Judi, berlesen atau tidak tetap salah

NASRUDIN HASSAN | .

REALITINYA judi ini sama ada berlesen atau tidak, dia memang mendatangkan masalah besar kepada negara kita terutamanya menumbuhkan kesan-kesan sampingan gejala sosial dan juga jenayah rompakan.

Saya ambil contoh ialah di kawasan Temerloh antara daerah yang begitu subur dan banyak industri ataupun operasi judi sama ada yang berlesen ataupun tidak.

Menjelang negara kita untuk melaksanakan Indeks Syariah ini, saya hendak tanya apakah pelan kerajaan. Tidak adakah hasrat untuk memansuhkan judi ini dan membatalkan semua premis judi sama ada berlesen atau tidak, supaya negara kita lebih selamat dan terjamin. Kalaupun tidak mampu hendak hapuskan keseluruhan di peringkat awal ini, kita kurangkan dahulu kadar pemberian lesen itu, itu yang pertama.

Kemudian yang kedua tentang yang tidak ada lesen. Di premis-premis di Temerloh sebagai contoh sudah diserbu beberapa kali tetapi mereka masih lagi beroperasi. Kenapa tidak kali ketiga atau kali keempat itu batalkan sahaja permit perniagaan mereka itu walaupun berselindung di sebalik salon, cafe dan seumpamanya.  Jadi saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan.

DATUK NUR JAZLAN BIN MOHAMAD [Timbalan Menteri KDN] Terima kasih Yang Berhormat Temerloh.

Soalan itu soalan baik, tetapi tidak ada kena mengena dengan Kementerian Dalam Negeri. Soal hendak mengharamkan judi secara keseluruhan itu di bawah kementerian lain. Akan tetapi saya hendak ulas sedikit mengenai pandangan dari Yang Berhormat Temerloh, iaitu mengenai kenapa tempat-tempat judi yang tidak berlesen ini berkali-kali diserbu, tetapi ia masih boleh beroperasi semula ditempat judi yang sama.

Jawapan terletak pada kerajaan negeri yang menguasai pihak berkuasa tempatan kerana kebenaran untuk menggunakan premis tersebut terletak kepada kuasa PBT. Jadi kalau PBT tidak boleh ambil tindakan untuk menyita, kalau ada tempat-tempat yang digunakan untuk aktiviti judi yang tidak berlesen ini, sepatutnya pihak PBT menggunakan kuasa mereka dibawah Akta PBT untuk menutup lokasi tersebut.

Polis hanya buat penguatkuasaan, kita buat raid, selepas itu kita rampas, tetapi kita tidak ada kuasa hendak tutup tempat tersebut atau sita tempat yang telah dikenal pasti sebagai tempat untuk melaksanakan judi tanpa lesen ini.

Jadi saya rasa selepas ini kementerian pun, seperti saya sebutkan tadi dalam jawapan saya, kita telah menghantar dua nota makluman kepada Mesyuarat Menteri Besar supaya isu ini dapat ditangani secara bersama oleh Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri supaya tempat-tempat judi tanpa lesen ini agar dapat diambil tindakan yang efektif dan ditutup supaya mereka tidak diberi peluang untuk beroperasi semula.

Ulasan Lanjut dari saya:

Pihak kerajaan perlu mewujudkan Tindakan selaras antara pihak berkuasa sama ada melibatkan kementerian terlibat juga pihak berkuasa tempatan supaya masaalah dan barah sosial yang berakar dari judi ini dapat ditangani secara berkesan.

Jika kementerian dan jabatan atau agensi berkuasa bermain "tendang bola" ke sana ke mari dan masing-masing menyebut ini bukan bidang kuasa kami, maka sampai bila ia akan dapat dibasmi.

Laporan telah dibuat. Isu juga telah diangkat ke parlimen, sewajarnya pihak kementerian mengambil maklum dan bertindak secara selaras dan sepadu dgn agensi lain yang terlibat untuk menangani isu judi ini. – HARAKAHDAILY 1/12/2015

Share on Myspace