Pinda Perkara 3(1) dan Himpunan 355

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

MENILAI kepada tindakan pelbagai pihak memberi sedikit perhatian kepada Perjanjian 13 Disember 2016 yang dimeterai antara parti-parti Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ia menarik kecederungan saya untuk kita meneliti apa sebenarnya yang perlu diperhatikan di sebalik setiap kebimbangan tersebut. Kebimbangan kepada agenda meminda Perkara 3(1) yang menyentuh Islam sebagai agama Persekutuan telah lagi dibangkitkan.

 Agenda yang difahami sedang diterajui oleh Parti TindakanDemokratik (DAP) tiba-tiba menular. Perjuangan DAP yang juga didukungi oleh parti-parti PH tidak semena-mena menarik perhatian pelbagai pihak.

Mungkin bagi mereka yang melihat dari kaca mata politik yang tersurat, Perjanjian 13 Disember 2016 tidak lebih dari suatu persefahaman politik antara parti-parti yang terlibat dalam mengatur gerakan berpolitik agar seiring dan seragam. Ia mungkin sekadar perjanjian bagi mendepani pilihan raya umum bagi maksud mencapai kemenangan. Penyeragaman dan persefahaman turut dilihat perlu dimeterai agar parti-parti yang terlibat lebih dikatakan bersedia untuk membentuk kerajaan. Itu pun kalau nasib menyebelahi dan kemenangan yang diangankan mampu diraih.

Namun kebimbangan mutakhir tidak sekadar pembentukan kerajaan baru selepas pilihan raya umum ke-14. Ia lebih dari itu. Ia adalah berkaitan kedaulatan dan ketinggian Islam itu sendiri.

Pelbagai pihak meluahkan kegusaran mereka betapa Perjanjian 13 Disember suatu batu loncatan buat pejuang anti-Islam dan sekularisme. Ia adalah suatu pemuafakatan tersirat agar agenda yang sedang diterajui oleh DAP kian memperkuat dan diperkukuhkan sebaik perancangan menguasai kerajaan berada dalam genggaman parti-parti yang terlibat.
 
Suatu yang harus sentiasa diingat dan difahami, perjuangan DAP dalam mempertahankan prinsip-prinsip sekularisme dalam perundangan negara dan Perlembagaan Persekutuan bukanlah baru. Ia sangat diberi perhatian oleh para pendukung DAP dan sememangnya ia tidak pernah terhenti, bahkan kian diperkuat.

Bagi mereka, berusaha mempertahankan prinsip-prinsip sekularisme adalah aqidah kukuh yang tertanam dalam sanubari dan dizahirkan melalui pelbagai medan termasuklah dalam pentas politik. Apatah lagi politik itu sangat berkait rapat dengan kekuasaan.

Justeru, dalam sebuah negara yang mengamalkan amalan demokrasi berparlimen dengan dukungan raja berperlembagaan, apa yang diperjuangkan oleh DAP dan mereka yang seangkatan tidaklah salah. Bahkan parti-parti politik yang sedia memasuki gelanggang bebas menawarkan manifesto menurut selera dan citarasa mereka. Terpulanglah kepada rakyat untuk membuat keputusan dan penilaian.

Dalam melihat kegusaran yang dibangkitkan mutakhir ini, kalau pun ada kebimbangan yang dinyatakan, amat tidak adil untuk sekadar kita meluahkan rasa tanpa dituruti oleh perencanaan dan tindakan yang terbaik. apatah lagi, medan ini terbuka kepada sesiapa sahaja dan kemenangan itu boleh diiliki oleh sesiapa sahaja bila Allah mengizinkan.

Bagi menjawab kebimbangan peri Perkara 3(1) yang menyentuh Islam sebagai agama persekutuan, beberapa perkara asas perlu difahami oleh setiap dari kita.

 Pertamanya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan itu sendiri sebenarnya hamper saja mustahil untuk dipinda. Asal sesuatu yang berkaitan dengan Islam, apa jua pindaan yang ingin dikemukakan perlulah mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.

Dengan perkataan lain, Islam sebagai agama persekutuan boleh disifatkan tidak akan berubah dan diusik asal tunggak kerajaan di Malaysia dinaungi oleh system raja berperlembagaan. Justeru, di manakah kekuatan sebenar para pendokong prinsip-prinsip sekularisme dan anti-Islam dari sudut perundangan?

Di sinilah sangatlah mustahak para pendukung dan pencinta Islam wajib memahami system kenegaraan dan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi bila kita terlibat dalam medan politik kerana sebagaimana dinyatakan sebelumnya, politik itu adalah suatu yang amat rapat dengan kekuasaan. Apa yang boleh difahami, buat pendukung sekularisme dan anti-Islam, Islam sebagai agama persekutuan itu sendiri bukanlah suatu yang membimbangkan mereka. Apa yang lebih utama, tafsiran kepada Perkara 3(1) itulah yang menjadi benteng buat mereka yang akan dipertahankan sedaya mampu.

Tafsiran Perkara 3(1) yang tidak meletakkan Islam sebagai kuasa tertinggi dalam negara telah cukup memberi laluan untuk mereka melangkah dengan yakin bagi memperjuang dan mempertahan prinsip-prinsip sekularisme yang berkuatkuasa. Biarpun ada biasan dalam keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai suatu agama cara hidup, sehingga kini ia hanyalah suatu pernyataan yang bukan bersifat mengikat. Dengan demikian, mempertahan tafsiran yang sedia ada bukanlah suatu yang susah. Di situlah langkah dan jalan yang seterusnya dicatur.

Setelah diyakini Islam dalam perundangan bukanlah wajah Islam yang sebenar, apa yang dilakukan kini adalah menjadikan kepercayaan-kepercayaan lain mampu bertapak sebagaimana Islam dalam system perundangan. Ia tidak akan dilakukan secara semberono. Bahkan ia dilaksanakan dengan cukup terancang dan penuh kewaspadaan.

Apa yang lebih penting, usaha itu tidak pernah terhenti seumpama aliran air yang setiasa mengalir hatta membentuk lurah-lurah anak sungai yang baru. Hal inilah yang mesti dan sentiasa disedari oleh setiap pendukung dan pencinta Islam.

Jika mereka setiasa tabah memperjuangkan agenda yang diyakini mereka, sudah barang tentu tidak cukup sekadar kita melaung meluah rasa tanpa berusaha dengan penuh kebijaksanaan. Apatah lagi, bila kita memasakkan keyakinan kita kepada apa yang dijanjikan Allah S.W.T, langkah kita seharusnya lebih teratur dan istiqamah hinggalah Allah SWT mengurniakan kemenangan.

Himpunan 355 pada 18 Februari 2017 adalah antara wahana terbaik untuk seluruh pencinta Islam menyatakan pendirian. Seberapa yang dapat, himpunan 18 Februari perlu menjadi isyarat nyata kepada seluruh rakyat bahawa tanah leluhur ini adalah kepunyaan umat Islam dan Islam seharusnya sedia untuk didaulatkan. - HARAKAHDAILY 8/1/2017

Share on Myspace