PAS terajui budaya politik matang dan sejahtera (2)

NASRUDIN HASSAN | .

Politik itu kotor?

10. Kita biasa dengar orang berkata politik itu kotor. Malah mereka tidak percaya kepada ahli politik. Walhal, yang kotor itu ialah sebahagian ahli politik kerana mereka gagal berpolitik berasaskan akhlak Islami, ataupun mereka mewarisi subjek politik peninggalan penjajah yang nyata terpisah dari nilai dan didikan wahyu Allah swt.

11. Tentu sahaja politik warisan penjajah adalah berteraskan politik penaklukan, permusuhan, peperangan, perebutan kuasa, bolot kekayaan yang kemudiannya menelurkan budaya politik perkauman, politik fitnah, politik emosi tanpa kawal, politik kebencian, politik retorik, politik persepsi, politik menghalalkan cara, politik syak wasangka, politik kemasyhuran, politik keras kepala, politik angkuh dan 1001 jenis politik negatif yang mempalit stigma "politik itu kotor".

Anjakan Budaya Politik Negara

12. Kini PAS sedang mengorak langkah untuk menerajui anjakan budaya politik negara, daripada politik konvensional tinggalan penjajah kepada meletakkan prinsip politik Islam berteraskan panduan Al Quran dan Hadis Nabi SAW. Langkah ini adalah membersihkan politik negara dari budaya negatif dan digantikan dengan budaya politik yang matang dan menepati syarak.

13. Negara perlu anjakan budaya politik ini demi pembinaan tamadun atau peradaban yang hebat pada masa depan. PAS mengambil tanggungjawab ini dengan penuh sedar bahawa negara tercinta ini memerlukan perubahan yang total dan optimis bahawa ia boleh dilakukan dengan baik dan berkesan di bawah sinar petunjuk wahyu Allah SWT dan sunnah nabiNya SAW.

Realiti Budaya Masyarakat Malaysia

14. Menganalisa kedudukan sosio budaya masyarakat Malaysia, kita dapati secara umumnya ia terbentuk dengan sifat lemah lembut dan sopan santun, sesuai dengan sejarah kemasukan Islam dan kemerdekaan negara.

15. Justeru itu, rata-rata rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan budaya ini mulai bosan serta jemu dengan karenah dan budaya politik yang agerasif, kasar, kesat, fitnah, adu domba dan akhirnya membawa kepada perpecahan serta benci membenci antara satu sama lain.

16. Ternyata negara sangat memerlukan anjakan budaya politik kepada yang lebih matang, sejahtera, bertanggungjawab dan harmonis. PAS sebagai sebuah parti politik Islam sangat memahami realiti ini lantas segera memposisikan diri untuk menerajui budaya politik matang dan sejahtera. Pendekatan ini adalah lebih sesuai bagi PAS sebagai sebuah gerakan tarbiyah,  dakwah dan siasah serta dalam masa yang sama, pendekatan ini lebih dekat di hati masyarakat.

Kepentingan Budaya Politik Matang dan Sejahtera

17. Terlalu banyak kepentingan yang boleh diraih melalui amalan budaya politik matang dan sejahtera. Paling menonjol ialah:

a) mengekang berlakunya ketidakadilan
b)mengelak penyalahgunaan kuasa
c) menghindari ketidak-stabilan politik
d) menghindari kemelesetan ekonomi
e) menghindari keruntuhan sosial
f) menamatkan perselisihan rakyat
g) mengurangkan pembaziran masa
h) mengelakkan campurtangan asing
i) menggalakkan budaya politik ilmu
j) menyuburkan budaya politik fakta
k) mendidik rakyat buat keputusan berasaskan maklumat yang benar.

18. Marilah kita menghayati sejenak firman Allah SWT dari Surah An Nuur ayat ke 55. Betapa politik yang berpaksi pada iman dan amal soleh akan mengutuhkan kedudukan dan mengukuhkan kuasa.

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

bersambung...

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Share on Myspace