Golongan yang memandulkan syariat Tuhan

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Ketika Islam tidak lagi berkuasa lahirlah manusia bergelar muslim yang lemah imannya. Mereka takut untuk melaksanakan Syariat lalu mencipta pelbagai alasan dan justifikasi untuk menghalalkan kelemahan iman mereka dalam memperjuangkan Syariat.

Syariat meliputi semua bidang bermula dengan ibadah, perkahwinan, muamalat dan ekonomi, perundangan jenayah dan tatacara politik dan pemerintahan. Semua ada Syariat Allah padanya. Semuanya perlu dijadikan undang-undang bernegara dan perlu dilaksanakan.

Antara ciri hujah dan alasan mereka bagi memandulkan pelaksanaan Syariat berkaitan perundangan jenayah

1. Islam bukan agama menghukum tapi mendidik
2. Islam mementingkan keadilan bukan hanya dengan menghukum
3. Kita perlu menyelusuri ruh dan maqasid kepada hukum bukan hanya melaksanakan hukum

Hakikatnya menghukum adalah satu proses pendidikan
Hakikatnya keadilan tidak tercapai melainkan dengan melaksanakan hukum Syariat
Hakikatnya roh dan maqasid hukum akan tercapai apabila melaksanakan hukum

BUKAN DENGAN MEMANDULKAN HUKUM

Semua ini adalah alasan yang dicipta bagi mewajarkan agar hukum Islam tidak perlu ditegakkan dan dilaksanakan.

Sedang dalam masa mereka berbicara dengan alasan sedemikian mereka menerima pula dengan dada lapang pelaksanaan pelbagai undang-undang ciptaan barat dalam perundangan jenayah dan ekonomi. Mereka melihat ia terlaksana untuk puluhan tahun di dunia Islam dengan redha dan dada yang lapang tapi mempersoalkan bukan hanya ruh perundangan barat yang rosak malah pelaksanaannya yang gagal.

Tetapi di saat kita memperjuangkan pelaksanaan Syariat maka mereka dengan wajah penuh bimbang dan takut mengemukakan alasan yang pelbagai dengan justifikasi kononnya "agar wajah Islam dilihat cantik"

BETAPA LEMAHNYA IMAN MEREKA. Mereka terpedaya dengan alasan ciptaan musuh di kalangan orientalis dan sebagainya.

Sangat malang di kalangan mereka digelar cendekiawan Islam, pemikir Islam dan tokoh Islam. Namun yang pasti mereka adalah golongan yang lemah iman.

Dr Khairuddin at-Takiri
Jumaat 2 Disember 2016 - secebis renungan ketika musafir

Share on Myspace