Syukur, tidak mengemis harapan pada makhluk

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sahabat Seperjuanganku

Ramadhan bagaikan sebuah bengkel yang akan overhaul "enjin" kita bagi memastikan fungsi dan jangka hayat yang lebih baik. Tentu sahaja enjin kita ialah hati. Andai hati ini berfungsi dengan baik maka baiklah seluruh jasad kita.

أَلا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَت فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلا وَهيَ القَلْبُ

Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad terdapat seketul darah beku. Apabila baik ia, maka baiklah jasad keseluruhannya dan apabila buruk ia maka buruklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah bahawa itu adalah HATI. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

2. Sahabatku

Pemulihan yang dilakukan oleh Bengkel Ramadhan ialah menyuci jiwa untuk melahirkan sifat taqwa dan menyuburkan sifat syukur. Dua sifat tersebut menjadikan kita dekat dengan Allah swt dan ia sangat diperlukan oleh pejuang seperti kita.

3. Sahabatku

Sifat syukur menjadikan kita rasa cukup dan memadai dengan apa yang ada (qana'ah). Kita tahu menghargai kurniaan Allah swt lalu meningkatkan pengabdian diri kita kepada Allah swt. Syukur sebenarnya menjadikan kita kaya dan tidak mengharapkan makhluk.

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim: 7)

4. Sahabatku

Seorang pejuang mesti miliki sifat syukur ini agar tidak mengemis harapan pada makhluk. Tidak dihambat rasa tamak dan akhirnya menjadikan jiwa kita resah tidak menentu. Hilang fokus perjuangan. Lebih malang apabila diserang virus ujub (rasa diri hebat).

5. Sahabat Seperjuanganku

Nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan Allah swt kepada kita adalah nikmat yang paling pantas disyukuri. Pertahankan Iman dan Islam serta perjuangkannya agar tegak dalam diri dan tanahair kita adalah sebaik-baik kesyukuran. Mereka yang berpeluk tubuh, banyak bermain alasan untuk tidak turun berjuang, malas dan sebagainya adalah manifestasi dari ketiadaan sifat syukur. Awas! Kegagalan bersyukur adalah berdepan dengan murka Allah swt.

"Ramadhan Kareem"

Sekian.

Share on Myspace