PAS mendukung perpaduan anjuran Islam

NASRUDIN HASSAN | .

1. Perpaduan adalah ajaran Islam yang sangat murni. Justeru Islam menolak perpecahan yang merugikan ummah dan negara. Namun tegasnya, Islam tidak menganjurkan perpaduan sempit berasaskan sempadan kaum, bangsa, bahasa dan geografi. Anjuran perpaduan yang dibawa oleh Islam ialah berasaskan Tali Allah swt (Al Quran). Al Quran adalah model perpaduan yang benar-benar utuh dan unggul. Sebagaimana Islam mengajar kita menghulur tangan untuk bekerjasama berasaskan Al Birr (kebaikan) dan at Taqwa (ketundukan kepada Allah swt).

2. Islam turut menentang suara perpaduan atas semangat dendam, perkauman dan kebencian sesama manusia tanpa asas sebagaimana Islam juga menolak keras kerjasama atas dasar permusuhan dan berbuat dosa atau mungkar. Melunaskan hasrat tersebut, PAS menyeru supaya seluruh rakyat bangkit bersatu atas nama memperjuangkan kebenaran dan menolak kebatilan. Bangkit mendukung gerakan perubahan untuk menumbangkan sistem jahiliyah dan menegakkan sistem yang adil dan benar sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

3. Kongres Rakyat yang akan berlangsung pada 12 Sept 2015 menjadi tumpuan PAS bagi kami membantu pihak penganjur menjadikannya sebagai satu platform kesatuan rakyat Malaysia untuk  berfikir, merencana dan merangka Pelan Tindakan Rakyat ke arah merealisasikan erti sebuah perubahan.

4. Pada masa yang sama, PAS melalui Lajnah Penerangan dan Lajnah Pemerkasaan Parti sedang mengurus aktif beberapa aktiviti semasa yang wajib diberi tumpuan oleh setiap peringkat pimpinan dan ahli PAS. Antaranya Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS dan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) yang sedang rancak berlangsung di seluruh negara. PAS juga sedang menumpukan penuh perhatian kepada Retreat PAS Pusat yang akan dilangsungkan pada akhir bulan ini untuk merencana keutuhan parti dan strategi semasa perjuangan Islam yang didukung oleh PAS.

5. Sementara Himpunan 60 Ribu (H60K) yang akan dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu pada 17 Oktober 2015 kelak, terus menjadi tumpuan utama PAS bagi menjayakannya dengan mengundang segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan warna kulit bagi meneruskan gelombang kebangkitan dan gerakan perubahan di dalam negara ini seraya menolak sebarang seruan dan anjuran berpadu dan bersatu yang berasaskan kaum dan bangsa.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 7/9/2015

Share on Myspace