PAS terajui budaya politik matang dan sejahtera (4)

NASRUDIN HASSAN | .

Kriteria Politik Matang dan Sejahtera

Kriteria Kedua: Politik Dakwah

30. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang berdaftar sebagai sebuah parti politik yang sah bagi membolehkan ia beroperasi di pentas demokrasi negara menepati ijtihad para alim ulama terdahulu yang meletakkan konsep perjuangan PAS berasaskan Muwaajah Silmiyah (berjuang secara aman).

31. Mula dari noktah itu, PAS berjuang dengan tiga method atau sistem gerak kerjanya secara seimbang dan sepadu iaitu:

a) gerakan Tarbiyah (bina dalaman)
b) gerakan Dakwah (bina luaran)
c) gerakan Siasah (bina sultah/kedaulatan)

Aslim Taslam

32. Memanafaatkan ruang demokrasi, PAS tampil membawa risalah Islam kepada semua masyarakat sama ada muslim mahupun mereka yang belum lagi muslim. Justeru Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk diterima dan diamalkan oleh seluruh ummat manusia. Siapa jua yang menerima Islam, pasti sahaja ia selamat di dunia dan juga di akhirat. Aslim Taslam! (Engkau terima Islam, Engkau selamat)

33. Bagi ummat Islam mereka wajib mengamalkan Islam dan seluruh syariatnya selepas ia menerima dan mengucap dua kalimah syahadah. Sementara mereka yang belum menganut ajaran Islam, mereka tidak boleh dipaksa menganut Islam sebaliknya mereka diberi hak untuk terus menganut agama mereka. Namun mereka boleh berada di bawah sistem pemerintahan Islam sementara hak keselamatan, kebajikan dan beribadah mengikut tatacara agama mereka, menjadi urusan wajib pemerintahan Islam ke atas mereka.

Politik berorientasikan dakwah

34. Politik PAS tidak berorientasikan ketamakan kuasa. PAS tidak meletakkan kuasa itu segalanya. Tetapi apa menjadi asas perjuangan PAS ialah berdakwah dan berusaha untuk menyelamatkan manusia dari api neraka Allah SWT dengan Islam dan mengusahakan agar wujud sebuah pemerintahan dan masyarakat yang terlaksana padanya sistem, dasar dan hukum Islam yang menuju keredhaan Allah swt. sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan PAS fasal 5 di bawah tajuk tujuan-tujuan PAS.

35. Ini bermaksud, siapa pun yang diberi mandat sebagai pemerintah dan mereka melaksanakan sistem pemerintahan Islam yang adil serta saksama, maka PAS pasti akan mendukung malah membantu pemerintahannya. Justeru perjuangan PAS hanyalah untuk meninggikan kalimah Allah SWT (mendaulatkan syariat Islam), bukan berebut untuk menduduki takhta pemerintahan.

Peranan Dakwah PAS

36. Adapun situasi berdepan dengan sebuah pemerintahan yang tidak melaksanakan sistem pemerintahan Islam, PAS akan terus berjuang, berdakwah dan berperanan untuk memastikan Islam dapat didaulatkan.

a) Peranan Dakwah Satu: memberi nasihat dan bimbingan secara berterusan, bagaimana Islam itu boleh dilaksanakan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.

b) Peranan Dakwah Dua: berjuang menegakkan syariat (amar makruf) dalam apa jua kesempatan dan ruang yang boleh dilakukan oleh PAS pada tahap keupayaan yang dimiliki.

c) Peranan Dakwah Tiga: menegur, mengkritik, membantah dan mencegah kemungkaran (nahi munkar) dan menentang kezaliman yang berlaku samada dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik. Sekalipun kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah, PAS tegas menyatakan kebenaran. Beramal dengan hadis Nabi SAW. yang dikeluarkan oleh Imam Tirmizi Rhm:

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

"Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim."

d) Peranan Dakwah Empat: menggerak agenda perubahan total (at-taghyir) ke arah mendaulatkan syariat Allah SWT. secara berterusan. Terutama apabila PAS berdepan dengan sebuah pemerintahan yang degil dan enggan melaksanakan Islam malah memusuhi Islam. PAS akan terus berdakwah bagi menyedarkan masyarakat dan memimpin kebangkitan mereka ke arah sebuah perubahan yang menepati manhaj perjuangan an-Nabawi.

PAS senantiasa bersama Islam

37. Dasar perjuangan PAS ialah Islam. Kepentingan politik PAS terhenti di atas Islam yang diperjuangkan demi mencari keredhaan Allah SWT. Kaedah Matlamat Menghalalkan Cara ditolak oleh PAS. Meskipun PAS berjuang bersungguh-sungguh supaya menang, namun kalah menang dalam perjuangan ini, PAS tetap memilih untuk bersama Islam.

38. Memerintah bersama Islam, ke Putrajaya bersama Islam, malah kalah sekalipun PAS tidak akan meninggalkan Islam semata-mata untuk mencongak jalan mudah ke mercu kuasa. Prinsip  dan sikap ini dibina di atas tunjuk ajar Nabi SAW. dari Muaz Ibnu Jabal Rha: (dikeluarkan oleh Al Imam At Tabarani dalam Mu'jam Al Kabir)

أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ ) .
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ ، كَيْفَ نَصْنَعُ ؟
قَالَ: ( كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ ) .

Ketahuilah bahawa roda Islam itu berputar maka senantiasalah bersama al Kitab (al Islam) sekira-kira di mana kedudukannya.

Ketahuilah sesungguhnya al Kitab (al Islam) dan pemerintah akan berpisah, maka jangan sekali-kali kamu memisahkan diri dari al-Kitab.

Ketahuilah sesungguhnya akan berlaku pemerintah yang berkuasa ke atas kamu memutuskan suatu keputusan yang berpihak kepada mereka. Suatu keputusan yang tidak memihak kepada kamu. Jika kamu ingkari mereka, mereka akan bunuh kamu. Jika kamu taati mereka, mereka akan menyesatkan kamu.

Mereka (sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, jika kami berdepan dengan pemimpin begini, apa yang patut kami lakukan?

Jawab Nabi SAW: Jadilah seperti sahabat Nabi Isa ibn Maryam a.s. Jasad mereka digergaji dan dipaku gantung pada palang kayu. Mati dalam keadaan taat kepada Allah SWT adalah jauh lebih baik dari hidup tetapi derhaka kepada Allah SWT. (At Tabarani)

39. Dakwah PAS berterusan dan mensasarkan semua pihak. Madu'u (sasaran dakwah) PAS bukan musuh PAS. PAS tidak memusuhi individu sebaliknya PAS memusuhi kepercayaan dan pegangan yang bercanggah dengan Islam. Peranan dakwah PAS secara umumnya saling tidak tumpah dengan peranan doktor yang bekerja keras untuk menyelamatkan pesakit dan membebaskan pesakit dari penyakit yang memudaratkan. Doktor tidak pernah memusuhi pesakitnya dan da'i (pendakwah) tidak pernah memusuhi madu'unya (sasaran dakwah). PAS untuk semua dan berjuang menegakkan keadilan untuk semua.

bersambung...

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace