Kongres Rakyat: Merealisasikan tindakan rakyat

NASRUDIN HASSAN | .

1. Saya menggalas amanah untuk menjayakan Kongres Rakyat. Alhamdulillah, beberapa NGO, tokoh-tokoh negara, gerakan mahasiswa dan lainnya telah dihubungi untuk merealisasikan Kongres Rakyat tersebut.

2. Pertemuan atau pra mesyuarat pasukan koordinator telah diadakan dan kami bersetuju atas 3 perkara:

i) Tarikh Kongres Rakyat ialah pada 12 September 2015 bersamaan 28 Zulkaedah 1436H hari Sabtu dan akan diadakan di negeri Selangor Darul Ehsan insyaallah.

ii) Jawatankuasa Penganjur sedang dibentuk dan mesyuarat pertama jawatankuasa penganjur akan diadakan pada 21 Ogos 2015 ini insyaallah.

iii) Matlamat kongres ini adalah menjadi medium dan platform persidangan rakyat mengemukakan usul, memberi idea, berbincang mencari formula penyelesaian dan merangka Pelan Tindakan Rakyat jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani segala permasaalahan yang melanda negara dan menghimpit rakyat.

3. Alhamdulillah, maklum balas yang saya terima daripada masyarakat adalah sangat positif. Platform sebegini yang membuka ruang penyertaan mereka berkongsi idea adalah suatu yang dinanti.

4. Jawatankuasa Penganjur akan mengundang seberapa ramai penyertaan ke kongres rakyat ini. Kita sasarkan lebih 100 NGO akan menyertai Kongres Rakyat termasuklah jemputan kepada tokoh-tokoh negara, gerakan mahasiswa, parti-parti politik dan aktivis sosial.

5. Format kongres rakyat akan diumumkan kepada semua menerusi sidang media khas oleh Jawatankuasa Penganjur pada 21 August 2015 kelak. - HARAKAHDAILY 16/8/2015

Sekian.

Nasrudin bin Hassan
Setiausaha Kongres Rakyat

Share on Myspace