Kehadiran Presiden PAS dijadikan polemik

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Kehadiran Presiden PAS ke Program di Teheran Dijadikan Polemik

Kehadiran Presiden PAS ke program di Teheran dijadikan polemik. Ia bermula panas apabila ada seorang Arab mengecam kehadiran Presiden PAS ke program tersebut tanpa menyelidiki sebab musabbabnya.

Ia lalu disambut oleh beberapa orang yang ada nama sebagai orang ada ilmu agama di Malaysia juga mengecam. Salah seorangnya menghantar whatsap peribadi kepada saya bertanya betulkah gambar yang tersebar. Saya menjawab: ya itu program tahunan taqrib mazhab. Tak lama selepas itu keluar tulisannya mengecam Presiden PAS. Tak ada pula ditanya: kenapa Presiden PAS hadir? Apa yang dibuat? Entahlah apa niatnya!!! Saya serahkan kepada Allah menilainya.

Kemudian Arab tersebut menulis surat terbuka kepada Kesatuan Ulamak (KUIS) agar "menghalau" Presiden PAS daripada Kesatuan Ulamak kerana kehadiran tersebut.

Kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Presiden menyatakan kehadiran Presiden PAS telah "dimaklumkan" kepada Setiusaha KUIS.

Kemudian keluar pula kenyataan media KUIS dengan bahasa keras mengecam kehadiran Presiden PAS juga tanpa mendapatkan penjelasan terlebih dahulu.

Isunya ialah perang di Syria. Bagaimanakah perlu diselesaikan?

Maka berteriak dan bertempiklah pelbagai pihak yang sememangnya menanti "bola tanggung" untuk menyerang Presiden PAS.

Media sosial menjadi medan mengecam dan batu api. Prasangka diperluas dan diperbesarkan. Setiap orang ingin menulis sama ada dengan ilmu atau tanpa ilmu. Tanpa sedar bahawa Malaikat mencatat setiap apa yang dititipkan. Ramai yang sedang "makan daging mayat saudaranya" sendiri. Dosa yang tidak terampun melainkan jika hanya dimohon maaf kepada empunya diri.

Presiden PAS mengambil sikap menghantar surat kepada Syeikh Qardawi menjelaskan pendirian beliau dalam isu perang di Syria. Ia adalah pendirian seorang Presiden kepada sebuah parti dan tidak semestinya mewakili pendirian KUIS.

Saya juga mengeluarkan kenyataan dalam versi Arab dan Melayu menegaskan kehadiran beliau atas kepentingan PAS dalam menyampaikan pandangan dalam apa sahaja forum.

Bagi saya isu ini tidak perlu dipolemikkan. Sikap saling menghormati pendirian mesti ada.

PAS sepertimana seluruh umat Islam bersatu hati dalam mengecam tindakan perang oleh Basyar sehingga menyebabkan pertumpahan darah rakyat. Tinggal lagi bagaimana pendekatan bagi menyelesaikan isu ini. Bagaimana kita melihat akar umbi permasalahan. Siapa yang sebenarnya mendapat keuntungan? Siapa di belakang tabir? Bagaimana perlu dihentikan perang bagi menyelamatkan nyawa.

Kita berbeza pada cara menangani dan melihat sisinya tetapi bersatu dalam mengecam pembunuhan dan peperangan. Itu adalah hak setiap orang untuk berbeza sudut pandang.

Kehadiran Presiden PAS dalam KUIS tidak mengikat sebuah parti seperti PAS untuk mempunyai pendirian tersendiri dalam pelbagai isu dunia.

KUIS sebagai sebuah kesatuan peringkat internasional perlu menjadi platform tokoh-tokoh ulamak untuk bertemu dan berdiskusi mencari titik sepakat dalam pelbagai isu ummah dan menghormati lerbezaan.

KUIS berhak berbeza pandangan dengan Presiden PAS.

Namun, ada pihak dilihat sangat seronok sekiranya Presiden PAS dilihat tidak lagi bersama KUIS.

Sebagaimana barat mahu umat bertembung sesama sendiri di bumi Syria, Iraq, Palestin, Mesir, Libya maka begitulah mereka juga mahu KUIS juga dilihat bertembung sesama sendiri.

Hari ini ada pula parti yang majoriti pimpinannya tidak Islam yang sememangnya memusuhi PAS tumpang semangkuk atas isu ini dalam perutusan krismasnya. Biarkanlah...

Saya yakin tokoh-tokoh ulamak seperti Syeikh Qardawi dan Tuan Guru Haji Hadi akan sentiasa bersama menghadapi permainan pihak berkepentingan dalam memecahbelahkan umat.

Dr Khairuddin Takiri
24hb Disember 2016, Belgium.

Share on Myspace