Banjir: Orang Kg Minda punyai ketahanan minda

DR AZMAN IBRAHIM | .

 

APABILA banjir melanda Dun Bukit Besi pada tahun ini, saya maklumkan kepada Naraza Muda, Pengarah Operasi Banjir Dun Bukit Besi dan Zul Shawaludin, Ketua Pemuda PAS Bukit Besi bahawa Khidmat Malaysia Terengganu nak turun ke Kampung Minda. Kampung ini ada nostalgia istimewa bagi operasi banjir Khidmat Malaysia Terengganu. Saya maklumkan juga kepada Zul Shawaludin, kalau tak dapat pergi melalui jalan darat, kita redah melalui Sungai Dungun.

Khamis, 5 Januari 2016, jam 10 pagi pasukan bantuan banjir dari PAS Dungun dan Dun Bukit Besi berkumpul di sebuah Stesen Minyak Bukit Besi bagi memulakan misi ke Kampung Minda.

Bagi penduduk Kampung Minda Hulu Dungun, setakat banjir menenggelamkan sehingga separuh paras jendela rumah, itu belum lagi dikira banjir besar. Mereka biasa alami banjir sehingga tenggelam seluruh bumbung rumah pada 2014.

Pada musim banjir tahun 2016 ini yang tak dikategorikan sebagai banjir besar, hanya 4 buah rumah sahaja di Kampung Minda yang tak ditenggelami banjir. Begitulah sinonimnya ikatan rapat antara banjir dan penduduk kampung di kawasan Hulu Dungun ini.

Banjir adalah acara tahunan mereka. Malah orang Kampung Minda ramai yang menyediakan rakit untuk memuatkan barang-barang serta peralatan rumah agar tak ditenggelami banjir.  Bila hujan turun dengan lebat secara berterusan, mereka akan pindahkan kereta ke atas bukit. Pendek kata, mereka sentiasa waspada. Minda mereka setiap tahun memang telah dipersiapkan untuk menghadapi banjir. Alah bisa tegal biasa.

Saya melihat orang Kampung Minda mempunyai ketahanan minda yang hebat untuk berdepan dengan cabaran hidup di kawasan yang agak pendalaman. Tak semua orang mampu survive dalam keadaan hidup sebegini. Tetapi mereka mampu melakukannya. Inilah kehebatan minda mereka mencorak cara berfikir yang hebat demi kelangsungan hidup.

Orang lain sibuk dengan coklat minda, kismis minda, kurma minda dan pelbagai lagi aneka produk minda. Di sini mereka sekampung hidup dalam minda!

Alangkah baiknya kalau seorang Timbalan Menteri dari Pontian boleh tinggal di sini beberapa ketika. Mudah-mudahan mindanya akan berkembang. Di sini pun banyak kebun getah sesuai dengan hobi Timbalan Menteri tersebut yang suka menoreh getah. Jika kampung ini keputusan bekalan gas memasak, Timbalan Menteri ini boleh bantu kacau nasi goreng tanpa perlu nyalakan api.

Tahun 2014, ketika tahun pertama saya diamanahkan sebagai Pengarah Operasi Banjir PAS Terengganu, lantaran kerana jalan darat yang tak dapat dilalui, kami pernah menempuh bahaya meredah arus deras Sungai Dungun yang melimpah untuk menuju ke kampung ini bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk yang keputusan bekalan di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Minda.

Satu misi bantuan banjir yang kekal dalam ingatan sehingga ke hari ini. Masih saya ingat bagaimana pusaran air yang menakutkan saat bot kami melintasi di bawah Jambatan Lebuh raya Pantai Timur 2 yang melintasi Sungai Dungun. Syukur kepada Allah kerana misi yang mencabar ini selamat pergi dan kembali. Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Minda menerima kehadiran kami ke Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Minda dengan penuh kemesraan.

Budaya hidup masyarakat pedalaman Hulu Dungun ini sangat mesra tetamu. Walaupun mereka kurang dari segi kebendaan, tapi kaya budi bahasa.

Tahun depan jika banjir lagi dan saya masih lagi memegang amanah sebagai Pengarah Khidmat Malaysia Terengganu, dengan izin Allah saya akan sampai lagi di Minda! - HARAKAHDAILY 7/1/2017

Share on Myspace