Kita dan Nabi Muhammad SAW

Abdul Mu’izz Muhammad | .

Marilah kita serius memberikan komitmen menjadi pengikut setia Nabi Sallallahu alaihi wasallam.

Kenal Tetapi Enggan Ikut Nabi

Ahli Kitab yang pada awalnya kelihatan tidak sabar-sabar mahu bersama Nabi akhir zaman. Rupa-rupanya mereka hanya mahir berkaitan biodata dan maklumat-maklumat berkaitan Nabi. Tetapi enggan mengikuti ajaran Nabi. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ ۖ وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Mereka yang telah Kami kurniakan kitab, mereka mengetahui tentangnya (Nabi) seperti mereka kenal anak-anak mereka. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka tahu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 146)

Jangan jadi seperti Ahli Kitab. Sekadar kenal dan olok-olok mahu bersama Nabi.

Jadilah Ribbiyyun

Al-Quran telah menjelaskan ciri-ciri khusus tentang golongan yang setia dengan ajaran para Nabi dan Rasul. Firman Allah SWT:

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Dan berapa ramai Nabi yang berjuang, bersama mereka pengikut-pengikut yang bertaqwa yang ramai. Mereka tidak merasa terhina dengan cabaran yang ditempuhi sepanjang berada di jalan Allah, mereka tidak lemah dan mereka tidak menyerah kalah. Allah amat mengasihi golongan yang sabar.” (Surah Ali Imran, ayat 146)

Golongan ribbiyyun mestilah menepatkan diri dengan perkara seperti berikut:

– Menempatkan dirinya sentiasa Fi Sabilillah.

– Cekal dengan tribulasi menegakkan Islam.

– Tidak lemah dan tidak menyerah kalah.

– Mempunyai daya kesabaran yang tinggi.

Zaman Sabar, Pahala 50 Sahabat

Untuk menjadi ribbiyyun mestilah kuat bersabar dengan Islam. Apatah lagi kita berada di zaman fitnah Islamphobia hari ini. Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita dengan sabdanya:

إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامَ الصَّبْرِ لِلْمُتَمَسِّكِ فِيهِنَّ يَوْمَئِذٍ بِمَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْكُمْ ” ، قَالُوا : يَا نَبِيَّ اللَّهِ أَوَ مِنْهُمْ ؟ قَالَ : ” بَلْ مِنْكُمْ

“Sesungguhnya selepas kamu munculnya hari-hari penuh kesabaran untuk berpegang teguh (dengan Islam). Ketika itu dikurniakan pahala 50 orang di kalangan kamu. Sahabat bertanya ‘Atau gandaan pahala mereka?’. Nabi menjawab ‘Bahkan mereka beroleh gandaan pahala kamu (sahabat)’.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kita sudah tidak berpeluang menjadi sahabat, tetapi kita masih berpeluang mendapat pahala 50 orang sahabat.

Zaman Umat Terlalu Rindukan Nabi

Bohong menjadi benar, benar menjadi bohong. Amanah menjadi khianat, khianat menjadi amanah. Dunia jadi jahanam, manusia hilang kewarasan. Paradigma manusia menjadi serba songsang.

Ketika itu, umat Islam seolah-olah menjadikan angan-angan bertemu dengan Nabi sebagai nikmat yang meringankan penderitaan yang sedang mereka alami. Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أَحَدِكُمْ يَوْمٌ ، وَلَا يَرَانِي ، ثُمَّ لَأَنْ يَرَانِي ، أَحَبُّ إِلَيْهِ مَنْ أَهْلِهِ وَمَالِهِ مَعَهُمْ

“Akan tiba ke atas salah seorang dari kalian, satu hari di mana dia tidak dapat melihatku. Kemudian seandainya dia dapat melihatku itu lebih disukai dari seluruh keluarga & hartanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saudara-Saudara Yang Dirindui Nabi

Biarlah ungkapan sayang dan rindu kita kepada Nabi sepadan dengan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Al-Hadis.

Menjadi seorang muslim yang beriman, mendukung iman dan memperjuangkan iman. Sabda Rasulullah SAW:

وَدِدْتُ أَنِّي لَقِيتُ إِخْوَانِي ” قَالَ : فَقَالَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوَلَيْسَ نَحْنُ إِخْوَانَكَ ؟ قَالَ : أَنْتُمْ أَصْحَابِي ، وَلَكِنْ إِخْوَانِي الَّذِينَ آمَنُوا بِي وَلَمْ يَرَوْنِي

“Aku sangat bahagia sekiranya bertemu dengan ikhwan(saudara-saudara)ku. Para sahabat bertanya ‘Bukankah kami adalah ikhwanmu?’ Nabi menjawab ‘Kalian adalah sahabat-sahabatku, akan tetapi ikhwanku adalah golongan yang beriman sungguh dengan aku, dan mereka tidak sempat bertemuku’.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sahabat dengan kelebihan sahabat yang tidak akan boleh ditandingi. Namun Allah tetap memberikan kita peluang menjadi orang yang istimewa di sisi Nabi. Ikhwan.

Doa Golongan Ribbiyyun

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِين

“Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami serta ketelanjuran kami dalam urusan-urusan kami. Dan tetapkanlah pendirian kami, bantulah kami ke atas golongan kafirin.” (Surah Ali Imran, ayat 147)

Cinta lahir dengan tanggungjawab, bukan dengan gimik! (ulamasedunia.org)

Penulis merupakan Felo Muda Akademi Al-Ghazali.

Share on Myspace