Fiqh dakwah dipelopori PAS

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

Firman Allah dalam Surah An Nahl ayat 125

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"..Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk..."

1. Pendekatan dakwah PAS dalam lapangan sistem demokrasi negara sepanjang perjuangan PAS dalam jihad politik merupakan ijtihad berani dan kontemporari yang dikemukakan oleh para ulamak dan Ahli Majlis Syura PAS.

2. PAS yang sudah berada di lapangan ini lebih 60 tahun boleh dikatakan amat memahami rencahnya bak pepatah " sekilas ikan di air, maka kenal jantan betinanya."

3. Umno yang sekian lamanya menjadi saingan politik PAS tetap kekal begitu selama ia masih berpaksi perjuangannya dengan sekularisme dan nasionalisme. Kedua-dua isme ini ditentang oleh PAS kerana ia bercanggah dengan prinsip  asas Islam iaitu Kesyumulan dan Universalisasi Islam.

4. Islam menolak politik suku agama suku atau pemisahan antara agama dengan kehidupan yang menyeluruh dan juga menolak teori perkauman dan kebangsaan sempit kepada konsep universal dan Islam untuk semua.

5. Sebanyak 13 kali pilihan raya PAS telah menceburinya berdepan dengan Umno bagi mengambil alih pemerintahan negara daripada golongan sekularisme dan nasionalisme sempit ini walaupun mengalami kekalahan demi kekalahan. Namun PAS masih tetap sabar,  utuh dan terus gah di persada politik menghormati prinsip demokrasi berperlembagaan dengan berwadahkan "muwajahah silmiah".

6. Inilah "Muwajahah Silmiah" daripada ijtihad para ulamak PAS bahawa PAS tidak perlu kaget dan gopoh semata-mata nak menang walau kalah berkali-kali dengan mengenepikan dasar perjuangan untuk mengambil alih kuasa.

7. PAS telah melalui pelbagai kepayahan dan kesukaran dalam proses kearah itu seperti ketidakadilan dalam pilihan raya, sekatan, media tak adil, jentera dan kewangan sendiri, ahli dan penyokong dipenjara dan dibunuh, penipuan dan tipudaya pilihan raya dan bermacam lagi namun PAS bersabar dan teruskan perjuangannya dengan cara aman dan menghormati perlembagaan negara.

8. Ini kerana perjuangan PAS tidak hanya berpolitik pilihanraya sahaja, ia juga bergerak selaku gerakan dakwah iaitu menyeru, mengajar, menasihat, mendidik, berhujjah, berdebat, berbincang, memberi cadangan, menegur dan bermacam-macam lagi selama ia boleh menyampaikan Islam dan menegakkan kefahaman Islam dalam ruang yang ada walaupun sesempit lubang jarum maka ia tetap akan berterusan begitu.

9. Nabi s.a.w. telah melakarkan perjalanan sebegini dalam. memenangkan Islam. Baginda mencapai kemenangan tidak sekadar di medan pertempuran dan peperangan, malah Baginda beroleh kemenangan melalui perjanjian, dakwah jamaiyyah, rundingan, dakwah fardiyyah, dakwah bil hal atau akhlak, rundingan dan juga seruan. Lihatlah sejarah penting terlakar dengan pembukaan Madinah dan Mekah,  kedua-duanya bukan melalui peperangan dan pertumpahan darah. Bukankah ini mesej jelas bahawa kemenangan yang diimpikan oleh semua perjuangan Islam juga boleh dicapai tanpa pertembungan dan peperangan?

10. Imam Muslim mensyarahkan hadis Perjanjian Hudaibiyyah dengan menyatakan bahawa kebijaksanaan rundingan dan kandungan perjanjian Hudaibiyyah itu sendiri yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. adalah faktor terpenting sehingga terjadinya pembukaan Kota Mekah oleh Islam tanpa pertumpahan darah.

11. PAS mengambil pemahaman inilah dengan membawa pendekatan baharu dalalm mengorak langkah berdepan dengan Umno. PAS melalui para ulamanya dan syuranya masih tetap mengekalkan konsep "Muwajah Silmiyyah" dan diterjemahkan dengan pelbagai pendekatan dan kaedah selama ia tidak menggadaikan prinsip perjuangan iaitu untuk menegakkan Islam dan berpaksikan Al Quran dan Sunnah.

12. PAS berijtihad dengan keupayaan ulamaknya dan juga memahami serta meraikan realiti politik dan dakwah negara ini, berani mengorak langkah dengan pendekatan yang berbagai dan berbeza sesuai situasi terkini dan semasa bagi memenuhi setiap keadaan dan keperluan.

13. Berhujjahkan al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. untuk menyampaikan mesej Islam kepada sesiapa sahaja kerana itu kewajiban perjuangan PAS. Kalau PAS tidak menyampaikan Islam maka PAS tidak lagi layak dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. PAS juga boleh dan layak dibubarkan kalau PAS mengabaikan dasar perjuangannya dan tidak gigih menyampaikan Islam dan ruang lingkup yang ada.

14. Hujjah PAS dengan al Quran, contohnya dalam surah Toha ayat 42-44

اذْهَبْ أَنْتَ وَأَخُوكَ بِآيَاتِي وَلَا تَنِيَا فِي ذِكْرِي

"Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".

Dalam Hadis Nabi s.a.w pula,

وعن أبي سعيد الخدري -رضي الله عنه- قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر

".. seutama-utama jihad adalah berkata benar dihadapan pemerintahan yang jahat (zalim) .."
(Riwayat Tirmizi,  Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. tashihkan oleh Albani)

15. Difahami daripada Al Quran dan Hadis ini lah bahawa PAS dengan pendekatan terbarunya memenuhi program dan jemputan di mana hadirnya bersama pemimpin negara adalah satu peluang PAS bagi menyampaikan Islam dan menyatakan secara berdepan kepada pemimpin negara dengan hujah PAS dan Islam yang menjadi seruannya.

16. Tambahan pula peluang menyatakan kebenaran Islam dan ajarannya akan disaksikan oleh pelbagai pihak dan rakyat jelata. Inilah adalah strategi cilik dan bijak PAS serampang 2 mata iaitu dapat menegur pemimpin negara dan juga dapat menyampaikan Islam kepada seluruh rakyat.

Bukankah kita diceritakan oleh Al Quran bahawa kisah Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., dan Kisah Budak dalam Ashabul Ukhdud tatkala mereka ingin menyampaikan Islam dan seruannya, mereka mengambil peluang dengan kehadiran ramai kaum dan umat mereka agar turut mendengar dan menyaksikan kejadian itu dan dakwah mereka.

17. Ini adalah ijtihad PAS yang perlu difahami oleh semua, bahawa pendekatan ini adalah pendekatan kontemporari dan datang daripada kefahaman ulamak dan Syura PAS menerusi apa yang difahami daripada Al Quran dan Sunnah. Janganlah memperkecilkan ijtihad ini kerana ia datang daripada sejumlah Ulamak PAS yang diyakini keilmuaannya dan kemampuannya dan ijtihad ini andainya benar beroleh 2 pahala dan sekiranya salah beroleh tetap 1 pahala.

18. Ada juga pihak yang ingin menimbulkan persepsi bahawa Ulamak PAS yang hadir ke majlis adanya pemimpin negara seumpama ulamak suk berdasarkan hujjah kitab Imam Ghazali. Ya,  Imam Ghazali ada hujjahnya. Namun melihat hujjah kepada Imam Ghazali ia berbentuk menasihat bukan melarang secara mutlak.

الأمور بمقاصدها

"Setiap perkara itu dirujuk akan tujuannya."

Kalau tujuan kehadirannya bukan bersekongkol dengan pemimpin korup dan zalim, tetapi untuk menasihat dan menyampaikan Islam dan berdakwah. Sekiranya tidak boleh pergi menasihat maka tidak bolehlah Nabi Musa pergi berjumpa Firaun dan pembesarnya.

19. Perlu juga difahami dalam konteks demokrasi, kalau sekiranya PAS tidak mengambil peluang demokrasi dan ruangnya seperti menegur, menasihat, memberi cadangan dan idea sama ada dalam Dewan Rakyat dan juga di luar, maka PAS pula nanti dianggap tidak proaktif.

PAS juga mudah menjadi sasaran tuduhan sebagai gerakan yang tidak demokratik dan subversif pulak.  

20. Inilah penyelesaian yang dikemukakan oleh PAS yang perlu difahami dan dihayati oleh ahli PAS dan semua pihak. PAS adalah gerakan Islam yang bersifat anjal dalam tindakan dan berprinsip dalam dasar perjuangannya.

ISLAM ITU PENYELESAIAN
INILAH PENYELESAIAN KITA

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan Lajnah Penerangan DUPP
7 Disember 2016/ 7 Rabiul Awwal 1438 - HARAKAHDAILY 7/12/2016

Share on Myspace