Catatan dari Rom: Yakini masa depan di tangan Islam

MUHTAR SUHAILI | .

ALHAMDULILLAH atas segalanya. Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung. Allah Subhanahu Wa Ta'ala menurunkan risalah kepada para Nabi untuk disampaikan kepada hati dan akal umat manusia supaya mereka menjadi insan yang baik sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah di atas muka bumi ini. Tujuan akhirnya ialah agar manusia itu beroleh kejayaan dunia dan Akhirat dengan menjadikan Islam yang bersifat rahmatan lil ‘alamin sebagai cara hidup yang syumul.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Al-Qur'an:

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran: 19).

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di Akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran: 85).

Pada 24-26 Disember 2016, saya berada di Rom, Itali di mana terletaknya Kota Vatikan (Stato della Città del Vaticano), pusat pentadbiran Holy See bagi agama Kristian Katolik. Kebetulan semasa saya berada di Rom, ia merupakan kemuncak sambutan Hari Krismas. Negara Kota Vatikan merupakan sebuah enklaf yang dikelilingi tembok di dalam Kota Rom. Dengan keluasan sekitar 44 hektar, dan populasi kurang dari seribu orang, Negara Kota Vatikan merupakan negara independen terkecil di dunia, baik dari segi keluasan mahupun populasinya.

Negara Vatikan yang berdaulat di bawah pemerintahan Tahta Suci (Holy See) ini terbentuk hasil dari Perjanjian Lateran (juga dikenal dengan nama Concordat) yang ditandatangani pada 11 Februari 1929 oleh Kardinal Gaspari yang mewakili Pius XI dan Benito Mussolini yang mewakili Raja Victor Emmanuel III. Isi utama perjanjian tersebut ialah Kota Vatikan diakui status istimewanya bagi agama Katolik di Itali dan seluruh dunia.

Mencontohi Semangat Suhaib Al-Rumi

Rome was not built in a day! Rom tidak dibina dalam masa satu hari! Ini adalah pepatah yang diambil dari Bahasa Perancis “Rome ne s'est pas faite en un jour” yang bermaksud bahawa untuk membina sesuatu yang hebat akan mengambil masa.

Melihat kepada senario semasa umat Islam hari ini, wajar untuk kita merenung dan memuhasabah langkah ke hadapan kita. Di saat negara umat Islam terus dipersepsi negatif dengan tanggapan sebagai pengganas oleh musuh-musuh Islam, diperlekeh sebagai mundur dan lebih malang berperang sesama sendiri, umat Islam sebenarnya sangat memerlukan lahirnya lebih ramai sosok Mukmin dan perkumpulan Islam yang menghayati perjuangan sehinggakan perasaan, percakapan dan tindakan mereka telah dikuasai kesanggupan terhadap perjuangan demi Allah.

Apabila menyebut tentang Rom, terdapat seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang hebat yang ada hubungkait dengan Rom iaitu Suhaib bin Sinan Al-Rumi radhiallahu ‘anhu. Beliau merupakan as-sabiqunal awwalun (antara orang-orang yang pertama memeluk Islam) dan dianggap salah seorang daripada tokoh istimewa di sisi Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beliau lebih dikenali sebagai tokoh dari Rom walaupun susur galur keturunannya adalah daripada bangsa Arab. Menurut cacatan sejarah, ayahnya iaitu Sinan bin Malik dan seorang bapa saudaranya merupakan pemimpin di suatu kawasan di Sungai Dajlah, termasuk dalam wilayah Kerajaan Parsi. Dalam salah satu pertempuran dengan tentera Rom, Suhaib yang ketika itu masih kecil, ditawan dan dibawa ke Rom. Suhaib dibesarkan di Rom sebagai tawanan perang dan kemudian dijual sebagai hamba kepada seorang ketua suku Kalb. Ketua suku Kalb itu kemudiannya menjual Suhaib kepada Abdullah bin Jaz’an.

Abdullah berasa kagum dengan keperibadian Suhaib lalu beliau dibebaskan dan diajak olehnya untuk bersama-sama menjalankan perniagaan. Kisah keIslaman Suhaib diketahui ketika beliau bertemu dengan Ammar bin Yasir berhampiran dengan rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam, tempat yang menjadi markaz Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menjalankan dakwah baginda.

Setelah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan Abu Bakar al-Siddiq, Suhaib turut berhijrah bersama rombongan yang diketuai Ali bin Abi Talib, namun beliau telah disekat oleh beberapa orang pemuda Quraisy. Suhaib telah menawarkan untuk memberitahu tempat beliau menyimpan hartanya kepada pemuda-pemuda tersebut sebagai balasan sekiranya beliau dibebaskan untuk berhijrah ke Madinah. Tawarannya diterima oleh pemuda-pemuda tersebut lalu Suhaib bebas untuk pergi ke Madinah.

Sebaik sahaja beliau sampai ke Madinah, beliau terus berjumpa dengan baginda Rasulullah yang menyambut kedatangan beliau dengan baginda berkata, “Sungguh beruntung perniagaan Suhaib.”

Amalan Suhaib itu telah dimaklumkan oleh Allah kepada Rasulullah yang membawa kepada turunnya ayat 207 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba-Nya.”

Nah, inilah sebuah sosok yang benar-benar sanggup berkorban demi memastikan kelangsungan perjuangan Islam dapat diteruskan. Sanggup melakukan tadhiyah (pengorbanan) dan menjual dirinya kerana hendak mencari keredhaan Allah! Umat Islam perlu bangkit dan kembali menang, dan kita memerlukan lebih ramai sosok pejuang seperti Suhaib Al-Rumi. Kita perlu melahirkan lebih ramai barisan pendokong agama yang muttaqin yang mempunyai ta’alluq billah yang kuat iaitu para Mukmin yang hidup dan matinya, ibadah dan pengorbanannya untuk Allah semata-mata.

Hari ini umat Islam boleh diumpamakan seperti berada di musim sejuk dan kita pasti bahawa musim bunga Islam akan muncul kerana ini adalah jaminan wahyu. Jati diri umat Islam sewajarnya dibangkitkan agar kita semua optimis bahawa masa hadapan di tangan Islam. Perjuangan yang kita dokongi ini menyeru agar kita meyakini betapa Islam pasti akan menguasai Timur dan Barat sebelum berakhirnya usia dunia ini.

Mengembalikan Kegemilangan dan Peradaban Islam

Alhamdulillah, sepanjang berada di Rom, saya dibawa mengelilingi Kota Rom oleh sahabat saya Ustaz Wan Norhaziki Wan Halim dengan berjalan kaki. Tiga hari yang penat dan letih, tetapi puas hati dek kerana beroleh manfaat dan masa berkualiti. Saya berkesempatan melihat pelbagai tempat bersejarah bermula dari Rom Kuno sehinggalah Rom yang ada pada hari ini. Antara tempat menarik yang diziarahi termasuklah Pantheon, Koloseum, Monumen Victor Emmanuel II (Raja Itali pertama), Roman Forum, Fontana di Trevi, Spanish Steps di Piazza di Spagna, Piazza del Popolo, Muzium Bawah Tanah Case Romane Del Celio, Palatine Hill, Capitoline Hill dan tentunya gereja-gereja atau basilika-basilika utama di sini termasuk Basilika St. Peter dan Papal Archbasilika St. John Lateran.

Teknologi Rom merupakan praktik kejuruteraan yang menyokong tamadun Rom dan membolehkan pengembangan perdagangan dan ketenteraan Rom selama hampir seribu tahun. Sejarah menceritakan bagaimana Empayar Rom mempunyai set termaju teknologi pada masa tersebut.

Sesetengah darinya mungkin telah hilang semasa era bergolak Baharian Akhir (Late Antiquity) dan Zaman Pertengahan Awal, namun secara beransur-ansur, sebahagian hasil teknologi Rom dijumpai semula dan/ atau diperbaiki dan yang lain pula - seperti senjata api, teknologi kapal layar termaju dan pencetakan taip boleh gerak - telah lebih maju dari apa yang telah dihasilkan Rom pada akhir Zaman Pertengahan dan permulaan era moden. Hasil teknologi Rom dalam beberapa bidang seperti kejuruteraan awam, bahan pembinaan, teknologi pengangkutan, dan sesetengah rekaan seperti penuai mekanik tidak dapat ditandingi sehingga abad ke-19.

Melihat Kota Rom yang ada kini yang sebahagian besarnya dibina di atas runtuhan Kota Rom kuno, saya terkenang akan Zaman Kegemilangan Islam saat Islam menguasai hampir 2/3 dunia ini. Pada masa tersebut Kerajaan Islam merupakan kuasa besar dunia. Inilah sejarah kita! Satu sejarah cemerlang dan hebat yang pernah kita miliki sehinggalah berakhirnya Khilafah Islamiyah terakhir di Turki yang telah dijatuhkan pada tanggal 3 Mac 1924.

Selepas kejatuhan Khilafah Islamiyah, kebangkitan Islam mula cuba dibangunkan semula dengan melalui beberapa Gerakan Islam bermula pada tahun 1928, iaitu selepas empat tahun kejatuhannya. As-Syahid Imam Hasan Al-Banna antara salah seorang perintis kebangkitan Islam iaitu Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Di Malaysia pula usaha ini dimulai oleh Gerakan Hizbul Muslimin yang merupakan parti Islam yang pertama di Tanah Melayu telah ditubuhkan pada 17 Mac 1948, namun akhirnya diharamkan oleh British melalui Ordinan Darurat 1948. Perjuangan Gerakan Islam di Malaysia seterusnya telah diambil alih oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 24 November 1951 dan terus menabur bakti sehingga ke hari ini.

Kegemilangan masyarakat Islam tujuh abad lepas kini tinggal sebagai catatan sejarah. Jika dari runtuhan Kota Rom, Kota Rom yang ada hari ini berjaya dibangunkan semula, maka saya berkeyakinan penuh bahawa zaman cemerlang yang pernah kita kecapi akan dapat dihidupkan semula. Usaha bersepadu oleh gerakan Islam sedunia yang ada hari ini amatlah diperlukan khususnya dalam pembinaan peradaban dan mengembalikan semula kegemilangan Islam seterusnya menjadi kuasa dominan dalam konteks kuasa politik global. Marilah kita semua berintima' yakni menggabungkan diri, menjadi sebahagian mata-mata rantai perjuangan ini dan terus beristiqamah hingga kemenangan. Insya-Allah.

Memperkasa Dakwah Islamiyah yang Tersusun dan Efektif

Allah Ta'ala berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya." (Surah Al-Ikhlas: 1-4).

Sepanjang berada di Rom, saya menginap di The Lay Centre at Foyer Unitas. Saya terharu dengan layanan yang diberikan oleh pihak pengurusan The Lay Centre khususnya Pengasas dan Pengarahnya iaitu Profesor Donna Orsata, meskipun berlainan agama. Pusat ini adalah sebuah monastery - iaitu bangunan di mana kelompok terpilih komuniti Kristian tinggal bersama selain menganjurkan program pemukiman sejagat. Asrama di sini didiami oleh pelajar Jesuit, professor pelawat dan sebahagian bakal paderi Kristian Katolik.

Saya menjadi tetamu Ustaz Wan Norhaziki yang merupakan salah seorang penghuni di sini dan satu-satunya penghuni Muslim ketika ini. Beliau sedang menyiapkan tesis PhD dan mengikuti beberapa siri pengajian di institusi dan universiti pontifikal di Kota Rom dan Kota Vatikan. Antaranya termasuklah Pontificium Institutum Studiorum Arabicorum et Islamisticae (Pontifical Institute for Arabic and Islamic Studies (PISAI)) dan Pontificia Universitas Urbaniana (Pontifical Urban University, yang juga dikenali sebagai Urbaniana) dan Pontificia Studiorum Universitas a Sancto Thoma Aquinate in Urbe (Pontifical University of Saint Thomas Aquinas (PUST), yang juga dikenali sebagai Angelicum). Beliau juga merupakan Fellow Nostra Aetate di Holy See Pontifical Council for Inter-Religious Dialogue.

Salah satu hikmah yang saya dapat daripada pengalaman di sini ialah pentingnya dialog Islam-Kristian diteruskan. Tujuannya bukan untuk kita akur kepada agenda Kristianisasi, akan tetapi selaras dengan tujuan pendakwahan betapa Islam itu rahmatan lil ‘alamin. Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Al-Qur'an:

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran: 19).

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di Akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran: 85).

Saya berasal dari Sarawak yang mana kini umat Islam adalah minoriti iaitu merangkumi hanya 31% Muslim berbanding Kristian yang mencakupi 43% penduduk Bumi Kenyalang. Berdasarkan pengalaman terlibat secara langsung di medan dakwah khususnya di pedalaman Sarawak, jelas betapa gerak kerja dakwah dalam kalangan masyarakat Islam adalah perlahan berbanding dengan apa yang telah berlaku kepada agama Kristian.

Perkembangan agama Kristian di negeri Sarawak dalam tempoh antara tahun 1960 hingga tahun 2000 menunjukkan peningkatan dari 16% kepada kini 43%, berbanding dengan kadar pertumbuhan umat Islam yang bergerak secara relatif perlahan iaitu dari 23% kepada 31%. Perkembangan agama Kristian ini menyaksikan kadar pertumbuhan yang amat pesat iaitu sebanyak hampir tiga kali ganda berbanding Islam dalam tempoh yang sama.

Justeru itu, mengambil ibrah pengajaran dari statistik ini, maka sewajarnya untuk kita bangkit memperkasa dakwah Islamiyah yang tersusun dan efektif. Persoalannya, berapa ramai umat Islam yang sanggup berkorban sedemikian rupa demi agama Islam yang suci murni ini? Berapa ramai yang sanggup berusah payah ke kawasan pedalaman dengan tujuan secara langsung ataupun tidak langsung untuk menyebarkan agama? Berapa ramai yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit kerana seruan agama dan demi redha Allah? Berapa ramai? Sekali lagi, berapa ramai?

Saya yakin masih ada lagi, insya-Allah pasti masih ada lagi. Ayuh berusaha menjadikan kita salah seorang darinya. Mudah-mudahan kita bukan pembela Islam yang berkrisis diri, tiada keyakinan diri lagi menghidap sindrom menarik diri!

Penutup

Catatan kembara kali ini ingin diakhiri dengan sebuah coretan tentang al-saihun iaitu salah satu daripada 7 sifat-sifat keimanan yang dipetik dari buku 'Bahtera Penyelamat - Dalam Kehidupan Pendakwah’ karangan Almarhum Sheikh Fathi Yakan yang juga merupakan seorang muhandis/ jurutera/ engineer yang berjiwa dai'e, berotak faqih dan berperibadi ustaz yang amat diri ini sanjungi.

Sheikh Fathi Yakan menyatakan dan memperihalkan peri pentingnya seluruh kaum Muslimin khususnya para dai'e untuk beriltizam dengan sifat-sifat keimanan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Surah At-Taubah, ayat 112:

“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang mengembara, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh yang ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar, dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang-orang Mukmin itu.”

Justeru salah satu daripada ciri-ciri keimanan yang dinyatakan di sini ialah al-saihun yakni pengembara di jalan Allah. Sememangnya bagi para dai'e dan muslih iaitu mereka yang melaksanakan usaha ikhtiar dakwah dan islah, menjadi pengembara adalah salah satu daripada sunnahnya. Pengembara di sini ialah pengembaraan yang melibatkan pemikiran, hati dan perasaan dengan melihat makhluk ciptaan Allah di langit dan di bumi. Pengembaraan para Mukmin adalah pengembaraan menjelajah diri dan segala sesuatu yang di sekelilingnya.

Jika diteliti dan dicermati kita akan dapati betapa mengembara memberi MAKNA dalam sejarah perjalanan hidup para solehin. Tokoh-tokoh besar para ulama di kalangan salafus soleh dapat menjelaskan pedih perit perjuangan yang dihadapi, kesabaran dan pengorbanan para leluhur yang dapat menjadi ikutan buat diri para dai'e.

Dengan kelana dalam kembara, mereka dapat meneliti sejarah pertarungan antara kebenaran dengan kebatilan di mana mereka dapat melihat dengan jelas bagaimana kemegahan para taghut, para pemerintah yang zalim dan perancangan musuh-musuh Islam telah lenyap pupus dan hancur berderai. Mereka pasti insaf bahawa pemerintahan yang diasaskan di atas kebatilan usianya tidak panjang sedangkan kuasa yang dibina atas asas kebenaran ianya kekal hingga ke Hari Kiamat.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

"Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikan kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)." (Surah An-Nahl, ayat 36).

Inilah hikmah kembara menuju cita.. Kembara yang membawa kepada lebih mengenal Pencipta. Kembara iman yang menatijahkan damai di jiwa. Maka sewajarnyalah kita menyedari betapa kita ini hanyalah pengembara. Ya, hanya perantau menuju Akhirat!

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan! – HARAKAHDAILY 28/12/2016

Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Setiausaha PAS Negeri Sarawak. Juga merupakan Jurutera Kanan di sebuah Syarikat Minyak & Gas Antarabangsa.

Share on Myspace