DLP bukan penyelesaian kelemahan berbahasa Inggeris

NASRUDIN HASSAN | .

Pelaksanaan ‘Dual Language Programme’ (DLP) atau Program Dwibahasa bukan suatu jawapan kepada penyelesaian kepada kelemahan berbahasa Inggeris dalam kalangan graduan universiti hari ini. Ia sebaliknya akan mengundang kepada permasalahan lain yang lebih parah.

DLP adalah inisiatif gelombang kedua bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dibawah inisiatif Peningkatan Bahasa Inggeris dan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ia adalah proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek Sains, Matematik dan Teknologi Maklumat melibatkan Tahun 1, 4 dan Tingkatan 1 yang menggunakan Bahasa Inggeris.

DLP tidak lain hanyalah jelmaan kepada dasar PPSMI yang telah dimansuhkan pada 2009. Kajian yang dijalankan terhadap para pelajar kesan dasar PPSMI menunjukkan hanya 10-12 peratus guru menggunakan Bahasa Inggeris dalam proses P&P subjek yang berkenaan. Selain itu, hanya 6.2 hingga 9.1 peratus murid Tahun 5 menyatakan keselesaan belajar dalam Bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains.

Data ini menunjukkan kegagalan PPSMI bukan sahaja meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, malah, meninggalkan kesan negatif terhadap proses P&P bagi subjek Sains dan Matematik. DLP hanyalah bayangan kepada kegagalan PPSMI meskipun ia bersifat pilihan kepada sekolah.

Lebih membimbangkan adalah kesenjangan sosio ekonomi di antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar dan pedalaman di samping akan memperlihatkan martabat Bahasa Melayu yang semakin rendah.

PAS konsisten menegaskan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik mesti menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Ini juga ditekankan dalam forum-forum antarabangsa melibatkan Unesco, Bank Dunia, ‘World Declaration on Education for All’ (EFA), dan juga ‘the UNO General Assembly’s Convention on the Child’s Right’ yang menekankan kepentingan penggunaan ‘mother tounge’ sebagai bahasa pengantar dalam proses pembelajaran.

Sewajarnya perkara ini mendapat perhatian yang lebih serius oleh kerajaan sebelum mengemukakan sebarang polisi terutamanya melibatkan pendidikan kepada rakyat. Namun, sikap terburu-buru kerajaan sering kali mengundang rasa tidak senang para guru dan ibu bapa yang juga boleh mengundang kesan negatif terhadap pendidikan di negara kita.

Insya Allah, PAS sama-sama mendukung hasrat Kongres Rakyat bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI membantah perlaksanaan DLP dan PAS menyatakan penyertaan ke Himpunan Aman Bantah DLP yang dianjurkan oleh Kongres Rakyat, GMP dan GIPK di Dataran Merdeka pada 9 April 2016 kelak.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 17/3/2016

Share on Myspace