PAS menerajui budaya politik matang dan sejahtera (3)

NASRUDIN HASSAN | .

Kriteria Politik Matang dan Sejahtera

19. Politik matang dan sejahtera yang diterajui oleh PAS sewaktu mengemudi hala tuju perjuangan Islam dewasa kini telah dikemukakan dengan 9 kriteria yang mesti difahami, dihayati serta dipraktis oleh setiap anggota parti samada pemimpin ataupun ahli biasa.

Kriteria pertama: Bertunjangkan Prinsip

20. Prinsip perjuangan PAS pasti sahaja berpaksi kepada Al Quran dan As Sunnah. Justeru itu, apa jua keputusan PAS mestilah menepati syarak. Ini adalah prinsip yang tidak boleh bertolak ansur padanya. PAS menolak sebarang keputusan dan tindakan yang berasaskan "matlamat menghalalkan cara". Sebaliknya hanyalah cara yang halal akan digunakan untuk mencapai matlamat perjuangan Islam.

21. Tindakan bertunjangkan prinsip akan menyelamatkan PAS dari situasi flip flop ketika membuat keputusan dan tindakan. Malah lebih tegas, ianya mesti konsisten di atas prinsip Islam yang diperjuangkan, meskipun dilihat ianya sebagai tindakan yang tidak popular dalam kalangan pengundi mahupun parti-parti politik. PAS tetap akan mempertahankan prinsip-prinsip Islam atau keputusan politik yang disepakati bersama selagi tidak melewati frame syarak.

22. Perjuangan PAS bukan sekadar mendepani UMNO dan BN. Tidak juga sekadar berpada untuk mendapatkan Putrajaya dari tangan UMNO dan BN. Perjuangan PAS adalah jauh lebih besar dan penting dari itu. Ia adalah sebuah perjuangan untuk menyebarkan risalah Islam, menyelamatkan ummah dari perangkap jahiliyyah dan mendaulatkan syariat Islam serta meninggikan kalimah Allah swt di atas tanah air tercinta ini.

Kekeliruan

23. Ada pihak tertentu berhujjah, kita mesti menang dulu. Jangan gopoh untuk bercakap hal Islam dan jangan tergesa-gesa untuk memperjuangkan Islam. Apa yang penting buat masa ini ialah memburu kemenangan walau dengan apa cara sekalipun. Kita mesti menang dan selepas menang barulah kita boleh bercakap mengenai pelaksanaan Islam. Kalau tidak menang, bagaimana kita mahu melaksanakan Islam?

24. Hujah sebegini mampu mengelirukan sebahagian dari kita dan akhirnya lari meninggalkan PAS kerana tidak berpuas hati dengan "kedegilan" PAS untuk terus bercakap mengenai Islam secara terbuka termasuk usaha untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Kelantan.

25. Menyingkap kekeliruan ini, marilah kita meneliti Minhaj An Nabawi, bagaimana Nabi kita Muhammad SAW berjuang? Apakah Baginda SAW memburu kemenangan dengan meninggalkan prinsip perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh Baginda SAW? Rasulullah SAW pernah mendapat tawaran yang hebat dari Utbah bin Rabi'ah mewakili Kerajaan Kuffar pada masa itu. Kata Utbah (Abal Walid):

يا ابن أخي ، إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالا جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالا ، وإن كنت تريد به شرفا سودناك علينا ، حتى لا نقطع أمرا دونك ، وإن كنت تريد به ملكا ملكناك علينا ؛ وإن كان هذا الذي يأتيك رئيا تراه لا تستطيع رده عن نفسك ، طلبنا لك الطب ، وبذلنا فيه  أموالنا حتى نبرئك منه .

Wahai anak saudaraku, jika engkau berjuang ini kerana mahukan harta, kami sedia kumpulkan harta-harta kami dan diserahkan kepadamu sehingga engkau menjadi orang paling kaya dalam kalangan kami.

Jika sekiranya engkau berjuang ini kerana mahu menjadi pemimpin, kami sedia lantik engkau jadi pemimpin sehingga kami tidak memutuskan sebarang keputusan melainkan mendapat persetujuanmu.

Jika sekiranya engkau berjuang ini kerana mahu menjadi raja, kami sedia menabalkan engkau menjadi raja yang memerintah kami.

Jika sekiranya engkau dirasuk suatu yang engkau sendiri tidak mampu menghadapinya, kami sedia menyediakan tabib untuk merawatmu dan kos ditanggung oleh kami sehingga engkau sembuh.

Sirah Ibnu Hisyam

26. Jika teori menang dulu itu suatu yang praktis dan rasional, pastinya Nabi SAW menerima tawaran menjadi kerajaan atau sebahagian dari kerajaan. Tetapi Nabi SAW menolak semua tawaran untuk berkuasa sebaliknya terus bersama Islam yang diperjuangkan oleh Baginda SAW.

27. Hayati jua peringatan Baginda SAW. Jangan sekali-kali tinggalkan Islam dalam apa jua posisi kita. Memburu kepentingan politik jangan sampai melunturkan nilai pegangan dan amalan Islam. Sabda Rasulullah SAW:

أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ: «كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ»
المعجم الطبراني الكبير

Ketahuilah sesungguhnya roda Islam itu berputar. Maka berputarlah bersama al Kitab (Islam) sekira-kira bagaimana ia berputar. Ketahuilah sesungguhnya al Kitab dan pemerintah dua perkara yang berbeza. Maka jangan memisahkan diri dari al Kitab (Islam).

Ketahuilah sesungguhnya kamu akan mendepani pemerintah yang memerintah untuk kepentingan mereka bukan untuk menjaga kepentingan kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka akan bunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu.

Lalu sahabat berkata: Ya Rasulullah, (apabila kami bertemu dengan situasi begini) apa yang harus kami lakukan?

Nabi SAW menjawab: Jadilah sebagaimana sahabat-sahabat Nabi Isa ibnu Maryam as, jasad mereka digergaji, digantung pada kayu salib, (namun mereka tetap bersama Islam)

Mati dalam keadaan taat kepada Allah swt lebih baik dari hidup derhaka kepada Allah swt. (Riwayat At Tabarani)

28. Perjuangan PAS bertunjangkan nas dan hujjah syarak. Inilah juga prinsip yang menunjangi keputusan dan tindakan PAS. Kita tidak berjuang kerana amarah dan kebencian yang meluap terhadap satu pihak. Bahkan perjuangan kita tidak boleh meniti di atas dendam kesumat meskipun terhadap musuh.

29. Perjuangan bertemakan Asal Bukan UMNO (ABU) adalah salah justeru ia memberi maksud, asal bukan UMNO maka nasionalis pun tidak mengapa, kapitalis pun tidak mengapa, sosialis pun tidak mengapa, apa yang penting asalkan bukan UMNO. Pendirian sebegini adalah salah. Prinsip yang benar ialah asalkan Islam. ASLIM TASLAM, engkau terima Islam engkau selamat.

Hayati Hadis Nabi SAW. dari Abi Musa Al Asyaari Rha yang diriwayat oleh Imam Bukhari:

حَدَّثَنَا أَبُو مُوسَى الْأَشْعَرِيُّ رَضِي اللَّهم عَنْهم قَالَ قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ
وفي رواية يقاتل حميةً و يقاتل شجاعةً و يقاتل غضباً
 فمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ  فَقَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
(صحيح البخاري)

Seorang A'rabi  telah bertanya kepada Nabi SAW. Seorang tokoh berjuang kerana mahu mendapatkan habuan harta rampasan perang. Ada yang berjuang supaya dirinya disebut orang. Ada yang berjuang untuk dilihat kedudukannya.

Dalam riwayat yang lain: ada yang berjuang kerana mahu dapatkan perlindungan, ada yang berjuang kerana mahu tunjuk berani dan yang berjuang kena marah (benci)

Maka siapakah yang berjuang di jalan Allah SWT? Maka jawab Nabi saw: Sesiapa yang berjuang bagi meninggikan kalimah Allah SWT maka dialah yang berjuang di jalan Allah SWT. (Riwayat Imam Bukhari)

bersambung...

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 24/2/2016

Share on Myspace