TPPA: Imperialisme baru memeras rakyat

NASRUDIN HASSAN | .

Terima kasih Tuan Pengerusi. Maksud Bekalan B, Butiran 030000.

Saya ingin merujuk kepada beberapa perkara yang berkenaan dengan hubungan perdagangan dan juga ekonomi antarabangsa. Saya tidak mahulah untuk memperincikan ataupun bahas mengenai Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) kerana pihak kementerian telah pun berjanji untuk memberikan ruang seluasnya kepada Ahli Parlimen dan juga dikemukakan di Dewan Rakyat ini untuk dibahaskan pada awal tahun hadapan.

Namun apa yang saya hendak bangkitkan di sini ialah supaya tidak berlaku sebarang promosi secara langsung ataupun tidak oleh pihak Perdana Menteri dan juga pihak Kerajaan Malaysia yang menggambarkan seolah-olah perjanjian ini telah pun dipersetujui ataupun perjanjian ini telah pun ditandatangani, sedangkan ia masih lagi belum dibahas dan juga dibentang di Parlimen ini.   

Ini kerana bagi kami, ingin mengulangi pendekatan ataupun pendirian PAS juga bersama dengan NGO-NGO yang bergabung dalam satu gabungan NGO Kongres Rakyat, yang mana setakat ini konsisten kita untuk menolak TPPA ini adalah kerana kita menganggap ini adalah satu imperialisme baru yang mungkin bertujuan untuk memeras rakyat juga negara kita.

Kerajaan seharusnya juga memahami bahawa pemodenan dan juga kemajuan yang diperjuangkan oleh barat ini boleh menghakis pegangan agama dan juga tradisi rakyat dalam negara kita.    

Tuan Pengerusi, selain itu saya juga ingin mendapatkan penjelasan secara khusus berkait dengan perkembangan semasa perjanjian yang disebut sebagai agreement on Trade Preferential System of OIC (TPS-OIC).  

Sejauh mana ia telah membantu negara-negara Islam setakat ini terutamanya negara-negara Islam yang kurang membangun. Mengapa hubungan dagang Malaysia dan juga negara-negara OIC telah merosot sehingga 20% pada tahun ini iaitu daripada RM83.3 bilion awal tahun lepas kepada RM69.9 bilion pada awal tahun ini.

Jadi kenapa kedudukan itu boleh berlaku, kemerosotan ini berlaku. Apa perjanjian ini tidak memberi kesan apa-apa kepada hubungan dagang Malaysia dengan negara-negara OIC. Kerjasama ekonomi dan juga perdagangan bilateral dan juga multilateral antara negara-negara OIC juga masih lemah dan tidak ada anjakan yang ketara yang mana ini satu perkara yang perlu dilihat secara serius kerana setakat ini Malaysia hanya mempunyai...

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [Pasir Mas]: [Bangun]

Tuan Pengerusi [Datuk Haji Ismail bin Haji Mohamed Said]: Ya Yang Berhormat Pasir Mas bangun.  

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [Pasir Mas]: Sedikit Yang Berhormat Temerloh, terima kasih. Bolehkah Yang Berhormat Temerloh bersetuju bahawa sekarang ini kita dilihat hubungan dua hala terutama perdagangan dengan negara-negara OIC ini kelihatan agak merudum disebabkan oleh kesungguhan kerajaan untuk mengadakan perjanjian-perjanjian dengan negara-negara yang lebih besar, mengetepikan hubungan dua hala terutama dalam perdagangan dengan negara-negara Islam.  

Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh]: Ya Tuan Pengerusi, ini juga antara kebimbangan kita kerana apabila hubungan ataupun perjanjian yang dimeterai antara kuasa-kuasa besar ekonomi khususnya Amerika, ia sedikit sebanyak akan memberi satu tekanan dan juga kekangan kepada negaranegara membangun dan juga negara-negara Islam.

Ini antara kebimbangan yang telah kita suarakan sekian lama dan saya bersetuju dengan apa yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pasir Mas sebentar tadi. Untuk diberikan perhatian oleh pihak kerajaan supaya langkah-langkah itu dapat diambil tindakan secara berkesan.  Setakat ini, saya sambung balik apa yang saya kemukakan sebentar tadi.

Setakat ini Malaysia Tuan Pengerusi, hanya mempunyai hubungan dengan Pakistan dan Turki sahaja. Jadi bagaimana hubungan dagang dengan negara-negara umat Islam yang lain khususnya di Timur Tengah. Ini untuk menambahkan lagi hubungan dagang antara Malaysia dengan negara-negara OIC yang lain.

Keadaan ini akan menyebabkan negara Malaysia dan juga negara umat Islam secara umumnya akan terus bergantung pada negara barat jika Malaysia tidak mempunyai hubungan yang erat dengan negaranegara OIC sendiri, negara-negara umat Islam yang lain untuk meningkatkan usaha dagang yang kita bincangkan tadi.  

Tuan Pengerusi, yang kedua, saya ingin merujuk kepada Butiran 080100 – Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia.

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi perhatian secara spesifik kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam peruntukan Bajet 2016 yang lalu di mana kebanyakannya menerima tempias daripada kelembapan ekonomi dan juga kenaikan kos input produktiviti ini. Jadi dengan perhatian yang diberikan ini, sedikit sebanyak akan memberi kekuatan kepada PKS ini.

Saya juga difahamkan ramai PKS yang terjejas dan juga sukar untuk mendapatkan dana pemulihan daripada SME Corporation akibat daripada pengaliran wang perniagaan yang kurang baik. Jadi saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan.  

Keduanya, siapa pihak yang sebenarnya menawarkan skim dana pembiayaan PKS yang patuh syariat yang diumumkan dalam Bajet 2016 yang lalu. Berapakah kadar peratus keuntungan yang telah ditetapkan ke atas pembiayaan tersebut?

Saya harap supaya kadar peratus keuntungan dalam apa jua dana pembiayaan patuh syariat itu tidak membebankan pemohon pembiayaan terutamanya yang kita tahu sekarang ini dalam ekonomi yang tidak memberangsangkan.  

Ketiga, saya juga meminta supaya pihak kementerian dan juga SME Corporation ini supaya dapat menyediakan pelan yang bersepadu untuk meningkatkan kapasiti PKS bersaing di peringkat antarabangsa. Terutamanya daripada aspek inovasi produk dan juga perkhidmatan serta pencapaian kualiti sebab ramai pihak bimbang dengan wujudnya AEC ataupun Asean Economic Community dengan izin. Kemungkinan juga dengan TPPA ini, maka ia akan terus menyisih PKS dalam persaingan global. Jadi perkara ini perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.  

Akhirnya Tuan Pengerusi, saya ingin merujuk kepada Butiran 100200. Hampir sama dan serupa dengan apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kelana Jaya sebentar tadi berkait dengan sewaan bangunan baru di bawah Butiran 100000 yang mana saya difahamkan ibu pejabat MITI ini dipindahkan ke Menara MITI, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah di Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Apa yang saya ingin dapatkan penjelasan ialah apa maksud dan tujuan sebenar bangunan baru ini. Kalau itulah bangunannya, kenapa pihak MITI menyewa bangunan tersebut kerana setakat yang saya maklum, MITI adalah satu-satunya kementerian yang tidak beroperasi di Putrajaya. Kenapa begitu sedangkan kita telah memusatkan pentadbiran dan segala kementerian di Putrajaya. Jadi mohon penjelasan daripada pihak kementerian. - HARAKAHDAILY 24/11/2015

Ucapan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan ketika membahaskan Bajet 2016 untuk Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat pada 23 November 2015.

Share on Myspace