PAS terajui budaya politik matang dan sejahtera (6)

NASRUDIN HASSAN | .

Al Bayaanul Mubin. Siri 35

Kriteria Politik Matang dan Sejahtera

KRITERIA KEEMPAT: Fokus Penyelesaian Islam

50. Layaknya sebagai sebuah gerakan Islam, PAS memposisikan dirinya sebagai sebuah parti yang konstruktif. Setiap kelemahan, kesalahan mahupun kepincangan pihak pentadbiran kerajaan mahupun pemerintahannya tidak hanya dibantah atau dibangkang semata-mata, tetapi sebaliknya PAS bertanggungjawab mengemukakan penyelesaian.

51. Penyelesaian yang berasaskan pedoman syariat dan prinsip Islam adalah kriteria penting bukan sahaja untuk merealisasikan politik matang dan sejahtera tetapi juga menepati aspirasi politik Islam itu sendiri. Islam itu adalah penyelesaian. ( الإسلام هو الحل )

52. Islam tidak hanya menyelesaikan masalah ritual agama sebagaimana difahami oleh kebanyakan, sebaliknya penyelesaian Islam turut merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Pastinya Islam sarat dengan pelan dan jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah yang sedang dihadapi oleh negara, pemimpin dan rakyatnya.

53. Sebagai contoh mudah, belenggu yang menjerut politik dan ekonomi negara dewasa kini telah habis forum didebatkan, habis wacana didiskusikan. Sang politikus di pentas debat mereka, para akademi di dewan kuliah mereka dan hamba rakyat di majlis rapat umum mereka, namun negara masih buntu mencari formula menangani kemelut politik dan krisis ekonomi yang kian parah.

Formula Taqwa

54. Islam sebagai petunjuk dan wahyu dari Tuhan yang Maha Mencipta telah jelas memberi pedoman dan panduan. Firman Allah swt:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari kemelut dan krisis yang melanda),

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

serta memberinya rezeki (menyuburkan ekonomi) sekira-kira ia tidak tahu dari arah mana datangnya rezeki itu. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah swt baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah At Tholaq: 2-3)

56. Ekonomi dan Politik Taqwa perlu diperinci, dan dimodulkan secara sistematik lalu diterap-laksanakan dalam penguatkuasaan pentadbiran dan sistem pemerintahan negara. Ke arah membentuk sebuah negara yang aman dan maju namun dalam masa yang sama mendapat keampunan daripada Allah swt.

Anjakan Paradigma

57. Ia menjadi satu solusi yang boleh digarap secara lebih halus dan hikmah samada secara langsung kepada pihak pemerintah mahupun dikemukakan kepada umum sebagai proses pendidikan politik dan anjakan paradigma seraya membentuk kesediaan rakyat untuk berubah dan keluar dari serkup pemikiran lapok dan purba.

58. Bermula dari kepimpinan PAS dan seluruh anggota PAS, juga mesti melangkah dengan jiwa besar dan aqal yang hikmah untuk memimpin perubahan dan kebangkitan rakyat ke arah membina Malaysia Sejahtera.

59. Tidak hanya memburu "political millage" tetapi lebih bermaksud untuk memartabatkan perubahan total, maka PAS mengambil tanggungjawab penuh meletakkan keseimbangan dalam perjuangan yang didukung iaitu komited menentang segala kemungkaran dalam ekonomi, politik dan sosial namun dalam masa yang sama kita turut bertanggungjawab mengemukakan pelan dan formula penyelesaian.

bersambung .......

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 15/3/2016

Share on Myspace