PAS terajui budaya politik matang dan sejahtera

NASRUDIN HASSAN | .

Muqaddimah

1. Transformasi imej yang sedang diolah oleh PAS bagi mendepani cabaran perjuangan dan persekitaran politik semasa hari ini telah mula menarik perhatian umum. Banyak maklum balas telah kami terima untuk menambah baik dan mengemaskini agenda pemerkasaan parti dan transformasi imej. PAS menyambut mesra pelbagai pandangan dan saranan, sementara itu PAS terus memacu perjuangan dengan membudayakan politik matang dan sejahtera dalam semua gerakkerja dan pendekatannya.

Definisi Budaya Politik Matang dan Sejahtera

2. Sebuah budaya berpolitik  yang berasaskan kepada kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan, berlandaskan Al Quran dan As Sunnah, sesuai dengan realiti masyarakat, bermatlamatkan kesejahteraan rakyat, kemakmuran negara dan keredhaan Allah swt.

Sikap PAS terhadap Assaabiquunal Awwalun

3. Terdapat pandangan sinis dilemparkan kepada PAS kononnya hari ini baru nak matang? apakah orang terdahulu tidak matang? apakah usaha pimpinan terdahulu tidak betul?

4. Transformasi imej ini adalah tindakan dan pendekatan semasa PAS mendepani cabaran. Ia bukan satu tindakan untuk menafikan apa yang dilakukan oleh mereka terdahulu. Sebaliknya pendekatan dan tindakan pimpinan atau generasi terdahulu adalah terbaik dan sesuai pada zaman mereka. Semoga Allah swt melimpahkan ganjaran sewajarnya atas usaha mereka memperjuang dan mempertahankan Islam bersama PAS, jua diampunkan segala kesalahan mereka terdahulu.

5. Islam mengajar kita menghiasi diri dengan akhlak terhadap generasi terdahulu. Firman Allah swt:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu". (Surah Al Hasyr: 10)

Muwaajahah Silmiyah (Pendekatan Secara Aman)

6. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang didaftarkan sebagai sebuah parti politik dan mengambil ruang demokrasi untuk menyampaikan dakwah Islam serta mendaulatkan syariat di bumi Malaysia ini. PAS tidak memilih gerakan revolusi atau gerakan subversif sebaliknya PAS mengambil pendekatan secara aman dan damai untuk menjana kemenangan dalam pilihan raya bagi memiliki kuasa politik ke arah merealisasikan perubahan pada dasar dan sistem negara.

7. Strategi umum Muwajahah Silmiyah untuk memenangi pilihan raya ialah terhenti di atas dua noktah.

Pertama: Memenangi hati rakyat bahawa PAS parti yang terbaik

Kedua: Meyakinkan rakyat bahawa PAS mampu memerintah

8. Justeru itu, kematangan dan kesejahteraan politik yang dipersembahkan oleh PAS untuk menjayakan strategi umum Muwajahah Silmiyah tersebut adalah  dengan mempraktiskan wahyu Allah swt:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lunak terhadap mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Aali Imran: 159)

9. Hayati sifat dan sikap yang digariskan oleh Allah swt dalam ayat tersebut. (Surah Aali Imran: 159) bersambung...

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 16/2/2016

Share on Myspace