Otai PAS tidak terkesan oleh fitnah

ROSLI ABDUL JABAR | .

Aku Amilin PAS - siri 13

BUKAN baru ni dengar fitnah orang terhadap PAS, saya mula berjinak dengan PAS pada tahun 80-an pun ditengah-tengah PAS sedang dikelar dengan pelbagai fitnah. PAS ajaran sesat, PAS pengganas, PAS pemecah belah dan lebih hebat sehingga berlakunya peristiwa Memali, orang PAS dibunuh dan PAS pula dituduh sebagai komunis dan pengganas.

Masa tu otai-otai jadi sandaran tempat bertanya, remaja macam saya tak tahu apa-apa sangat, otai-otai nampaknya rilek je, siap ketawa lagi apabila mereka bersembang fasal fitnah yang dilontarkan kepada PAS, jadi hiburan pulak. Memang pelik, seperti tiada sedikitpun kesan di hati mereka terhadap fitnah yang dilontarkan.

Usai peristiwa Memali saya diajak ke Temerloh dengar ceramah, dalam kereta otai-otai bersembang, "Apalah sangat ujian kita kalau nak bandingkan dengan Nabi SAW", kata seorang otai. Saya bagi tumpuan penuh pada ceramah yang disampaikan, tidak seperti biasa, mungkin isu kali ini sangat menuntut kepada fahaman disebabkan TV siang malam dok hentam PAS.

Sesudah mendengar ceramah barulah saya faham dengan watak sebenar Tun Mahadir yang memimpin Umno pada masa tu, baru saya faham juga kenapa PAS bersungguh melawan Umno, barulah juga saya faham kenapa otai-otai ni, berhabis tenaga, masa dan duit untuk PAS walaupun mereka sendiri tahu yang PAS susah nak menang di tempat saya.

Jiwa jadi tenang selepas dengar ceramah, "fitnah adalah senjata musuh untuk lemahkan perjuangan Islam, tiada parti yang akan kekal kuat jika parti mereka dibangunkan dengan fitnah melainkan mereka akan buruk reput akhirnya runtuh dengan fitnah mereka sendiri, sedangkan Islam itu bangun atas hamparan fitnah kerana inilah perjalanan sirah perjuangan Nabi SAW", ini antara bait-bait ceramah yang saya ingati.

PAS ada program tarbiyyah dan semua fitnah akan terjawap di sana, yang timbul masaalahnya apabila tak datang dengar pesanan dan penjelasan daripada pimpinan, yang terbaru ada fitnah yang cuba lagakan TGHH dan TITM, mungkin dibuat oleh budak baru nak belajar jadi jahat, ada orang bertanya kepada saya, betul ke?, saya kenal keduanya, kami selalu bersama dalam mesyuarat dan program, malas nak jawab, cuma dalam hati berkata juga, kalau fitnah begini, usahkan kata PAS nak runtuh bergegar pun tidak... senyum (pinjam tajuk coretan TITM). – HARAKAHDAILY 27/12/2016

Share on Myspace