Kes pembunuhan

NASRUDIN HASSAN | .

Tuan Haji Nasrudin bin Hassan [Temerloh] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan laporan kes pembunuhan Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini Mohamad dan Hussain Ahmad Najadi.

JAWAPAN

PDRM akan menjalankan siasatan berhubung dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 yang mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner dalam Inkues Kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock.

Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kematian Teoh Beng Hock adalah kematian dalam tahanan apabila ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menolak dakwaan bahawa mangsa membunuh diri. Mahkamah juga menyatakan bahawa punca kematian mangsa disebabkan oleh seseorang atau lebih dari seorang.

Satu pasukan khas ditubuhkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menyiasat punca dan perkara ini dengan mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan dalam semua perkara yang melibatkan PDRM. Kementerian tidak bercadang mengulas lanjut berkaitan kes ini memandangkan siasatan kes ini masih lagi berjalan dan ianya dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan tersebut.

Di dalam kes Ahmad Sarbaini Mohamad, Mahkamah Koroner telah membuat keputusan pada September 2011 sebab kematian mangsa dipercayai akibat kemalangan. Siasatan pihak polis telah pun selesai.

Bagi kes Hussain Ahmad Najadi, pihak polis telah mendakwa suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dan 18 tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan pada 5 September 2014. Pada masa ini pihak tertuduh telah membuat rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Share on Myspace