di tengah-tengah lima kepayahan (cabaran): Mukmin yang sentiasa berhasad dengki dengannya, munafiq yang sentiasa membencinya, kafir yang sentiasa ingin membinasakannya, syaitan yang sentiasa menyesatkannya, dan jiwa yang sentiasa berkonflik dengannya." (HR Malik bin Anas)

Menurut hadis ini, jelas kepada kita bahawa ada lima cabaran kepada kita sebagai muslimah, mukminah, dan mujahidah iaitu:

i. Mukmin yang sentiasa berhasad dengki dengannya.
ii. Munafiq yang sentiasa membencinya.
iii. Kafir yang sentiasa ingin membinasakannya.
iv. Syaitan yang sentiasa menyesatkannya.
v. Jiwa yang sentiasa berkonflik dengannya.

3. Bagi menghadapi cabaran-cabaran ini, beberapa tindakan boleh dilakukan oleh muslimah mukminah yang berjuang di jalan Allah SWT:

a) Berdoa dan mohon perlindungan daripada Allah SWT supaya dihindari dari mukmin yang dengki.

Firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ . مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ . وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ . وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ . وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ.

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya". (Surah Al-Falaq, ayat 1-5)

b) Yakinlah kepada Allah bahawa hukuman seksa untuk orang munafiq yang membenci kita itu telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran sebagaimana firmanNya:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)". (Surah An-Nur, ayat 11)

c) Perlu menguatkan jiwa dan semangat serta tidak sekali-kali putus asa menghadapi kekuatan-kekuatan musuh.

Firman Allah S.W.T:

وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: "Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar". (Surah Ali-Imran, ayat 146)

d) Berhati-hati dengan tipudaya syaitan kerana ia merupakan seteru yang paling besar bagi orang mukmin.

Firman Allah SWT:

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ . إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ. (قَالَ فَالْحَقُّ وَالْحَقَّ أَقُولُ .لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنْكَ وَمِمَّنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan. Allah berfirman: "Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan. Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya ". (Surah As Sadd, ayat 82-85)

e) Berusaha meningkatkan keimanan supaya jiwa kita terdorong untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah SWT:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا . فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا . قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا . وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا .

Maksudnya: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya". (Surah As Syams, ayat 6-10)

4. Semoga cabaran-cabaran ini dapat diatasi sebaiknya dan mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dalam usaha mewujudkan 12,000 tentera yang ikhlas berjuang bagi mencapai kemenangan.

Share on Myspace