Profesion Kesihatan: Lengkapkan dengan tasawur Islam

NASRUDIN HASSAN | .

1. Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada anggota staf perkhidmatan Kementerian Kesihatan kerana telah berupaya mencadangkan satu RUU untuk mengawal selia dan meningkatkan piawaian kumpulan profesion kesihatan bersekutu di Malaysia.

2. Penggubalan RUU ini diharap mampu mengukuhkan dan meningkatkan tahap keberkesanan sektor perubatan di Malaysia terutamanya mengisi kelompangan sumber tenaga manusia dalam bidang kedoktoran, kejururawatan, para medik dan klinikal.

3. Saya ingin merujuk kepada Jadual Kedua RUU ini yang telah menyenaraikan 23 jenis profesion kesihatan bersekutu. Saya berharap agar pihak kementerian sentiasa merevisi jenis-jenis profesion yang terkini bagi memastikan ia melengkapi keperluan semasa negara.

4. Perkara yang paling penting dalam profesion ini adalah promosi dan penerangan yang meluas kepada rakyat untuk memahami keperluan bidang-bidang yang kritikal seperti penjagaan mental yang merangkumi psikologi klinikal, kaunseling dan kerja sosial serta sains forensik yang masih baru di negara kita.

5. Selain itu, terdapat beberapa kepentingan yang difikirkan wajar agar anggota-anggota dalam profesion ini turut dilengkapkan dengan tasawwur Islam seperti dalam bidang pemakanan, kaunseling dan sains biologi klinikal bagi memberikan impak yang lebih kukuh.

6. Saya turut ingin mendapatkan perincian daripada pihak kementerian berhubung jumlah sebenar tenaga kerja yang terlibat dalam profesion ini. Adakah bidang pendidikan di negara ini telah bersedia untuk menawarkan sumber tenaga kerja berkemahiran sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang?

7. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan berhubung kod etika atau garis panduan tatatertib yang akan diaplikasikan dalam profesion ini memandangkan bahagian-bahagian dalam RUU ini tidak menyatakan perkara tersebut.

8. Saya juga ingin menekankan supaya fi (fee) yang akan dikenakan untuk pendaftaran tidak membebankan mereka. Selain itu, saya juga ingin mendapatkan penjelasan, adakah pihak majlis juga berperanan untuk menentukan kadar fi (fee) perkhidmatan profesion ini yang akan dikenakan kepada pelanggan?

Antara isu yang berbangkit dalam isu ini dan memerlukan penjelasan dari kementerian ialah :
a. Birokrasi pendaftaran sebagai ahli, selalunya apabila ada badan macam ini, urusan birokrasi akan menyusahkan para pengamal dari sudut kewangan untuk latihan dan lain-lain.
b. Isu perbezaan atau substandard antara graduan PKB dari universiti awam, swasta dan luar negara, bagaimana hendak diselarikan? Perlu kepada latihan lanjutan atau bagaimana?
c. Jika kemudian daripada RUU ini ada kelompongan dan tidak cukup syarat kepada graduan atau pengamal sedia ada, apa akan jadi pada kursus-kursus pengajian dan pengamal senior /lama? – HARAKAHDAILY 21/10/2015

Tulisan di atas ialah petikan ucapan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 di Dewan Rakyat pada 20 Okt 2015.

Share on Myspace