Kini PAS punyai ramai aset amilin

ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS - siri 12

HARI ini menyambung kembali program ziarah di kawasan saya, program berjadual bukan sahaja bertujuan untuk membantu masyarakat malahan bertujuan untuk saya dapat bertemu masyarakat di kawasan saya seramai mungkin selain daripada program Raudhah iaitu kuliah bulanan kepada penerima bantuan bulanan di 11 buah Kampung.

Ziarah orang sakit, ziarah orang tua, bayi baru lahir dan ziarah fakir miskin di jadualkan secara bergilir-gilir, kadangkala 4 hari seminggu, kalau saya tidak sibuk dengan urusan lain di sebelah pagi, kadang-kadang setiap hari dalam seminggu. Jadual ini disusun oleh Pejabat Adun, saya cuma ikut sahaja jadual yang telah diaturkan. Alhamdulillah PAS Tanjung Lumpur memiliki aset amilin yang ramai dan sentiasa bersedia membantu setiap hari.

Sangat berbeza dengan situasi zaman muda saya yang agak sukar untuk mendapatkan amilin yang dapat membantu sentiasa, kadang-kadang menampal poster seorang diri. Paling ramai pun tiga orang itupun hanya sebelah malam, kalau nak berziarah setiap hari sebegini memang sukar, sesekali boleh lah, itupun tak ramai, namun suasana ini telah berubah dari semasa ke semasa.

Mereka bergilir-gilir membantu saya, sama ada muslimin, muslimat atau pemuda sentiasa bersemangat untuk membantu walaupun tanpa upah. Memang program ziarah memenatkan, namun ia adalah satu program terbaik untuk dapat bertemu masyarakat di samping kita dapat mengetahui permasalahan masyarakat secara jelas. Tapi sehingga kini saya lihat mereka macam tak pernah rasa penat untuk membantu.

Banyak kelebihan menziarahi ni, pernah diawal kemenangan dulu saya dan kawan-kawan saja merayau-rayau, meninjau di kawasan saya, saya lihat sebuah rumah yang sangat uzur, hampir keseluruhan atapnya bocor, saya ke rumah tersebut, penghuninya sepasang warga emas, dia agak kehairanan apabila lihat kami beramai-ramai kerumahnya dan dia seperti tidak dapat berkata-kata apabila saya katakan pihak Pejabat Adun akan menukarkan keseluruhan atap rumahnya.

Dalam tempoh seminggu atap rumahnya ditukar baru, rumah sederhana besar, tidaklah besar sangat kosnya, dia datang ke pejabat Adun, dengan nada sedih dan berterima kasih yang bersangatan katanya dia dah beberapa kali memohon agar dibantu, tapi tak dapat, "dengan orang yang saya minta tak pernah dapat, dengan orang yang saya tak minta dapat pulak," katanya sambil senyum tapi terharu.

Inilah antara kelebihan menziarahi, dengan keewangan yang terhad, kita tidak mungkin mampu membantu semua, tetapi dapatlah diusahakan untuk membantu serba sedikit, sekurang-kurangnya dapatlah meringankan sedikit bebanan mereka.

Hari ini selepas program raudhah kami akan menyambung lagi program ziarah dan akan terus menyambungnya selagi Allah SWT izinkan kaki kami melangkah, terima kasih para amilin. – HARAKAHDAILY 13/12/2016

Share on Myspace