Tak perlu muka tak mandi beritahu tiada air

DR AZMAN IBRAHIM | .

Saya bermastautin di Kubang Kerian dari tahun 2000 lagi. Setakat ini tak pernah lagi saya tak dapat mandi pagi sebab tak ada air. Klinik saya pun tak pernah lagi tak dapat beroperasi sebab ketiadaan air.

Kualiti bekalan air adalah relatif bergantung kepada dari mana sumber air itu datang sama ada dari telaga tiub atau loji pemprosesan yang bersumberkan air sungai. Sebagaimana langit tak selalunya cerah, begitulah juga air sungai tak selalunya jernih.

Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), Ir Hanafi sahabat baik saya. Sekarang beliau berkhidmat di Bahagian Kejuruteraan MPKB. Darinya saya dapat sedikit maklumat berkenaan projek bekalan air Kelantan yang dibiayai dengan pinjaman dari Kerajaan Pusat.

Sebenarnya Kerajaan Pusat yang buat spesifikasi projek, Kerajaan Pusat yang pilih kontraktor, Kerajaan Pusat juga yang luluskan kerja-kerja projek. Bila siap kerja, Kerajaan Pusat akan masukkan duit dalam akaun AKSB untuk pembayaran kepada kontraktor yang berkenaan. Mudah sebut, duit pinjaman hanya lalu saja melalui AKSB untuk bayar kepada kontraktor tanpa pihak AKSB mempunyai autoriti untuk campur tangan dalam kerja-kerja yang dijalankan. Tanggungjawab AKSB seterusnya ialah untuk bayar balik pinjaman ini setiap bulan.

Lantaran itu, bila wujud masalah berkaitan kualiti atau tekanan air dan sebagainya, perlu tengok banyak faktor. Jangan terus menuding jari kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Apakah projek bekalan air yang dibuat oleh Kerajaan Pusat ini benar-benar menepati spesifikasi yang sepatutnya atau sebaliknya?

Kalau kita nak bercakap tentang kualiti air, dalam kawasan Parlimen Batang Sadong, tempat kami pernah bertugas semasa Pilihan raya Negeri Sarawak baru-baru ini letaknya bukannya jauh pun dari Bandaraya Kuching. Dalam 2 jam saja perjalanan Kuching-Batang Sadong. Tapi airnya lebih banyak warna teh uncang dari jernih. Setiap rumah ada tong buat tadah air hujan. Tadahan air hujan menjadi sumber bekalan air penduduk. Padahal alangkah luasnya Sungai Batang Sadong yang tak pernah kering. Ini pula negeri pure BN! Sepatutnya kualiti bekalan air bertaraf air mineral.

Kuala Terengganu negeri BN pun selalu terputus bekalan air. Pahang lagi teruk, terutama bekalan air di kawasan-kawasan Felda.

Lantaran itu bila kita bercakap soal masalah bekalan air, jangan cepat menuding jari kepada sesiapa. Ini adalah masalah bersama kita semua. Air adalah keperluan asas yang tak perlu dipolitikkan. Putusnya bekalan elektrik lebih ringan kerumitan bagi orang ramai berbanding putusnya bekalan air.

Pembangunan rancak berjalan, kawasan penempatan baru tumbuh bagai cendawan selepas hujan lantaran pertambahan penduduk. Apakah pembangunan bekalan air juga berjalan seiring dengan keperluan pembangunan?

Tak perlulah nak letak berus gigi atas telinga, pakai towel, bawa pencedok air, berdiri tepi jalan dengan muka orang tak mandi kerana nak beritahu rumah dia tak ada air. Memalukan! - HARAKAHDAILY 22/12/2016

Share on Myspace