Perkongsian Dari Parlimen: Tangkapan rasuah

NASRUDIN HASSAN | .

Perbahasan Bajet 2016 Peringkat Jawatankuasa (Jabatan Perdana Menteri)
Maksud Bekalan 9 (B9) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

1. Secara spesifiknya saya ingin merujuk kepada: Butiran 020000 (Perundangan & Pendakwaan), Butiran 030000 (Siasatan dan Perisikan) serta Butiran 040000 (Pencegahan).

2. Berdasarkan statistik tangkapan dari tahun 2011 hingga Oktober 2014, tren menunjukkan penurunan tetapi pada tahun ini, sehingga bulan Oktober 2015, seramai 766 orang telah ditangkap dan ia merupakan jumlah kedua tertinggi dalam tempoh lima tahun.

3. Mengapa kes tangkapan terlalu tinggi pada tahun ini?

4. Daripada 3,446 kes tangkapan yang dibuat pula, sebanyak 1,495 kes adalah daripada orang awam manakala 1,034 adalah kakitangan kumpulan sokongan.

5. Saya agak terkejut kerana hampir 50% kes tangkapan secara keseluruhan yang dibuat adalah terdiri daripada penjawat awam kumpulan sokongan.

6. Saya minta penjelasan daripada pihak Perdana Menteri, apakah kes-kes rasuah atau salah guna kuasa yang melibatkan mereka?

7. Saya mohon juga butiran kes mengikut kementerian atau agensi kerajaan yang terlibat.

8. Ini kerana sekiranya merujuk kepada pendedahan Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, antara isu besar yang berlaku adalah melibatkan perolehan dan pembayaran pembelian aset-aset kerajaan.

9. Adakah ia berkaitan? Jika berkaitan, maka apakah keputusan-keputusan perolehan dan pembayaran ini diputuskan oleh kakitangan sokongan?

10. Selain itu, saya juga telah merujuk kepada pangkalan data pesalah rasuah yang telah memuatnaik butiran terperinci 726 pesalah rasuah yang lengkap dengan nombor kad pengenalan diri dan butiran kesalahan serta hukuman ke atas pesalah-pesalah tersebut di laman rasmi SPRM.

11. Terdapat sebahagian kes tersebut masih di peringkat rayuan, tetapi segala butirannya telah terpampang dalam laman rasmi SPRM. Apakah motif tindakan tersebut? Sedang ia masih di peringkat rayuan?

12. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan berhubung keberkesanan dan perkembangan terkini mengenai Program Pegawai Integriti Bertauliah yang telah ditempatkan di jabatan kerajaan dan GLCs.

13. Adakah program ini memberikan impak yang tinggi untuk mencegah salah guna kuasa atau penyelewengan amanah di lokaliti masing-masing? Atau sekadar bentuk program tetapi tidak berfungsi sehingga rasuah masih berleluasa melibatkan kakitangan awam. - HARAKAHDAILY 17/11/2015

Share on Myspace