Taklimat Khas Presiden PAS

NASRUDIN HASSAN | .

1. PAS menjadi bahan terlaris di pasaran. Ia diperhati, dibahas dan diulas oleh semua pihak, bermula dari ahli politik samada dari blok pemerintah mahu pun pembangkang, hinggalah kepada tokoh akademi, NGO, individu dan sebagainya. Kedai kopi usah ceritalah. Menjadi warung rakyat yang bersidang saban hari mengalahkan Dewan Rakyat.

2. Bermula dari sekecil-kecil isu sehinggalah kepada isu yang besar-besar, semuanya dibicarakan tanpa henti dan PAS menjadi subjek utama. PAS menjadi perhatian kebanyakan pihak dan cara mereka memerhati sangat serius.

3. Positif atau negatif nilai pemerhatian mereka usah dikira. Ianya pelbagai dan bercampur-campur macam saingan saham di bursanya. Semua orang mahu mengulas. Cybertrooper jangan cakaplah, belum keluar statement dari mulut Presiden PAS, mereka telah membuat ulasan yang panjang lebar.

4. PAS mempunyai mekanismenya tersendiri bagaimana mahu mengurus sesuatu isu yang timbul. Terkadang dilihat terlalu lambat bertindak kerana PAS mengambil sikap berhati-hati dan melalui proses yang selayaknya. Pastinya ada pro dan kontranya di situ, tetapi sering kali PAS tepat dalam langkah yang diambil.

5. Berapa banyak kes, PAS telah mendahului pemikiran bertahun kehadapan berbanding pihak lain. Apabila bercakap mengenai kerajaan perpaduan atau UG tempohari, PAS disasarkan dengan pelbagai fitnah dan tohmahan. Nyata hampir 10 tahun kemudiannya, semua orang bercakap perlunya sebuah kerajaan yang berkonsepkan perpaduan ini dengan menggunakan istilah yang berbeza seperti konsensus nasional, save Malaysia, Unity Government sementara dan sebagainya.

6. Mutakhir timbul pula isu kerjasama dengan Umno. Sekali lagi PAS ditujahi fitnah dan tohmahan. Namun berbekalkan pengalaman yang luas, PAS tenang dan menanganinya dengan rileks dan teratur. Peliknya, sehari dua ini beberapa parti pembangkang yang marah kepada PAS kerana kononnya PAS mahu bergabung dengan Umno pula yang mengeluarkan kenyataan sedia bekerjasama dengan Umno melalui pelbagai syarat yang mereka kenakan.

7. Politik Malaysia telah menjadi pentas maharaja lawak antarabangsa. Politikusnya (tidak semua) dilihat bukan sahaja tidak berprinsip tetapi hanya sebagai seorang pelakon atau badut yang mempamerkan aksi lucu murahan mereka untuk menarik perhatian ramai. Mereka tiada idea baru sebaliknya sekadar mengulas dan meniru apa yang telah didahulukan oleh PAS perbahasan dan perbincangan mengenainya.

8. Sehari dua ini kecoh lagi mengenai Taklimat Khas oleh Presiden PAS yang akan berlangsung sabtu ini. Saya sendiri berasa hairan, kenapa taklimat ini menjadi isu yang diperbahaskan. Kelihatan ada pihak yang panik. Presiden belumpun mengemukakan maklumat atau taklimatnya kepada pimpinan dan ahli PAS, sudah ada pihak yang membuat ulasan panjang lebar dengan pelbagai andaian dan congakan mereka.

9. Lajnah Penerangan PAS Pusat telah diamanahkan untuk mengendalikan majlis Taklimat Khas Presiden PAS dan ia diadakan sebagai aktiviti rutin PAS selain liqa' fikri, konvensyen, muktamar, mesyuarat bulanan dan sebagainya untuk memberi pengarahan semasa dan pencerahan kepada pimpinan serta ahlinya terhadap sesuatu isu besar yang dihadapi. Tiada asas untuk ia dijadikan isu kecuali oleh pihak desprado yang akan capai apa sahaja objek timbul untuk berpaut.

10. Insyaallah, Lajnah Penerangan PAS Pusat akan turun ke seluruh negara sekali lagi untuk perturunkan pengarahan, amanah dan pencerahan isu oleh Tuan Guru Presiden ke negeri-negeri selepas selesai Taklimat Khas Presiden peringkat pusat. Terdahulu Lajnah Penerangan PAS Pusat telah selesai menganjurkan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS dan juga PIHAK (Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan) di seluruh negara.

11. Ahli PAS usah gundah dan resah. Jangan terpedaya dengan persepsi yang cuba dibentuk oleh mereka yang bersarang hasad di perut pedal mereka. Sebaliknya rujuk kepada sumber parti. Sementara pihak yang mendapat jemputan rasmi ke Majlis Taklimat Khas Presiden Sabtu ini, jangan lepaskan peluang untuk hadir bagi menerima pengarahan, melaksanakan amanah serta memahami betul duduk isu yang akan diberi pencerahan oleh Presiden dan pucuk pimpinan. Malah ruang dialog juga disediakan. Adapun ahli parti lain harap bertenang dan jangan kecoh atau kalut tidak tentu pasal. Anda tidak terlibat, sekian dimaklumkan.

Beristiqamah Hingga Kemenangan

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 5/1/2016

Share on Myspace