Perkongsian dari Parlimen: Isu 1MDB

NASRUDIN HASSAN | .

Tuan Nasrudin Bin Hassan [Temerloh] minta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah pelupusan kepentingan yang telah diambil untuk menstabilkan kewangan 1MDB.

JAWAPAN

Untuk makluman dewan yang mulia ini, pada 18 Februari 2015, 1MDB telah mengumumkan hasil kajian strategik atau strategic review (dengan izin) syarikat tersebut.

Pelan Rasionalisasi ini menggariskan strategi dan langkah-langkah yang akan diambil oleh 1MDB untuk membayar balik hutang syarikat.

Antara pencapaian yang telah dicapai oleh 1MDB setelah Pelan Rasionalisasi dibentangkan adalah seperti berikut :

i. Pembayaran semula hutang sebanyak AS$975 juta dan debt for asset swap (dengan izin) dengan IPIC di mana pelaksanaan binding term sheet (dengan izin) dengan IPIC dijangka akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak RM 16 bilion

ii. Lebih RM 1 bilion nilai tanah pembangunan di TRX telah dijual

iii. Tawaran bidaan terakhir daripada pembida tempatan dan antarabangsa bagi Edra Energy dan Bandar Malaysia akan diterima pada akhir bulan oktober 2015 di mana Perjanjian Jual Beli (SPA) bagi kedua-dua aset tersebut dijangka akan dilaksanakan pada bulan Disember 2015

iv. Tanah di Pulau Indah, Selangor sedang dalam proses penjualan

v. 1MDB sentiasa memenuhi komitmen pembayaran balik prinsipal dan faedah pinjaman dengan konsisten. – HARAKAHDAILY 28/10/2015

Sesi soal jawab
27 Oktober 2015
Sumber: Hansard Parlimen

Share on Myspace