Kaji semula yuran pengajian tinggi

NASRUDIN HASSAN | .

 

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersetuju dengan penegasan Timbalan Perdana Menteri untuk tidak membenarkan universiti awam menaikkan kadar yuran bagi program prasiswazah.

Malah, PAS meminta pihak kerajaan untuk mengkaji semula yuran pengajian semasa yang dikenakan terhadap para pelajar.

Ekoran daripada satu kajian yang dilakukan oleh Expert Market (London) bulan Oktober yang lalu, Malaysia disenaraikan sebagai negara kelima paling mahal untuk mendapatkan akses pendidikan di universiti.

Kajian ini berdasarkan yuran pengajian yang disenaraikan dalam laporan Quacquerelli Symmonds Top Universities (QSTU) dan dibandingkan dengan pendapatan isi rumah berdasarkan laporan Pendapatan Gallup Median Self-Reported 2013.

Rakyat perlu diberi penjelasan, apakah justifikasi kerajaan dalam menentukan kadar yuran pengajian tinggi khususnya di universiti awam.

Adakah terdapat ruang untuk mengurangkan kadar yuran semasa bagi mengelakkan bebanan subsidi pendidikan dan perbelanjaan rakyat?

Kadar yuran semasa yang masih tinggi menyebabkan kebanyakan rakyat terpaksa bergantung sumber pinjaman.

Dianggarkan 75% mahasiswa terpaksa mengambil pinjaman PTPTN kerana tidak mampu untuk membayar kadar yuran yang tinggi. PTPTN terpaksa menyediakan RM 5 bilion setahun untuk peruntukan pembiayaan.

Hal ini menyebabkan kitaran pendidikan tinggi di Malaysia akan terus dibelenggu dengan sumber pinjaman. Ia turut menjadikan generasi Malaysia pada masa akan datang hidup dalam budaya berhutang.

Walhal, jika kerajaan mempunyai tekad yang kuat, yuran pengajian boleh dikurangkan dan kerajaan boleh menggunakan hasil sumber selain pinjaman untuk menampung kos yuran pengajian tinggi untuk rakyat. - HARAKAHDAILY 8/12/2015

Share on Myspace