PAS merajah peta baru perjuangan - siri 2

NASRUDIN HASSAN | .

Politik matang dan sejahtera

1. Meneliti demografi termasuk sosio budaya negara kita Malaysia yang menjadi pentas utama perjuangan PAS, peranan dan posisi PAS mesti diletakkan di atas landasan yang betul dan sesuai dengan zamannya untuk menuju kemenangan di dunia dan akhirat. Namun dalam masa yang sama, Islam terlebih dahulu telah meletakkan dasar dan prinsip asas yang membentuk road map umum perjuangan Islam merentas zaman.

2. Contoh yang boleh diketengahkan di sini, salah satu garis dasar yang telah ditetapkan oleh Allah swt ialah sebagaimana firman Allah swt:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lunak kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Aali Imran: 159)

3. Ayat ini meletakkan enam noktah penting yang mesti diteliti peranan dan fungsinya dari rehal wahyu Allah swt untuk membentuk manhaj perjuangan Islam kontemporary :

a) Rahmat Allah swt
b) Sikap lunak
c) Memaafkan
d) Doa keampunan
e) Bermesyuarat
f) Bertawakkal

4. Setiap zaman, perjuangan Islam ini mempunyai kesesuaian pendekatan tersendiri. Tanpa perlu menidakkan usaha generasi terdahulu dalam ijtihad politik mereka, kini PAS merajah peta baru perjuangannya, dalam masa yang sama turut memastikan agar ianya terus kekal di atas ketulenan manhaj perjuangan Islam yang diwarisi daripada Baginda al Mustafa saw.

Pembangkang Konstruktif

5. Langkah pertama, PAS menganjak posisinya pada kedudukan sebagai pembangkang yang konstruktif (constructive opposition), sementara ia adalah persiapan terancang dan persediaan bijak sebelum diberi mandat memimpin serta  memerintah sebagai sebuah kerajaan.

6. Asas tanggungjawab perjuangan PAS sebagai pembangkang yang konstruktif ialah ;

i - berjuang untuk menegakkan syariat Islam
ii - memperjuangkan hak rakyat dan
iii - membangunkan negara yang sejahtera.

7. Prinsip PAS sebagai pembangkang yang konstruktif pula ialah:

i - Berani berkata benar pada yang benar dan sebaliknya tegas untuk kata salah pada yang salah.

ii - Tidak keterlaluan sehingga membangkang apa sahaja yang datang dari pihak lain khasnya dari pihak lawan politik namun tidak juga terlalu longgar sehingga tidak mempunyai prinsip dan jati diri.

iii - Tidak terhenti sekadar membangkang sesuatu perkara namun turut mengemukakan solusi atau penyelesaian tuntas berasaskan petunjuk Islam.

iv - Lapang dada dan bersikap terbuka untuk duduk semeja dengan semua pihak bagi membincangkan isu sejagat yang melibatkan kepentingan ummat Islam, rakyat keseluruhan dan negara tercinta.

v - Bersedia mengambil kebaikan dan menerimanya dengan baik meskipun ia datang dari pihak pemerintah serta bersiap sebagai government in waiting.

8. Method pendekatan PAS di posisi pembangkang yang konstruktif, antaranya ialah:

i - Kritik, tegur dan nasihat berteraskan fakta dan figure yang benar dan tepat.

ii - Bertanggungjawab atas kenyataan, tulisan dan tindakan serta berpaksi kepada hikmah Islam.

iii - Berakhlak murni pada gerak pancaindera dan bahasa lidah.

iv - Elakkan fitnah dan memfitnah meskipun terhadap lawan serta tidak mencetuskan provokasi.

v - Berlaku adil terhadap semua dan merendah diri pada pihak yang tidak menentang.

bersambung...

Beristiqamah Hingga Kemenangan.

Sekian.

Share on Myspace