PAS: Bagaimana intima' yang kukuh?

NASRUDIN HASSAN | .

1. Intima' ertinya menyertai dengan satu ikatan. Berintima' dengan PAS maknanya menyertai PAS dengan satu ikatan. Namun di sana terdapat intima' yang salah dan rapuh dengan maksud mereka menyertai PAS dengan intima' yang longgar dan rapuh. Hanya terdapat satu sahaja jenis intima' yang benar, kukuh dan utuh.

2. Intima' yang rapuh, longgar dan salah ini sekurang-kurangnya ada 4 jenis.

a) Intima' Syakhsi (إنتماء شخصي)

Menyertai PAS kerana ketokohan individu tertentu. Intima' ini rapuh justeru individu atau tokoh tertentu boleh pergi dan datang. Jika tokoh yang menjadi idolanya meninggalkan PAS, maka ia akan turut meninggalkan PAS. Perjuangannya tidak mantap dan utuh. Pendiriannya tidak kukuh. Mungkin bertahan beberapa tahun mengikut ketahanan tokoh yang menjadi sebab kenapa ia menyertai PAS. Ada sepanjang hayatnya bersama PAS tetapi penghujung usianya berakhir di luar PAS.

Situasi ini pernah ditegaskan oleh Saidina Abu Bakar Rha.

مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ

Barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad s.a.w. maka sesungguhnya Muhammad s.a.w. telah mati dan barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah swt maka sesungguhnya Allah swt hidup dan tidak mati.

Lalu Saidina Abu Bakar Rha membaca ayat Allah swt:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah sekiranya ia mati atau terbunuh, kamu akan berpaling tadah memusing tumit kamu? sesiapa yang berpaling memusingkan tumitnya, maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur. (Surah Aali Imran: 144)

b) Intima' Maslahi (إنتماء مصلحي)

Menyertai PAS kerana kepentingan peribadi atau kelompok dan mempunyai agenda tertentu yang ingin dicapai. Apabila gagal mencapai kepentingan yang diingini dan tidak berjaya melunaskan agenda mereka, maka mereka akan mencari tapak yang lain untuk pelan 'B' dan meninggalkan PAS. Ketahanan mereka berdasar sejauh mana atau selama mana mereka perolehi kepentingan dan memiliki peluang menjayakan agenda mereka.

c) Intima' Irtijaali (إنتماء ارتجالي)

Menyertai PAS secara spontan tanpa asas dan sebab yang kukuh. Ia sendiri tidak mengetahui kenapa ia menyertai PAS. Bakanya adalah baka PAS. Ayah dan ibunya PAS serta persekitaran ia membesar juga PAS. Justeru itu ia tidak mempunyai jawapan yang konkrit kenapa ia menyertai PAS selain dari menyedari bahawa ia telah PAS sejak awal. Pendirian mereka akan cepat goyang apabila PAS dilanda krisis dan mereka seperti ini tidak mempunyai jawapan yang mantap kenapa ia mesti terus berada dalam PAS yang sedang bergoncang dilanda gelombang. Akhirnya ia lari meninggalkan PAS kerana tidak sanggup berdepan dengan apa jua kemungkinan.

d) Intima' A'fawi (إنتماء عفوي)

Menyertai PAS berasaskan kecenderungan dan simpati terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS yang juga teruk dibelasah oleh musuh. Intima' jenis ini longgar serta rapuh kerana kecenderungan dan simpatinya akan berakhir terutama apabila didapati PAS tidak lagi menepati kemahuan dan kehendaknya. Tiada lagi simpati malah boleh bertukar menjadi benci. Tatkala benci menguasai diri, maka mereka akan mengangkat kaki meninggalkan PAS

3. Intima' yang benar, kukuh, utuh dan mantap hanya satu iaitu Intima' Aqidi (إنتماء عقيدي).

Menyertai PAS berdasarkan tuntutan aqidah Islamiyyah. Berdiri atas Iman kepada Allah swt dan Kitabnya yang diwahyukan kepada Nabi saw. Menunaikan perintah Allah swt dengan penuh yakin dan optimis supaya berjuang menegakkan Syariat Allah swt dengan harta dan jiwa raga. Firman Allah swt:

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Pergilah kamu segera untuk berjuang pada jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Surah At Taubah: 44)

4. Intima' yang kukuh ialah apabila kita meletakkan diri berjuang hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt, menegakkan syariat dan segala syiar-Nya, mencari keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat.

Dari Abu Musa Al Asy'ari bahawa terdapat A'rabi datang bertanya Nabi s.a w:

الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّه

Ada tokoh yang berjuang kerana mahu memiliki harta rampasan, ada tokoh yang berjuang supaya namanya disebut-sebut, ada yang berjuang supaya dirinya berketerampilan dan terpandang. Maka siapa yang diiktiraf berjuang di jalan Allah swt?

Dalam riwayat yang lain:

الرجل يقاتل شجاعةً ويقاتل حميةً ويقاتل غضباً فمن في سبيل الله

Ada yang berjuang kerana tunjuk berani, ada yang berjuang kerana mahu mendapatkan pelindungan, ada yang berjuang kerana semata-mata benci kepada musuh, maka siapa yang benar-benar diiktiraf sebagai pejuang dijalan Allah swt.

Lalu Jawab Rasulullah s.a.w:

Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah swt (mengatasi ideologi ciptaan manusia) maka ia berada pada Jalan Allah swt. (Fi Sabilillah). (Muttafaqun Alaihi)

5. Mereka yang menyertai PAS dengan intima' yang rapuh pasti sahaja tidak akan mampu bertahan bersama PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan Kalimah (syariat) Allah swt kerana ujiannya terlalu getir khasnya ujian dalaman yang boleh membawa kekecewaan dan patah hati. Hanya mereka yang menyertai PAS kerana aqidah sanggup berjuang dan mampu bertahan hingga ke denyut nadi yang terakhir. Sama ada menang atau syahid, namun untuk memalingkan tumit meninggalkan perjuangan adalah tidak sama sekali.

"Istiqamah Hingga Kemenangan"

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
HARAKAHDAILY 22/7/2015

Share on Myspace