Lebih 200 pimpinan bertamrin di Rusila

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Tajnid Dan Pemerkasaan Ruh Tarbawi: Lebih 200 Orang Pimpinan Bertamrin Di Rusila

RINTIK-rintik hujan menampar keras bumbung dinding Dewan Maahad Darul Quran Rusila Marang, tempat berlangsungnya Tamrin Qiadi PAS Pusat. Gelora laut China Selatan menggulung ganas, menghempas pantai putih dan itulah juga analogi kepada perjuangan PAS selama 65 tahun ini, berdepan dengan mehnah dan ibtila'.

Gerakan Islam tertua di Tanah Malaya ini merupakan kesinambungan gerakan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948, tegak atas tiga teras buananya, siasah, dakwah dan tarbiah. PAS terus kekal mara dalam medan operasinya selama lebih enam dekad kerana kekuatan tarbiah gerakan itu bermula daripada cawangan.

Seluruh organisasi PAS disepuh dengan kegiatan amal tajnid seperti usrah, tamrin, mukhaiyam, daurah, jaulah tarbawi, rehlah dan ijtimak. Pendokong PAS mulai daripada cawangan sehinggalah di peringkat pusat terus-menerus menerima simbahan tarbiah. Pimpinan pusat terikat dengan usrah Qiadi yang dibimbing oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri, begitu juga Majlis Nuqoba' Pusat yang menghimpunkan tenaga teras terbaik dalam tajnid (kaderisasi dakwah) secara sistematik.

PAS sebagai hizbullah yang terus menjulang izzah Islam, menjadi pembenteng kepada agama Allah di negara ini maka bukan kepalang kesakitan yang PAS terpaksa tanggung untuk menjaga Deenullah ini. Pendokongnya ada yang dibunuh, dipenjara, dikucilkan dalam mengalang amanah ini.

Menurut pengucaputama Tamrin Qiadi, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, PAS tidak boleh menyembunyikan kebenaran Islam semata-mata ingin mengambil hati manusia. Dalam zaman edan yang manusia berpaling daripada Islam, maka tugas PAS semakin mencabar untuk menyampaikan Islam.

Pendokong PAS mestilah meletakkan niat yang ikhlas berjuang dengan jamaah ini, jangan kerana cintakan pangkat, sanjungan dan kemuliaan. Jika niat salah maka berlakulah kegelinciran dalam perjuangan, tidak terpilih sebagai pimpinan maka melarikan diri daripada perjuangan. Pimpinan PAS mestilah bersikap benar, jangan mengkhianati janji dan bersifat amanah dengan tugasan serta jawatan yang disandang.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, sifat wajib kepada ar-Rasul SAW iaitu sidiq, amanah, tabligh, fatonah merupakan cerminan dan pantulan kepada semua para pendokong Islam. Berusahalah mencontohi sebaik mungkin qudwah ini kerana ia akan membezakan kita dengan ahli-ahli gerakan lain, PAS bukanlah parti politik semata-mata tetapi sebuah gerakan Islam.

Pendakwah dan pendokong Islam mestilah mempunyai keberanian untuk menyampaikan risalah. Lihatlah imbasan sirah perjuangan para Rasul, keberanian mereka berdepan dengan thaghut seperti Nabi Allah Musa a.s., Nabi Ibrahim a.s. dan seluruh rasul. Seteguh banjaran dan sekental karang di lautan dalam menyampaikan risalah Islam sebagaimana teguhnya nabi Nuh a.s, siang dan malam terus menyampaikan risalah perjuangan.

Menurut Tuan Guru lagi, apabila berjuang pastilah dengan kesabaran tinggi kerana dalam perjuangan ini pasti akan dihempap dengan mehnah dan ibtila'. Contohi Rasulullah dalam peperangan Uhud, walaupun perih dan kesedihan yang amat akibat pembunuhan Saidina Hamzah, baginda tetap bersabar dengan tahap kesabaran tertinggi.

Kesan kesabaran tinggi ini, Allah menghadiahkan kegembiraan besar apabila Hindun binti Utbah dan Wahsyi bin harb yang terlibat dengan pembunuhan Saidina Hamzah dan merobek jasad Hamzah akhirnya telah memeluk Islam selepas peristiwa fathul Makkah.

Pelbagai mutiara ilmu dikongsikan oleh pengucaputama yang menghuraikan ciri-ciri hizbullah dan peserta-peserta tamrin tetap dengan gejolak semangat walaupun perkampungan Rusila sedang diserkap dengan cuaca mendung musim tengkujuh. PAS akan terus merimbun dengan amal tarbawi dalam meredah samudera perjuangan yang panjang ini. Tak berpaling dan apologetik, bersatulah wahai kaum muslim dengan sinar obor kebahagian. – HARAKAHDAILY 2/11/2016

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)

Share on Myspace