Banjir: Peluang muhasabah

USTAZ MOHD NOR HAMZAH | .

Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Banjir yang agak besar telah didatangkan Allah kepada kita rakyat Terengganu. Sehingga pagi hari Rabu, hampir 12,000 orang telah dipindahkan disebabkan banjir yang telah menjadi ancaman kepada mereka.

Itu belum dikira beberapa kelompok warga kampung yang masih terperangkap kerana terputus hubungan. Mereka tidak boleh meminta bantuan juga dibantu setakat ini. Hanya kita berharap mereka selamat semuanya.

Bagi sesetengah golongan, banjir ini diibaratkan sebagai peringatan dari Allah kepada mereka. Mereka mengambil makna tersirat kehadiran banjir ini sebagai 'teguran' Allah kepada mereka.

Maka mereka menyiapkan diri mereka dengan segala keperluan yang perlu bagi mereka kembali kepada Allah. Alhamdulillah, taubat mereka, istighfar mereka insya-Allah akan diterima Allah.

Namun apa yang dibimbangi ialah sikap tidak sedar dengan teguran Allah ini. Ada beberapa hal yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah antaranya ialah perancangan yang tidak betul.

Baik dari segi kurang logik perancangan atau perancangan yang tidak berasaskan kepada  Islam. Contoh perancangan yang  kurang logik ialah berkenaan muka kuala Sungai Terengganu yang kelihatannya semakin sempit kerana pembangunan di muara sungai itu.

Penyempitan itu berlaku bukan kerana faktor semula jadi tetapi kerana faktor perbuatan tangan-tangan manusia. Secara ringkasnya, apabila muara sempit, maka perjalanan keluar air ke laut akan menjadi perlahan. Ditambah lagi dengan penambakan-penambakan seperti pulau warisan dan juga ‘draw bridge’ yang telah dibuat.

Selain faktor ini, suka saya memperingatkan kerajaan agar memberikan tumpuan serius kepada projek-projek tebatan banjir yang telah dijanjikan, tetapi sehingga kini belum disiapkan atau belum dijalankan.

Rakyat mengharapkan perlunasan kepada janji-janji itu, bukannya hanya majlis menandatangani perjanjian atau pengumuman sahaja. Ini perlu ditekankan. Dan lebih malang apabila peringatan-peringatan ini telah lama disuarakan oleh PAS di dalam ataupun di luar DUN.

Kita mengharapkan agar, kelewatan beberapa projek infrastruktur bagi memberi kemudahan kepada rakyat seperti tebatan bukan disebabkan faktor kerajaan negeri tiada wang kerana, kerajaan negeri telah lama merancang idea-idea ini. Oleh itu, rakyat perlu dimaklumkan apa alasan utama kegagalan projek-projek ini dilaksanakan kerana saban tahun, rakyat yang merana disebabkan banjir.

Sekali lagi penegasan saya, PAS tidak menyalahkan kerajaan atas faktor luar kawalan bagi bencana yang melanda, tetapi penumpuan PAS ialah perancangan yang telah dan sedang atau akan dilaksanakan seperti yang saya sebutkan di atas, tidak menunjukkan kecenderungan kepada kebaikan untuk rakyat terbanyak.

Kepada semua petugas-petugas sukarela PAS, agensi kerajaan, swasta, NGO mahupun individu  bagi pihak PAS Terengganu, kami ucapkan tahniah atas kesungguhan anda membantu mangsa-mangsa tanpa mengira warna. Teruskan usaha murni anda. Semoga Allah merahmati Terengganu. Semoga banjir ini sebagai teguran Allah, bukan sebagai bala dan azab atas kelalaian kita semua. Wallahua’lam.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
6 Rabiulakhir 1438 / 5 Januari 2017 - HARAKAHDAILY 5/1/2017

Share on Myspace