Duka seorang suami

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

ISTERI pertamanya meninggal 5 tahun lalu, dia mengambil masa yang panjang untuk berkahwin kali kedua, hampir 2 tahun, dua tahun lepas dia berkahwin dengan seorang janda tanpa anak. Dengan isteri pertamanya juga tanpa anak tetapi dia mengambil seorang anak angkat perempuan sekarang berusia 4 tahun.

Perkahwinan kali kedua ini sekarang dilanda gelombang disebabkan sikap isterinya terhadap anak angkatnya. Dia sayangkan anak angkatnya seperti anak sendiri, anak angkatnya itu diambil ketika berusia 6 bulan. Anak angkatnya itu berasal dari keluarga miskin, kawan kepada arwah isterinya.

Dengan kehadiran anak angkatnya kehidupannya bertambah bahagia, namun duka mendatang bila isterinya terlibat dalam kemalangan maut ketika memandu motorsikal untuk membeli keperluan harian. Isteri keduanya berusia sekitar 40 tahun, hampir sebaya dengan arwah isteri pertamanya.

"Dia seperti tidak terima anak angkat saya tu, tak pernah saya lihat dia senyum atau bermanis muka dengan anak saya, masa mula-mula dulu, adalah, tapi tak lama, sikap dia terhadap anak angkat saya sangat menyedihkan, kalau dia keluar tak pernah dibawa anak angkat saya, waktu saya ada di rumah, dia tinggalkan kepada saya, waktu saya tiada dia tinggalkan di rumah jiran sebelah."

"Pernah satu hari dia balik kampung selama dua hari, saya pula memang kerja pemandu, selalu keluar, dalam seminggu hanya 3 atau 4 hari ada di rumah, sedih saya, bila dia sanggup tinggalkan anak saya kepada jiran, sedangkan apalah salahnya jika dibawa sekali, bila saya tegur dia masam muka dan macam-macam alasan, saya dah berulangkali nasihati dia supaya layanlah anak dengan baik, budak ni anak orang miskin, berdosa kalau dibuat acuh tak acuh."

"Saya sayangkan anak angkat saya, tak mungkin saya sanggup berpisah dengannya, hati saya pun dah semakin pudar kepada isteri saya disebabkan sikapnya, bila saya tegur, dia tuduh pula saya ni suka kat perempuan lain, sedangkan semua tu tak pernah wujud, saya pun buntu untuk buat keputusan, saya ingat nak bawa saja anak angkat saya ke sana ke mari ikut saya kerja bawa lori supaya dia lebih terjaga, tapi sampai bila, takkan nak bawa anak tu sampai ke besar?"

"Walaupun makan minum saya dia jaga, tapi ini anak saya" (sambil dia pegang kepala anaknya), kalau setakat nak makan minum, kedai makan pun banyak, tapi anak saya ni perlu kasih sayang, saya bimbang nanti jiwa dia rosak, itulah datang ni tanya pandangan Ustaz, sebab saya rasa nak berpisah je dengan isteri saya ni, tak ada gunanya anak saya ni hidup bersama dengan orang yang tidak boleh menerimanya."

"Saya bimbang, kalau inilah sikapnya, apakah dia boleh jaga saya jika ditakdirkan saya sakit atau apa-apa berlaku dan apakah akan berlaku kalau saya tiada, entah dilemparkan ke mana pula anak saya ni, waktu saya ada pun dia tunjuk sikap benci pada anak saya, kalau saya tiada, entahlah Ustaz" (nadanya agak pilu). Saya juga kelu untuk berikan pandangan.

Bukan mudah untuk saya berikan pandangan, sebab ini melibatkan cerai berai, kalau tersilap nanti saya pula dituduh memecahbelahkan rumah tangga orang, selain dari nasihat supaya dia bersabar, saya cadangkan supaya dia mendapat kaunseling di Pejabat Agama, di sana mungkin ada jalan penyelesaian. Panjang juga nasihat saya kepadanya, nak balik dia suruh anaknya bersalam dengan saya, anaknya senyum, comel, saya pun tak tahu kenapa dia dibenci. – HARAKAHDAILY 10/1/2017

Share on Myspace