PAS terlaris di pasaran

NASRUDIN HASSAN | .

1. War lord war lord yang berada di belakang media tertentu, cybertrooper dan sharpshooter musuh PAS sedang kepanasan menyaksikan gerak dakwah dalam seni siasah yang diaksikan oleh PAS mutakhir ini.

2. Mereka tidak mampu lagi untuk menyembunyikan wajah cemburu yang jelas terserlah dari kerut dahi dan kelat muka mereka. Langkah sumbang mereka mula digerakkan dengan mengadu domba, spin kenyataan, tabur fitnah, create akaun facebook palsu, menggunakan nick name lalu menyerang facebook PAS dan pimpinannya dengan "ops burukkan persepsi" agar masyarakat pembaca menilai buruk dan hilang kepercayaan kepada PAS.

3. Insya Allah, PAS konsisten memacu pedati dakwah di bumi bertuah ini meskipun laluannya tidak mudah. Justeru sunnatullah ini pernah dilalui oleh nabi-nabi alaihimussolaatu wassalam. Segala tohmahan, fitnah, caci maki dan pelbagai kata nista itu hanyalah pengulangan sejarah di sepanjang zaman.

4. Terbaru kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyyudin Hassan disalah ulas dan siar oleh beberapa media. Mereka sengaja berbuat demikian untuk memanaskan temperature politik negara dalam masa yang sama, bukan sahaja untuk melariskan media mereka tetapi juga bermaksud untuk merosakkan reputasi serta mematikan langkah politik PAS.

5. Tentu sahaja "fix deposit" bagi PAS ialah insan yang berilmu. Justeru itu, saya yakin dan percaya bahawa pimpinan PAS dan keseluruhan ahlinya sudah matang menilai dan menangani cabaran perjuangan ini.

6. Saya faham bahawa tidak mudah untuk menggerakkan perubahan (reformasi), tidak mudah juga untuk membawa pembaharuan (tajdid), sebagaimana tidak mudah untuk melakukan pemulihan (islah) pada sistem dan pendekatan politik, dakwah dan tarbiyah. Suatu harga yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkan hasil yang hebat dan lumayan. Saya sifatkan ia sebagai pelaburan yang berbaloi.

7. Kini PAS terlaris di pasaran. Sama ada pasaran tempatan mahupun pasaran bebas di peringkat global. Semua agensi, melibatkan kerajaan dan bukan kerajaan atau politik dan bukan politik sedang membaca serta mengamati bagaimana aksi PAS selanjutnya. Ada yang datang menghulurkan salam, ada yang malu-malu kucing di balik tirai, ada yang menyergah di depan pintu terbuka, ada yang menerpa masuk tanpa salam.

8. PAS dengan segala kerendahan diri dan adab pekerti yang dibekalkan oleh para alim ulama terdahulu, PAS dengan penuh kewaspadaan dan langkah cermat sebagaimana pengalaman yang dibekalkan oleh para pejuang Islam yang silam, kini PAS depani segala situasi ini dengan tenang, ceria, penuh perkiraan, cukup terencana dan optimis bahawa masa depan adalah milik Islam.

9. Selamanya PAS akan tegak di atas paksi Islam insya Allah. Bimbingan wahyu Allah swt menjadi pedoman bertindak. Seerah an Nabawi menjadi manhaj berjuang. Kesepakatan secara jamaei (kolektif) dan ukhuwwah Fillah membina benteng kukuh perjuangan ini dalam menghadapi musuh nyata dan musuh yang menyelinap.

10. Sekarang ambil posisi masing-masing. Bahtera besar ini sudah dilengkapi dengan nakhoda berpengetahuan, juragan terlatih, kelasi berpengalaman. Fokus pada bidang tugas dan potfolio masing-masing. Jangan habiskan masa dengan mengambil tugasan orang lain sedang tugasan kita masih terbengkalai. Move foward! Perkukuhkan jamaah atau parti ini dengan pentarbiahan tanpa henti. Melangkah gagah ke hadapan menempuh cabaran tanpa peduli onak dan duri. Sampaikan risalah Islam melepasi semua sempadan dan ruang yang sampai cahaya matahari dengan hikmah tanpa sebarang provokasi.

Beristiqamah Hingga Kemenangan - HARAKAHDAILY 21/12/2015

Share on Myspace