Catatan Tamrin Qiyadi PAS Pusat

MUHTAR SUHAILI | .

CATATAN TAMRIN QIYADI PAS PUSAT: PAS PARTI BERPRINSIP, BERMARTABAT & PATUH SYARIAH

KEPIMPINAN adalah amanah. Ia menuntut kepada mereka yang menerima taklifan untuk melaksanakannya sesuai dengan syariat dan ia akan diminta pertanggungjawaban di Akhirat nanti! Atas segalanya, mereka yang berjuang dengan Islam, pasti akan menang yakni mencapai kejayaan (al-falah) dunia dan Akhirat. Wawasan perjuangan Islam yang dibawa oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ialah wawasan dunia menuju Akhirat.

Ahli Majlis Syura ‘Ulamak (MSU), Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, AJK Harian Dewan-dewan PAS Pusat dan AJK Harian PAS Negeri-negeri telah berkampung selama 2 hari pada 2-3 Disember 2016 = 2-3 Rabi’ul Awal 1438H yang lepas di Rusila, Marang, Terengganu Darul Iman untuk menghadiri Tamrin Qiyadi PAS Pusat 2016.

Antara resolusi utama kepada Tamrin Qiyadi kali ini ialah PAS akan terus memastikan segala langkah dan tindakannya adalah berasaskan dasar Islam dan patuh syariah. Apa yang perlu menjadi asas utama persoalan dalam segala gerak kerja PAS ialah adakah perkara yang dilakukan itu selari dengan syarak? Jika ya, teruskan dengan penuh strategi meski kadang-kadang ada kesan politik dan persepsi umum. Jika ia bercanggah dengan syarak, PAS akan menghentikannya walaupun diketahui akan merugikan dari segi mileage politik. PAS akan tetap tegas dari segi prinsip dan jalan juangnya, in shaa Allah.

Berikut merupakan pengisian-pengisian yang telah disampaikan sepanjang Tamrin Qiyadi PAS Pusat:

1.Ucaptama dan Perasmian oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS). Tajuk: “Kepimpinan PAS: Cabaran dan Solusi”.

2.Wacana Qiyadi 1 oleh YB Senator Dato’ Dr. Johari Mat (Ahli Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) dan Naib Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat). Tajuk: “Qiyadah: Antara Amanah & Cabaran”.

3.Kuliah Maghrib oleh Ustaz Dato’ Dr. Mohd Zawawi Salleh (Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak (MSU)). Tajuk: “Pra-Syarat Kemenangan Islam”.

4.Wacana Qiyadi 2 oleh YB Ustaz Idris Ahmad (Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat). Tajuk: “Cabaran Memimpin Perjuangan PAS”.

5.Kuliah Subuh oleh Ustaz Zulkifli Ismail (Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri Melaka). Tajuk: “Rasulullah SAW Sebagai Role Model Kepimpinan Massa”.

6.Wacana Qiyadi 3 oleh YBhg Dato’ Dr. Mahfodz Mohamad (Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat). Tajuk: “Memimpin Jamaah Dengan Akhlak dan Kemantapan Tanzim”.

7.Forum Qiyadi “Kepimpinan PAS: Cabaran dan Penyelesaiannya” dengan Ahli Panel Pak Subky Latif dan Dato’ Wan Muthalib Embong serta turut bersama YB Dato’ Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS).

8.Majlis Penutupan dan Taujihat Khas dari Mursyidul ‘Am PAS, YBhg Tuan Guru Haji Hashim Jasin.

9.Selain Qiammulail dan sesi-sesi sesi soal jawab dengan Dr. Ustaz Riduan Mohd Nor menjadi Pengerusi keseluruhan program.

PAS Istiqamah Parti Berprinsip & Pimpinan Bermartabat

PAS adalah Gerakan Islam yang memperjuangkan agenda tarbiyah, dakwah dan siasah Islamiyah. PAS yang lahir 65 tahun lepas adalah bagi memenuhi tuntutan agama sebagaimana Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Perkara ini dipertegaskan di dalam muqaddimah Perlembagaan PAS yang menyebut: “Bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil mungkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisyiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "Parti Islam Se-Malaysia".

Fasal-fasal selanjutnya pula menyebut bahawa Dasar PAS ialah ISLAM, Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR dan tujuannya ialah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaannya. Hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias yang terang dan nyata.

Justeru, sepanjang Tamrin Qiyadi ini telah disentuh secara konsisten bahawa PAS tidak akan berkompromi dari dasar dan prinsipnya. Pimpinan PAS perlulah bermartabat dan hendaklah berasa izzah (mulia) dengan perjuangan Islam ini. Perjuangan PAS adalah perjuangan mengajak seramai mungkin manusia kepada keindahan Islam. Menyeru manusia kepada Islam yang syumul rahmatan lil ‘alamin yang tiada memisahkan antara politik, dakwah dan tarbiyah. Strategi yang betul bagi Gerakan Islam ialah strategi untuk memastikan Islam memerintah dan tidak diperintah-perintah serta Islam memimpin dan bukan dipimpin.

Pimpinan Perlu Setia Kepada Perjuangan & Bai’ah

“Saya tidak berperang untuk Umar!”, inilah kata-kata yang dilafazkan oleh Khalid Al-Walid setelah dipecat sebagai Panglima Perang oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Meskipun diberhentikan secara total dari jawatannya, Khalid ibn Al-Walid tetap setia pada pemimpin dan agamanya. Beliau menerima keputusan pemberhentiannya dan tetap istiqamah berjuang bersama jamaah kerana Allah.

Khalid Al-Walid adalah salah seorang jeneral Arab yang sangat terkenal di awal perkembangan Islam abad ke-7. Kemampuan ketenteraannya dicatatkan sejarah dalam memimpin pasukan-pasukan dakwah dan perang baginda Rasul Muhammad SAW dan dua Khulafaur Rasyidin iaitu Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan Khalifah Umar Al-Khattab. Oleh kerana beliau tidak pernah kalah dalam lebih dari seratus pertempurannya melawan tentera Rom dan Parsi, beliau dihormati sebagai salah seorang panglima perang terbaik sepanjang zaman.

Seperkara yang mungkin tidak mampu dimiliki oleh panglima perang lainnya adalah sifatnya yang jauh dari keangkuhan dan penuh kemurnian tujuan. Hal ini ditunjukkannya dengan menerima secara penuh berlapang dada kebijakan khalifahnya. Sungguh sangat mungkin baginya memberontak kepada khalifah kerana pasukannya yang sangat mencintai diri jeneralnya, namun itu tidak dilakukannya kerana perjuangannya adalah kerana Allah Rabbul ‘Izzati dan bukan kerana gila pangkat dan jawatannya.

Kisah ini diulang oleh empat pembentang dan pentazkirah sepanjang Tamrin Qiyadi kali ini sebagai peringatan bersama. Tujuannya adalah bagi menjelas lagi menekankan betapa pimpinan perlu setia kepada perjuangan dan bai’ah yang telah dilafazkannya tidak kira sama ada saat dipilih atau kalah pemilihan dan saat berjawatan atau saat tidak memegang apa-apa taklifan jamaah. Semoga ia menjadi muhasabah kepada pimpinan yang ada menjelang pemilihan parti yang akan diadakan tahun hadapan.

Strategi Politik & Strategi Pilihanraya PAS Wajib Patuh Syariah

PAS adalah sebuah Gerakan Islam dengan rencam pengalaman dalam mendepani sosio-politik Malaysia. Oleh itu, strategi politik dan strategi pilihanraya adalah perkara strategik yang diambil serius oleh PAS. Sepanjang Tamrin Qiyadi ini telah dibincangkan tentang strategi PAS dalam mendepani kedinamikan suasana politik Malaysia hari ini.

Apa yang pasti, strategi politik dan pilihanraya PAS wajib patuh syariah. Strategi juga perlu mengambilkira pandangan naqli dan aqli. Tugas kita sebagai ‘amilin jamaah ialah terus berintima’ (menggabungkan diri) dan bekerja, kemenangan itu datangnya dari Allah SWT. Sebagai Mukmin, kita yakin penuh dengan janji Allah dan hendaklah sentiasa bersangka baik kepadaNya. Allah akan memberi kemenangan bila pra-syarat kemenangan itu telah dipenuhi. Bahkan berdasarkan sejarah Islam, Allah boleh menganugerahkan kemenangan ketika akal mengatakan tidak logik untuk menang!

Sebagai sebuah jamaah Islam, PAS percaya kepada syura dan mesyuarat dan in shaa Allah keputusan syura ada keberkatannya. Roadmap PAS yang telah diluluskan akan menjadi asas utama kepada langkah ke hadapan PAS menuju PRU Ke-14 dan selepasnya. Asas utama kepada Peta Jalan PAS dan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diterajui PAS kini tidak lain dan tidak bukan bagi memastikan PAS mampu menjadi pencatur utama politik negara ke arah mewujudkan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

Strategi tidak akan dikongsikan kepada umum sehingga keputusan dibuat. Apapun, rahsia umum berdasarkan keputusan tahaluf semasa PAS (sehingga hari ini) sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh parti ialah PAS bersama IKATAN dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN), telah memutuskan hubungan tahaluf dengan DAP, mengekalkan hubungan dengan PKR, tiada kerjasama dengan PAN dan terbuka dengan PPBM. Berkenaan Umno, sehingga kini telah 19 kali Mesyuarat AJK PAS Pusat sesi 2015-2017 tidak ada mana-mana keputusan untuk bergabung dengan Umno. Apapun, kita boleh bekerjasama atas konsep ta’awanu ‘alal birri wat taqwa khususnya dalam agenda Ummah dan pemerkasaan syariat seperti isu Rohingya, Palestin, Bosnia, RUU355 dan lain-lain.

Gerak kerja politik ke hadapan PAS ialah memperkukuhkan Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Perbincangan dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan GAGASAN sedang berjalan sebagai sebahagian daripada Roadmap PAS. Pada akhirnya strategi PAS ke Putrajaya ialah PAS hendak Islam menang dan menang dengan Islam. Rencam pengalaman sebelum ini mendewasakan PAS dengan siapa perlu menjadi kawan dan siapa perlu menjadi lawan!

Maqasid Syariah Mesti Bertujuan Mempertahankan Syariat

Rasulullah SAW adalah role-model (contoh tauladan) kepimpinan massa. Nabi Besar Muhammad SAW telah berjaya membimbing bangsa Arab yang selamanya belum pernah memiliki pemerintahan sendiri yang merdeka dan berdaulat (kerana bangsa Arab adalah bangsa yang sentiasa dijajah oleh Parsi dan Rom), menjadi bangsa yang akhirnya mampu mendirikan negara kesatuan dan empayar yang terbentang luas dari benua Afrika sampai ke Asia. Lebih menarik, kepimpinan Islam yang dibawa baginda melaksanakan perintah Allah dan mendekatkan manusia kepada Allah SWT.

Firmah Allah Ta’ala di dalam Surah Al-Maidah ayat 56:

“Dan barangsiapa yang mengambil Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”

Selari dengan keinginan mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW dan salafus-soleh, PAS konsisten terus memperjuangkan lima objektif utama syariah iaitu pemeliharaan agama (hifz al-din), pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs),  pemeliharaan akal (hifz al-a’ql), pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dan pemeliharaan harta (hifz al-mal) secara syumul tanpa terpisah.

Apa yang ditekankan oleh PAS ialah Maqasid Syariah mesti bertujuan mempertahankan syariat. Bila syariat dijunjung dan hukum Allah ditegakkan, ia akan menatijahkan kepada tercapainya maksud Maqasid Syariah. Apa yang mendukacitakan dan berlaku kini ialah beberapa pihak (tidak semua) mencanangkan tentang maqasid syariah akan tetapi dalam masa yang sama menentang pelaksanaan syariah. Ini sesuatu yang sangat songsang dan tidak berpijak kepada realiti siasah syar’iyyah.

Justeru itu, dalam konsep bernegara, pemerintahan dan pentadbiran, PAS menerapkan konsep Negara Berkebajikan, Membangun Bersama Islam dan lain-lain yang pada tujuan akhirnya bagaimana supaya tujuan syariat dapat diupaya dan dilaksanakan dalam pendekatan muwajahah silmiyah dan konteks demokrasi yang diamalkan di dalam negara ini. Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Awang turut menegaskan betapa keutamaan Islam menjadi teras kuasa politik dalam menghadapi kejahilan umat Islam dan kelemahan para ‘ulamak dan ‘umarak. Dalam masa yang sama, kaum bukan Islam menjadi sebahagian masyarakat majmuk yang boleh bertahaluf dengan syarat namun tanpa wala’ dengan mereka.

Akhlak Pimpinan: Ikhlas, Mesra, Syaja’ah, Tawadhu, Sabar
 
Sepanjang Tamrin Qiyadi ini juga, akhlak pimpinan juga turut disentuh dan dimunaqasyahkan. Para Rasul adalah qudwah hasanah khusus bagi para pimpinan Parti Islam. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:

"Sesunggunya pada diri Rasulullah SAW terdapat contoh tauladan bagi mereka yang menggantungkan harapannya kepada Allah dan Hari Akhirat serta banyak berzikir kepada Allah."

Empat sifat wajib bagi Nabi dan Rasul iaitu siddiq (benar), amanah (terpercaya), tabligh (menyampaikan) dan fatonah (cerdas) sewajarnya menjadi ikutan para pimpinan. Dalam masa yang sama, empat sifat mustahil bagi Nabi dan Rasul iaitu kidzib (dusta), khianat (tidak terpercaya), kitman (menyembunyikan) dan jahlun (bodoh) sewajarnya menjadi sempadan kepada para pimpinan Gerakan Islam.

Selain itu, antara akhlak pimpinan yang perlu diberi perhatian ialah ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah dan bukan selainnya, mesra yakni inklusif dan tidak ekslusif iaitu dengan sentiasa berusaha mendampingi dan bersama ahli akar umbi, syaja’ah iaitu berani kerana kebenaran, tawadhuk dengan merendah diri serta tidak ego lagi menjadikan jawatan sebagai batu loncatan mendapat kemasyhuran diri dan sabar dalam menghadapi mehnah dan tribulasi perjuangan sama ada saat menang atau kalah.

“Mengiayakan yang benar dan menidakkan yang bukan”. Inilah yang dinamai syaja’ah. Iaitu berani kerana benar dan takut kerana salah. Prinsip dan perangai yang sihat ini sewajarnya dipegang utuh, dijiwai dan dibudayakan oleh pimpinan khususnya ke arah meluruskan ufuk minda dan sekaligus mengangkat martabat gerakan.

Menurut Prof. Dr. HAMKA di dalam bukunya ‘Tasauf Moden’, keutamaan syaja’ah merupakan salah satu syarat yang perlu dalam memantapkan kesihatan jiwa selain daripada sifat ‘iffah (pandai menjaga kehormatan batin), hikmah (tahu rahsia dari pengalaman hidup) dan ‘adaalah (adil yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya). Prof. Dr. HAMKA menukilkan bahawa syaja’ah ialah perangai yang timbul daripada tabiat manusia yang bernama ghadab, ertinya marah. Syaja’ah mempunyai dua pinggir. Pinggir sebelah ke atas terlalu panas dan itulah yang bernama tahawwur, iaitu berani membabi buta. Sementara pinggir ke sebelah bawah terlalu dingin dan itulah yang bernama jubun, iaitu pengecut.

Tahawwur ialah keberanian manusia menempuh suatu hal meskipun menurut pertimbangan akal yang waras perkara itu tidak sewajarnya ditempuh. Punca kepada timbulnya sikap berani membabi buta ialah lantaran darah marah yang mendidih yang timbul dari nafsu membalas dendam. Manakala jubun pula ialah penyakit yang di bawah dari darjat pertengahan. Pendek kata, kalau diukur dengan termometer kehidupan, tabiat ini amat dingin. Kurang perasaan marah, sehingga tidak ada marahnya pada ketika dan tempat sepatutnya marah. Sikap pengecut atau bacul ini menjadikan seseorang tidak mampu untuk tampil ke hadapan sewaktu perkara tersebut menjadi kewajipan baginya.

Syaja’ah merupakan pusat dari segala budi pekerti dan kemuliaan. Melalui syaja’ah maka akan lahirlah sifat-sifat dan ciri-ciri mulia yang lain pada pimpinan. Adaptasi budaya ini jugalah yang akan mengarahkan kepada terhasilnya pembangunan seimbang yang kolektif dari segi pembangunan intelektual, kekudusan rohani, keperkasaan jasmani dan kesejahteraan emosi di dalam kehidupan pemimpin dan mengemudi jamaah.

Penutup dan Kesimpulan

Bagi mengakhiri catatan ini, suka untuk dikongsikan amanat Mursyidul ‘Am, Tuan Guru Haji Hashim Jasin ketika menangguhkan program. Beliau menyebut betapa pentingnya pimpinan mempunyai hubungan yang dekat dengan Allah SWT. Hubungan habluminalLah perlu dikuatkan kerana inilah rahsia kejayaan umat Islam zaman-berzaman. Selain itu, hubungan sesama manusia yakni habluminannas juga penting dijaga dalam memimpin jamaah dan memantapkan tanzim.

Selain itu, Mursyidul ‘Am sangat seronok dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa oleh PAS kini. Apapun, beliau memperingatkan betapa tidak mudah untuk menerapkan budaya politik matang dalam masyarakat yang mengamalkan budaya politik binatang! Budaya politik binatang mengamalkan budaya pemangsa iaitu siapa yang kuat dia yang berkuasa serta tidak mengenal etika malah mengamalkan prinsip matlamat menghalalkan cara.

Seluruh pimpinan dan ahli PAS perlu membiasakan diri dengan BPMS. Pada akhirnya, PAS ingin mewujudkan suasana kondusif politik dalam negara ini bagi menggantikan politik konvensional yang semakin tidak relavan. BPMS bukan bermakna menyokong kezaliman, bahkan ia adalah usaha mendokong kebenaran dan keadilan - apa yang baik kita sokong dan apa yang tidak baik kita akan tentang. Natijah akhirnya ialah memastikan agenda Islam dimartabatkan.

Sistem yang kita ada sama ada sistem politik, ekonomi, sosial, pendidikan, pentadbiran dan lain-lain masih ada lagi karat jahiliyah peninggalan penjajah. Dengan usaha bersepadu dari semua pihak yang cintakan Islam dan berkehendak kepada urus tadbir yang baik, kita boleh membina negara yang lebih baik ke arah Malaysia Sejahtera. In shaa Allah. – HARAKAHDAILY 19/12/2016

Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Setiausaha PAS Negeri Sarawak.

Share on Myspace