Istiqamah: Tiada takut dan tiada resah

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sahabat Seperjuanganku

Matlamat perjuangan kita adalah sangat jelas. Matlamat di dunia ialah mendaulatkan syariat Allah swt sementara matlamat akhir ialah Mardhatillah (keredhaan Allah swt). Usah rasa kerdil apatah lagi untuk rasa bersalah bagi meneruskan perjuangan ke arah mencapai matlamat ini. Biarpun fitnah dan tohmahan dihambur tanpa henti justeru itu adalah sunnatullah.

2. Sahabatku

Kita hebat apabila mampu istiqamah menempuh jalan yang berliku dan cabaran yang beribu. Ingat pesan Allah swt:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang yang berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (istiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat : 30)

3. Sahabatku

Istiqamah dengan perjuangan ini menjadikan kita selamat. Tiada apa yang perlu kita takutkan. Terus pandang ke hadapan, melangkah dengan yakin dan berani untuk memuktamadkan matlamat yang telah disepakati. Tiada apa yang perlu kita resahkan. Galas amanah dengan sabar dan tabah untuk mencari kemenangan di bawah sinar Redha Allah swt.

4. Sahabatku

Terlalu banyak tawaran yang menggamit agar kita jual perjuangan ini. Banyak juga permintaan supaya kita tinggal perjuangan ini. Tidak kurang ugutan dan gesaan supaya kita berhenti berjuang. Namun apakan daya, perjuangan Islam ini terlalu suci untuk kita tinggalkan. Istiqamah di atas manhaj perjuangan Islam ini sangat mendamaikan biarpun diuji dengan 1001 keperitan.

5. Sahabat Seperjuanganku

Kemenangan adalah suatu yang hampir. Ia dijanjikan oleh Allah swt buat mereka yang istiqamah. Lambat atau cepat kemenangan itu adalah tempoh yang mesti dinanti bersulamkan gerakkerja Amal Islami tanpa henti. Jauh atau dekat kemenangan itu adalah jarak yang mesti dilalui tanpa jemu menggalas beban tanggungjawab perjuangan. Mohonlah kemenangan dengan sabar (istiqamah) dan solat. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

Share on Myspace