PAS terajui budaya politik matang dan sejahtera (5)

NASRUDIN HASSAN | .

Kriteria Politik Matang dan Sejahtera

KRITERIA KETIGA : Amar Makruf Nahi Mungkar

40. PAS menjadi sandaran ummah untuk menegakkan al-makruf (Asy Syari'ah) dan memerangi mungkar yang berlaku dalam negara kita, sama ada yang melibatkan segmen sosial mahupun politik dan ekonomi.

41. Ia adalah komitmen PAS yang tidak berbelah bahagi. Justeru inilah tugas yang sewajarnya dilakukan untuk membina Malaysia Sejahtera yang selamat, aman dan harmoni serta mendapat keampunan daripada Allah swt. Bahkan inilah tugas utama sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Peranan ini termaktub dalam firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah Al Hajj: 41)

Amar Makruf

42. Al-Makruf tidak bermaksud amal kebajikan semata-mata sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan. Sebaliknya Al Makruf adalah merangkumi semua aspek Amal Islami yang diperintah perlaksanaannya oleh Allah swt. Para mufassir sebahagiannya menakrifkan Al Makruf sebagai Asy Syari'ah.

43. Menegakkan al Makruf ataupun Asy Syari'ah dan memperjuangkannya agar ia tegak di atas tanahair kita adalah menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Ia menjadi solusi utama kepada pelbagai bentuk kegagalan sistem ciptaan manusia.

Nahi Mungkar

44. Seiringan dengan usaha gigih untuk menegakkan al makruf, kita wajib mengerahkan kegigihan yang serupa malah perlu dilipat ganda untuk menentang kemungkaran. Lantaran kemungkaran adalah virus yang merosakkan semua usaha menegakkan Amal Islami (al Makruf) di dalam diri kita, masyarakat mahupun negara.

45. Khasnya kemungkaran politik dan ekonomi (tanpa menafikan kesan buruk kemungkaran sosial) mesti dibasmi secara bersungguh-sungguh dan istiqamah serta teliti strateginya, terancang hala tujunya, cermat tindakannya dan berhemah langkahnya.

46. Politik yang digerakkan oleh PAS sekali-kali tidak akan dibenarkan merempuh sempadan syariat. Politik menghalalkan cara adalah satu contoh kemungkaran politik yang ditentang oleh PAS. Maksudnya kematangan berpolitik PAS tidak hanya memburu kemenangan tanpa peduli batas halal dan haram, sebaliknya ia menjadi prinsip utama bahawa jalur politik PAS adalah berlandaskan manhaj an Nabawi.

Gerakan Perubahan

47. Kemungkaran yang melanda negara mutakhir ini semakin parah khasnya kemungkaran politik dan ekonomi. Ummah mesti bangkit melakukan perubahan sesuai dengan arahan Rasulullah SAW:

عن أَبي سَعيدٍ الخُدريِّ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعتُ رِسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقولُ: (مَن رَأى مِنكُم مُنكَرَاً فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَانِ)  رواه مسلم.

Dari Abi Said Al Khudri Rha telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa dari kalangan kamu yang menyaksikan kemungkaran maka hendaklah ia ubah dengan tangannya, jika sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya, jika sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya, sedemikian itu adalah selemah - lemah iman. (Riwayat Imam Muslim)

48. Perubahan tidak akan berlaku tanpa kebangkitan ummah melunaskan Al Amru bil Makruf wan Nahyu A'nil Mungkar seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Ar Ra'du: ayat 11)

49. PAS mengambil tanggungjawab bagi menggerakkan kempen atau dakwah untuk menyedarkan ummah sekaligus memimpin dan memandu gerakan perubahan agar ianya berlangsung dengan jaya tanpa mengundang murka Allah SWT.

bersambung...

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 7/3/2016

Share on Myspace