Awalnya ikhlas tetapi tewas kena uji

ROSLI ABDUL JABAR | .

Aku Amilin PAS - siri 14

UJIAN adalah sifatnya perjuangan, ia adalah saringan untuk menguji keimanan, kesabaran dan keihklasan dalam perjuangan. Rasulullah SAW dan sahabat-Nya diawal Islam, diuji dengan fitnah, cercaan, penyiksaan dan berlanjutan dengan peperangan sehinggalah keakhir hayat Rasulullah SAW terpaksa berhadapan dengan fitnah jahat musuh yang benci kepada-Nya.

Cuma masa zaman muda remaja, tak tahan juga bila ada orang Umno keji PAS, mulalah rasa nak membalas, tapi otai-otai banyak memberikan nasihat agar tidak pedulikan mereka, "marah boleh merosakkan keikhlasan", katanya "apa yang kita buat mestilah semuanya kerana Allah SWT, termasuklah marah, sebagaimana kisah Sayyida Ali yang melepaskan musuh yang meludahnya".

Kisah Sayyidina Ali ini saya mula mendengarnya di zaman remaja dari satu program Usrah, "semua ini demi memelihara keikhlasan, agar apa yang kita lakukan tidak bertujuan yang lain melainkan kerana Allah SWT termasuklah tindakan yang kita buat apabila ia bertujuan untuk melepaskan kemarahan, semuanya akan menjadi sia-sia"

"Kita mesti ada sifat marah apabila orang persendakan agama, tapi bukan senang nak marah kerana Allah, yang ramainya orang bertindak ketika marah ialah kerana dendam," katanya lagi. Orang muda macam saya masa tu memang kerjanya nak membalas je, tapi nasib baik dikawal oleh orang-orang tua yang tebal dengan ilmu dan pengalamannya.

"Keikhlasan ni bukan benda yang boleh terus kekal jika tidak dipelihara dengan betul, mungkin masa kita mula-mula masuk PAS, kita ikhlas nak berjuang, tapi perjalanannya jauh dan penuh dengan ujian, ujian pula macam-macam, ada ujian pangkat, nama, marah, takut dan kalau Allah SWT bagi menang akan ada ujian yang lebih besar iaitu harta dan kedudukan"

"Ada orang yang awalnya ikhlas tetapi tewas dengan ujian yang akhirnya bukan lagi berjuang kerana Allah tetapi kerana tujuan yang lain, Iman sangat berharga, nilaian bagi Iman ialah Syurga, tiada suatu yang berharga boleh diperoleh dengan cara yang mudah melainkan dengan kesabaran yang tinggi, ujian adalah pengukur tahap kesabaran dan keihklasan", inilah antara nasihat-nasihat yang saya masih ingat ketika ubun-ubun perjuangan masih lembut. – HARAKAHDAILY 29/12/2016

Share on Myspace