Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia

NASRUDIN HASSAN | .

1. Perpaduan Ummah Merentas Ideologi menjadi tema kepada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang bakal berlangsung pada 16 hingga 18 Disember 2015 di Grand Ballroom, Hotel Grand Seasons Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

2. Menariknya, Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia yang dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Malaysia ini, akan menyaksikan satu penghormatan kepada YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS dan juga Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia untuk menyampaikan ucaptama. Ia beriringan dengan ucaptama kedua yang akan disampaikan oleh Prof Dr Abbas Shouman selaku Timbalan Syeikhul Azhar sebelum multaqa ini disempurnakan perasmiannya oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

3. Perkembangan ini mengingatkan saya pada tahun 2002 yang lalu di mana Al-Marhum Ustaz Datuk Fadzil Mohd Noor (selaku Presiden PAS) berdiri sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (selaku Perdana Menteri) untuk membicarakan isu Palestin dalam majlis yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

4. Inilah tanggungjawab bersama ummat Islam. Duduk semeja berdiri sepentas bagi membincangkan masalah ummah, mencari jalan penyelesaian dan pastinya syariat Allah swt menjadi pedoman dan sumber rujuk dalam pelbagai sudut isu yang dihadapi oleh umat Islam termasuklah persoalan sosial, ekonomi dan politik.

5. Kita semua tahu, betapa kini musuh-musuh Allah swt tidak pernah berhenti untuk memecahbelahkan ummat Islam. Mereka menaja ideologi yang songsang dan terpisah dari wahyu Allah swt untuk disogok kepada ummat Islam. Mereka melaga-lagakan pemimpin umat Islam dan merosakkan keyakinan ummah terhadap Islam sebagai penyelesai segala masalah.

6. Mereka menyemarakkan api permusuhan dan menyimbah minyak ke atas bara dendam sesama ummat Islam. Mereka mengaut keuntungan dan mengambil laba yang terlalu lumayan dari perpecahan ummat Islam ini. Mereka mahu menguasai ekonomi dan memiliki kuasa politik yang besar di negara ini dengan mengamalkan divide and rule iaitu pecah dan perintah sehingga ummat Islam bermusuhan serta bertelagah dalam tempoh yang sangat lama.

7. Islam mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam menangani pertelagahan dan perpecahan, malah Islam diutuskan oleh Allah swt antara lain adalah untuk memimpin dan membimbing ummah keluar dari kancah permusuhan yang berpanjangan. Pastinya solusi Islam adalah terbaik. Mengatasi kemelut emosi yang gagal dikawal. Lihat bagaimana pelan induk yang dikemukakan oleh Allah swt untuk menyatukan ummah.

8. Hayatilah Firman Allah swt ini:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang api neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Aali Imran: 103)

9. Sifat paling penting dalam mencari keheningan bersaudara sesama Islam ialah ikhlas kepada Allah swt, benar dalam tindakan berasaskan prinsip syarak dan bertolak ansur serta mengenepikan kepentingan peribadi dan politik sempit. Sifat ini mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengecualikan sesiapa. Tidak pula mencari peluang untuk memangsakan pihak lain demi memungut keuntungan politik lantas memperjudikan nama baik Islam.

10. Islam adalah agama kasih sayang. Islam adalah agama keadilan dan Islam juga adalah agama perpaduan. Untung dan bahagialah, jika kita semua sebagai ummat Islam kembali kepada paksi Islam dalam setiap sendi kehidupan kita. Sama ada sendi sosial, demikian juga sendi politik dan ekonomi. Kembalilah kepada Islam, nescaya kita semua selamat di dunia dan akhirat.

Beristiqamah Hingga Kemenangan - HARAKAHDAILY 14/12/2015

Share on Myspace