Ceritera Tun Mahathir

NASRUDIN HASSAN | .

 

Gelombang Tun Dr Mahathir tidak sangat menarik minat awam justeru reputasinya sangat dipertikai. Apakah ia insaf dan sedar bahawa Umno kini rosak atau sekadar beliau tidak berpuas hati dengan individu?

* 1969 beliau dipecat dari Umno kerana  menentang Tunku Abdul Rahman malah pada waktu itu beliau menggunakan pentas PAS  untuk sambung hayat politiknya. Kemudiannya beliau kembali kepada Umno apabila berakhir era Tunku.

* 2008 beliau umum keluar Umno kerana tidak berpuas hati dengan Tun Abdullah Badawi. Kemudiannya beliau kembali semula kepada Umno apabila Pak Lah berundur.

* 2016 beliau keluar lagi Umno dan kali ini kerana tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Najib orang pilihannya sendiri sewaktu menggantikan Pak Lah.

Berasaskan rekod ini, saya boleh andaikan bahawa Tun Dr Mahathir akan kembali kepada UMNO buat kesekian kalinya jika Datuk Seri Najib berundur dan diganti dengan orang pilihannya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin atau lainnya.

Persoalannya ialah, jika ini asas tindakan Tun Mahathir maka apakah gerakannya wajar disokong? Ya, saya lihat orang yang anti Najib mungkin akan sokong dengan harapan Najib berundur dan mereka pastinya akan kembali kepada Umno selepas Najib berundur.

Katakanlah naik Tan Sri Muhyiddin, apakah Tun Mahathir akan kekal menentang Umno? Apakah penyokong Tun Mahathir akan terus menentang Umno atau Tun Mahahtir akan kembali ke pangkuan Umno? Berapa lama pula Tun Mahathir akan menyokong Tan Sri Muhyiddin?  

Saya sendiri tidak yakin Tun Mahathir akan bertahan lama untuk sokong Tan Sri Muhyiddin, sebab Tun Mahathir mempunyai rekod menentang orang pilihannya sendiri.

Itupun kalau naik Tan Sri Muhyiddin. Kalau naik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi? Bukan sahaja Tun Mahathir melopong sebaliknya semua kerja buat Tun Mahathir dan penyokong akan temui jalan buntu. Dalam masa yang sama tidak ada jaminan Datuk Seri Zahid Hamidi lebih baik dari Datuk Seri Najib.

Itupun kalau Datuk Seri Najib berundur dan akur desakan Tun Mahathir. Ia bergantung kepada berapa kuat desakan dan sokongan awam kepada perjuangan peribadi Tun Mahathir untuk menolak Datuk Seri Najib.

Namun saya sorang tidak berminat untuk menyertai perjuangan peribadi. Dia marah Datuk Seri Najib mengukuhkan peribadinya dalam Umno sedang dia sendiri jelas kelihatan berjuang untuk peribadi. Bukan menentang Umno tapi mahu mengukuhkan Umno dengan menolak individu tertentu.

Apakah anda mahu bantu Tun Mahathir berjuang jatuhkan Datuk Seri Najib supaya selepas ini Umno kembali kukuh dan Tun Mahahtir kembali ke pangkuan Umno? Terpulanglah. Itu selera politik masing-masing.

Kesempatan ini, saya nak sebut juga sikit untuk tatapan orang yang marahkan PAS kononnya PAS berbaik dengan Umno, sebab itu PAS tidak mahu menyertai perjuangan peribadi Tun Dr Mahathir.

* Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan Umno, PAS sudah lupakah Peristiwa Memali? Suka saya sebut, Tun Mahathirlah bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri. Sehingga hari ini belum kedengaran beliau mohon maaf.

* Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan Umno, PAS sudah lupakah pimpinan PAS terdahulu disumbat dalam ISA, dipenjara, dibelasah oleh FRU. Suka saya nyatakan bahawa Tun Dr Mahathirlah bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri.

* Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan Umno, PAS lupakah kezaliman Umno kepada rakyat marhaen selama ini? Suka saya ingatkan di sini bahawa Tun Dr Mahathirlah bertanggungjawab kerana beliau memimpin Umno selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Pemerintahan Pak Lah tak sempat mencengkam. Pemerintahan Datuk Seri Najib masih baru.

Akhirnya, suka saya sarankan kepada semua pihak, agar tidak menjadikan agenda peribadi sebagai propaganda perjuangan dan mengorbankan kepentingan awam. Jika ada sebuah keinsafan untuk berjuang, ayuh sertailah PAS untuk kita perbaiki diri, masyarakat dan negara dengan Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT.

Justeru perjuangan kita bukan hanya untuk dunia kita bahkan kita perlu merancang untuk akhirat kita yang selamat dan bebas dari murka Allah SWT.

Sekian pandangan peribadi saya. - HARAKAHDAILY 2/3/2016

Share on Myspace