Bagaimana nasib peneroka dan masa depan Felda?

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

 

DI sebalik pelancaran MRT, statistik-statistik yang cuba menyakinkan rakyat bahawa ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik, pemberian BR1M dan sebagainya, masa depan peneroka Felda yang bergantung pada prestasi Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) nampaknya terus malap.

Sejak pelancaran FGV pada 2012 di Bursa Malaysia pada harga RM4.45 sesaham, nilai saham FGV terus merosot ke tahap yang menyayatkan RM1.68 sesaham pada Jumaat yang lepas.

Hakikatnya, saham FGV boleh dikategorikan sebagai saham yang berprestasi terburuk di dalam sektor pertanian.

Kita tentu masih ingat sewaktu FGV dilancarkan, PM Datuk Seri Najib Razak berkata penyenaraian FGV merupakan yang terbesar di Asia pada tahun ini dan tawaran awam permulaan (IPO) itu merupakan yang kedua terbesar di dunia pada tahun ini selepas Facebook.

Masalah FGV tidak lain tidak bukan berpunca daripada kelemahan pengurusan dan juga harga minyak sawit yang rendah.

Bagi peneroka Felda biasa, amat susah untuk mereka fahami bagaimana boleh berlakunya penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi, sebuah anak syarikat yang dimiliki 50% saham oleh FGV di Turki, yang mengalami kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.

Penyelewengan tersebut itu menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September melebar daripada RM33.9 juta tahun yang lalu ke RM94.86 juta tahun ini.

Ketika perkara itu didedahkan, dilaporkan juga bahawa jumlah kerugian saham luar biasa itu adalah akan tertakluk kepada hasil audit forensik.

Apakah perkembangan audit forensik setakat ini? Apakah ada pihak atasan FGV dan Felda yang akan bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini?

Bukan itu sahaja, Jabatan Audit Negara juga telah mendedahkan sejumlah 64 kontrak untuk perolehan ‘light detection and ranging’ (LiDAR) bernilai RM148.42 juta telah ditandatangani tanpa kebenaran yang sah. Selain itu, projek jalur lebar serta tiga projek lain juga dilaporkan mengalami kerugian kerana kelemahan perlaksanaan dan pemantauan.

Prestasi Felda selepas Tan Sri Isa Samad sejak menjawat Presiden amat tidak menyakinkan peneroka. Felda bukan sahaja berdepan dengan penyelewengan di bawah Tan Sri Isa, ia juga berdepan dengan pengurangan hasil akibat profil usia pokok sawit yang tua, kegagalan merancang penanaman semula yang berkesan dan kelemahan pemantauan terhadap prestasi anak-anak syarikat.

Walaupun Isa Samad berkata yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara siri dua sebelum ini telahpun diambil tindakan pihaknya, namun hakikatnya para peneroka tidak mengetahui bilakah FGV akan kembali membawa keuntungan kepada mereka.

Bagi PAS, sebagai Pengerusi Felda, Isa Samad perlu memikul tanggungjawab keatas kerugian ini dan bukan hanya mengambil tindakan ke atas individu yang terlibat.

Dengan suasana ekonomi yang semakin mencabar, FGV berdepan masa mencabar pada 2017. Nasib peneroka Felda semakin malap jika tiada sebarang penambahbaikan yang konkrit dilakukan untuk menukar nasib FGV.

Dengan melihat bertambahnya projek perumahan generasi kedua Felda terbengkalai, semakin ramai peneroka tertanya-tanya akan kesihatan kewangan Felda – apakah ia seperti nilai saham FGV hari ini?

Nasib peneroka dan prestasi FGV bakal menjadi satu isu penentu nasib politik Umno di PRU14.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
19 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 19/12/2016

Share on Myspace