BR1M belum dapat, 'brum' sudah

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) belum dapat, tetapi 'brum' sudah dapat sebanyak 20 sen seliter. RON95 pada harga RM2.10, diesel RM2.05 dan RON97 RM2.40 (naik 15 sen). Ia sebagai hadiah tahun baru. Sewaktu hendak turun, hanya turun 5 sen, tetapi waktu naik 20 sen. Walaupun kerajaan boleh memberi alasan dengan kenaikan harga minyak di peringkat global, maka automatik harga minyak akan dinaikkan juga di negara ini. Kerajaan boleh beri apa sahaja alasan untuk menghalalkan tindakan mereka.

BR1M yang uar-uarkan untuk dinaikkan sehingga RM1,200 setahun dan hitung panjang RM3.28  sehari. Pada mulanya amat melegakan rakyat bawahan. Tetapi dengan pengumuman  kenaikan harga minyak ia amat memeranjatkan. Apakah berbaloi dengan BR1M sebanyak RM3.28 sehari untuk satu keluarga. Dalam masa yang sama minyak naik 20 sen seliter.

Semestinya kenaikan harga barang dan kos pengankutan akan naik, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga diesel. Kesan berantai akan berlaku kepada semua barang.

Untuk pembangkang amat baik kerana semua rakyat marah kepada kerajaan termasuk penyokong tegar Umno di kampung-kampung. Setiap pagi 'parlimen rakyat' di kedai kopi merungut dan marah dengan kenaikan harga minyak. Kita mengharapkan kemarahan ini dibawa pula melalui peti undi untuk tolak kerajaan BN.

Bertepatan pula dengan waktu persekolahan bermula. Kos persekolahan meningkat, ibu bapa yang hendak menghantar anak-anak ke asrama terpaksa  menghitung berapa pula minyak yang perlu diisi.

Tanyalah kepada semua rakyat, semuanya mengeluh dengan kenaikan harga barang. Mungkin pihak kerajaan ada jawapannya untuk menyejuk api kemarahan rakyat. Apabila dekat pilihan raya harga minyak akan diturunkan semula. - HARAKAHDAILY 3/1/2017

Share on Myspace