Manhaj juang yang konstruktif

NASRUDIN HASSAN | .

PENGALAMAN PAS memperjuangkan Islam telah merentas pelbagai episod dan marhalah (peringkat). Ia meletakkan PAS bukan sahaja memiliki pengalaman yang luas tetapi upaya berijtihad secara kolektif dan membentuk manhaj perjuangan yang mantap berteraskan Feqh Amal Islami yang bersumberkan wahyu Allah swt dan Sunnah Rasulullah SAW.

Berlandaskan Feqh al-Isti'dad (Persiapan) yang telah diwahyukan oleh Allah SWT dalam Surah al-Anfaal ayat 60 - 62, lahirlah satu Strategi Tunjang yang telah diijtihadkan oleh para alim ulama nusantara sejak mula gerakan Islam Masyumi di Indonesia sehingga melewati penubuhan PAS selepas pengharaman Hizbul Muslimin di Malaysia.

Strategi Tunjang yang dimaksudkan itu ialah Muwaajahah Silmiyyah (pendekatan secara damai).

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam akhirnya didaftarkan sebagai parti politik bagi membolehkan ia bergerak secara sah di pentas demokrasi dan menyertai pilihan raya.

PAS tidak memilih cara perang, gerila atau gerakan subversif (bawah tanah) untuk meneruskan perjuangan Islam, sebaliknya mengangkat manhaj dakwah secara seimbang dengan gerakan siasah selain Amal Tarbawi yang menjadi pemangkin kepada pengkaderan parti.

Strategi Tunjang ini wajib difahami oleh semua untuk mengatur langkah juang sekali gus memartabatkan nilai politik Islam yang indah, hikmah, adil dan telus. Bukan perjalanan politik yang sarat dengan bagasi dendam, benci, khianat dan angkuh.

Keutamaan strategi ini ialah "memenangi hati" manusia dan membawanya pulang bersama. Ia berbeza dengan strategi perang yang mensasarkan kepala musuh untuk dipenggal.

Strategi Muwajahah Silmiyah ini mensasarkan "kesatuan ummat Islam" agar meredakan pertelingkahan, mengelakkan perselisihan, merapatkan jurang dan bangkit menjadi ummat yang kuat dan tidak lagi diperkotak katik oleh musuh Islam dan bonekanya.

Meskipun PAS berada di blok pembangkang, melalui strategi tunjang ini maka PAS selayaknya menjadi pembangkang yang konstruktif (membina-bukan bangkang membabi buta) dan seterusnya memimpin politik yang matang, berhemah dan meletakkan kepentingan Islam dan ummah sebagai objektif utama setelah matlamat perjuangan ini ialah mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Demi kepentingan Islam yang telahpun menawarkan keadilan dan kesaksamaan kepada semua, PAS sewajarnya mencatur gerak siasi dan pelan dakwahnya untuk mengembalikan kuasa ekonomi dan politik negara ke tangan ummat Islam. Segala aktiviti, program, tindakan, kenyataan dan gerakan yang dicetuskan oleh PAS kini mestilah berorientasikan Islam, kepentingan dan kebangkitannya. – HARAKAHDAILY 16/11/2015

Share on Myspace