Bajet 2016 pasif

NASRUDIN HASSAN | .

1. Tiada Inspirasi Baharu Dalam Bajet 2016. Meskipun iklim ekonomi yang semakin mencabar dengan ketidaktentuan elemen pasaran sebagaimana diakui oleh Perdana Menteri sendiri, kerangka dan inisiatif Bajet 2016 masih mengikut naratif lama.

2. Lihat sahaja bajet Jabatan Perdana Menteri sehingga melebihi RM14 bilion. Ianya sudah menjadi suatu kelaziman bajet JPM menjadi sebegitu besar hatta mengatasi peruntukan pendidikan dan pertahanan!

3. Perdana Menteri pula tidak menyentuh untuk apa jumlah yang sebegitu besar diperlukan oleh portfolionya di dalam ucapan bajet. Fenomena sebeginilah yang disifatkan oleh kebanyakan kapten industri seperti yang diungkapkan CEO Air Asia Tony Fernandes akan tiadanya ketelusan dalam perbelanjaan kutipan cukai.

4. Malah jika dirujuk kepada kenyataan Chua Tee Yong, Timbalan Menteri Kewangan seperti yang dilaporkan Bernama bahawa kerajaan akan memperincikan pendapatan dan perbelanjaan dari hasil GST menerusi pembentangan Bajet 2016, hakikatnya bajet yang telah dibentang tidak benar - benar diperincikan. Khasnya perincian pada aliran belanja dari hasil GST tersebut.

5. Menteri Kewangan terus menabur janji bahawa Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan dimuktamadkan oleh Parlimen namun hakikatnya termanya terus menjadi rahsia. Malah para ahli parlimen yang sepatutnya mewakili suara rakyat terus dinafikan akses kepada dokumen TPPA berbanding PriceWaterhouseCoopers, sebuah firma perunding asing yang diberikan layanan istimewa untuk menilai dokumen TPPA.

6. Soalnya mengapa? Sekali lagi Bajet 2016 tidak memberikan sebarang jawapan. Jangan pula salahkan rakyat kalau agenda Bajet 2016 penuh keraguan. Dengan gah Perdana Menteri mengumumkan 10,000 rumah akan dibina bagi merancakkan pemilikan hartanah kalangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

7. Namun lihat sahaja rekod kerajaan pusat membina rumah kekal baru bagi mangsa-mangsa banjir besar tahun lepas. Meskipun kononnya RM500 juta diperuntukkan untuk Kelantan, hanya 50 buah rumah yang mampu dibina kerajaan pusat sehingga akhir Julai 2015. Sekarang kerajaan berani pula menjanjikan 175,000 unit kediaman mampu milik untuk rakyat?!

8. Bajet 2016 hanyalah suatu bajet kitar semula tanpa sebarang inspirasi baru. Dengan tanggungan hutang kerajaan hampir RM800 billion dan tanggungan hutang isirumah tertinggi di Asia, ruang untuk negara mengembangkan ekonomi semakin terhad. Apakah Bajet 2016 mengakui hambatan besar ini dan apa pula penyelesaian yang diberikan? Jawapannya tiada.

9. Tetapi sekiranya penjawat awam tercari-cari jawapan mengapa terus menerus tiada bonus untuk mereka (yang ada cuma imbuhan khas RM500) maka jawapannya bukanlah kerana produktiviti perkhidmatan awam merudum tetapi kerana hutang kerajaan yang melampau telah menghambat keupayaannya untuk menjaga kebajikan kakitangannya sendiri.

10. Hakikatnya Bajet 2016 tidak memberi inspirasi dan menyuntik keyakinan rakyat akan ketahanan daya upaya ekonomi negara. Telah jelas kini bahawa pemerintah masih tandus modal dan idea untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beristiqamah Hingga Kemenangan.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh

Share on Myspace