Agenda berkebajikan yang tidak pernah luntur

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

BILA disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu merupakan suatu gerakan Islam, agenda politik hanyalah sebahagian dari rantai perjuangan PAS. Ia bukanlah agenda tunggal semata-mata dalam melayari bahtera sebagai sebuah parti politik.

PAS menjadikan politik dalam ruang demokrasi untuk mendaulatkan Islam agar dirasai rahmatnya Islam itu oleh semua umat manusia bahkan untuk ditadbir alam ini dengan cara terbaik. Dengan kata-kata lain, adanya PAS bukan sekadar parti politik biasa, tetapi ia adalah wahana perjuangan mendaulatkan Islam yang sifatnya syumul.

Atas sifatnya sebagai gerakan Islam itulah, PAS tidak hanya menjadikan dirinya relevan pada waktu pilihan raya semata-mata. PAS tidak diwujudkan untuk sekadar memomokkan rakyat dengan situasi politicking yang tidak berkesudahan kepada rakyat hingga menampakkan politicking itu makanan harian rakyat.

Bukanlah tujuan adanya PAS itu untuk sekadar mewujudkan suasana tegang dan pertentangan antara rakyat atas fahaman politik hinga tersembunyi indahnya Islam itu. Kerana itulah, PAS telah bersedia melalui pelbagai lajnah yang ada untuk menyerlahkan Islam itu sebagai ramuan kelangsungan hidup dan penyelesaian kepada setiap persoalan kehidupan.

Sangat tidak adil bila disebut perjuangan PAS hanyalah hudud, negara Islam dan hukum hakam Islam dalam perundangan semata-mata. Hanya mereka yang membutakan penglihatan dan memekakkan telinganya akan berkata PAS tidak pedulikan rakyat kerana hanya perjuangkan jenayah dalam Islam.

Bukti telah kami tunjukkan melalui pelbagai aktiviti dan program yang dirangka. Begitu juga dengan pelbagai lajnah dan unit yang ada di dalam PAS itu sendiri.

Dalam suasana semua pihak memperkatakan perihal usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 “Akta 355”, agenda kesejahteraan rakyat tetap dan terus menjadi keutamaan PAS. Dengan tohmahan kononnya PAS hanya memperjuangkan jenayah dan undang-undang Islam, kecaknaan PAS dalam menggerakkan agenda kesejahteraan rakyat ini menjadikan tohmahan itu suatu pernyataan pengkhianatan semata-mata.

Kesungguhan PAS dalam mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat inilah kami buktikannya melalui penganjuran Konvensyen Berkebajikan yang akan dilangsungkan pada 12 Februari 2017. Konvensyen yang akan berlangsung di Auditorium MPAJ tersebut akan dirasmikan sendiri oleh TG Datuk Seri Haji Abdul Hadi Haji Awang, Presiden PAS yang akan ditutuptirainya oleh TG Haji Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS.

Konvensyen yang akan mengumpulkan 300 penggerak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS tersebut antara lain akan memberi penumpuan kepada pengukuhan agenda kesejahteraan rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan perjuangan PAS.

Selain memperkasa gerak kerja kecaknaan kepada kesejahteraan rakyat, konvensyen tersebut akan juga menumpukan kepentingan dan kemaslahatan penggerak-penggerak PAS yang terlibat langsung mahu pun tidak langsung dalam membawa agenda kesejahteraan kepada rakyat.

Dalam mendepani pelbagai isu yang menghimpit rakyat ketika ini, konvensyen tersebut akan memberi tumpuan bagaimana usaha pembelaan kepada rakyat dalam suasana PAS sebagai parti pembangkang utama dan sebagai parti yang akan menerajui pemerintahan di peringkat pusat bila tiba masanya.

Nah, komitmen kami bukan omongan kosong semata-mata. Apa yang terkandung dalam Al-Quran dan Al-Sunnah dan ijmak para ulama seberapa mampu akan kami jelmakan secara zahir di lapangan dengan kadar semampu yang dapat.

Dengan paksi yang bertunjangkan tarbiah, bernaungkan dakwah dan berlatarbelakangkan siasah, PAS akan kami usahakan terus terserlah sebagai gerakan Islam yang mampu menaungi rakayt dengan kehidupan yang lebih sentosa dan sejahtera. Islam itu bukan sekadar pada slogan semata-mata, tapi ia adalah praktikal dalam kehidupan yang akan dirasai kesyahduannya. Itulah tekad para pendukung PAS sebelum melankgah menyertai konvensyen sebagai kelangsungan agenda berkebajikan dalam mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera.

Share on Myspace