Tidak letak syarat untuk belajar agama

USTAZ MOKHTAR SENIK | .

TERASA jugak nak buat syarat pencapaian "A" UPSR atau PT3 sebagai kelayakan masuk ke Pondok An-Nuur. Kerana sudah pasti lebih mudah mengajar pelajar-pelajar yang pintar berbanding pelajar-pelajar yang kurang pintar. Lagi pun kalau ramai pelajar pintar nama sekolah akan terkenal. Tapi ada beberapa sebab saya tidak berbuat demikian;

1. Niat asal saya mengasaskan An-Nuur ialah untuk memberi peluang kepada siapa sahaja agar dapat mempelajari agama.

2. Ketika saya masuk belajar di Pondok Pasir Tumboh, tok guru saya tidak meletakkan syarat 5A. Kalau mereka meletakkan syarat begitu nescaya gagal lah saya untuk masuk dan sudah pasti sampai sekarang saya sangat jahil tentang agama.

3. Semua orang berhak untuk belajar. Lalu saya buka kepada siapa sahaja. Hatta pelajar yang saya tahu mempunyai rekod disiplin yang tidak baik di sekolah terdahulu. Kerana saya tetap meletakkan harapan ia akan berubah. Kerana manusia semuanya berpotensi untuk menjadi baik.

4. Ketika saya melancarkan derma untuk membangunkan pondok ini, ramai yang menghulurkan bantuan. Termasuk individu yang anak-anak mereka kurang pintar. Lalu mengapa saat kita memerlukan bantuan mereka kita tidak mengira bantuan itu dari orang yang pintar atau tidak? Tetapi saat mereka memerlukan bimbingan dan didikan kita, lalu kita letakkan syarat kepintaran sebagai kelayakan.

5. Pengalaman mengajar saya; "dalam pencapaian pendidikan agama, belum tentu yang pintar akademik itu akan berjaya. Dan belum tentu yang lemah itu gagal". Begitu juga pendidikan akhlaq dan adab.

Itulah alasan saya. Lalu datang lah siapapun asalkan punya keinginan untuk belajar insya-Allah mereka akan dibantu Allah. Cuma jangan lah yang punya penyakit kronik, atau penagih. Bukan kerana kami memandang hina kepada mereka tetapi kelemaham kami yang tidak punya tenaga yang cukup untuk mengendalikannya.

Bagi pusat pendidikan yang membuat tapisan kemasukan sudah tentu ada alasan mereka sendiri dan kita perlu menghormati alasan mereka. Yang penting kita semua sedang bekerja untuk agama-Nya. – HARAKAHDAILY 30/12/2016

Share on Myspace